Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST Oleh FARIK SALLEH SATU keluarga menggunakan papan luncur untuk memindahkan barangan dari rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor, semalam. KOTA TINGGI 3 Dis. - Sebanyak 128 mangsa banjir melibatkan 27 keluarga di tiga buah kampung di daerah ini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kawasan masing-masing sejak paras air di beberapa kawasan meningkat sejak semalam. Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman berkata, kesemua mangsa yang terlibat adalah dari Kampung Perepat dan Kampung Gembut di Tanjung Sedili yang dipindahkan ke balai raya kampung masing-masing sementara mangsa banjir Kampung Mawai pula ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Mawai Baru. "Kita sudah membuka bilik gerakan banjir bagi memantau perkembangan semasa dan hujan mulai turun tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Seorang mangsa, Damirah Jaiman, 65, berkata, rumahnya dinaiki air seawal pukul 1 pagi tadi selepas dikejutkan dengan rasa sejuk ketika tidur akibat tilam dan bantal yang dibasahi air. "Saya terus bingkas bangun dan kejutkan kesemua enam cucu saya yang asyik tidur sebelum minta mereka mengemas dan menyelamatkan barang-barang. Kami tidak tidur sepanjang malam tadi sehinggalah dibantu penduduk kampong berpindah ke balai raya pada pagi ini," katanya. Jirannya, Suhaila Khaleed, 37, berkata, hujan lebat sejak Sabtu memang membuatkan dia berasa bimbang namun tidak menyangka air mula mamasuki kedainya mulai pukul 5 petang semalam. "Air mula meningkat naik selepas maghrib sehinggalah pada pukul 10.30 malam saya mula mengemas dan menyelamatkan mesin jahit dan kain dan baju yang ditempah pelanggan. Rumah saya juga dinaiki air sebab itu saya pindah ke penempatan banjir di sini," kata ibu kepada tiga orang anak itu. Sementara itu Ketua Kampung Gembut, Fadzil Mohd Ali,50, berkata, pusat pemindahan banjir dibuka pada pukul 11 pagi di mana pada peringkat awal hanya tiga keluarga sahaja berpindah di sini namun bilangannya meningkat kepada 15 keluarga dengan jumlah keseluruhan 65 mangsa pada sebelah petang. |
Utamakan keselamatan musim tengkujuh Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST AYUB Rahmat (kiri) beramah mesra dengan How Xue Qi yang cacat anggota sambil diperhatikan oleh Mohd. Khairi Yakub (dua dari kiri) dalam Majlis Sambutan Hari OKU 2013 Peringkat Negeri Johor di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 3 Dis. - Orang ramai digesa menjaga keselamatan dan kesihatan mereka sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Mac depan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. "Ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan yang dinaiki air kerana mengundang bahaya selain mengundang risiko penyakit. Jadi, saya nasihatkan jangan ambil risiko dan sentiasa berhati-hati sepanjang musim tengkujuh kali ini," katanya pada majlis sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Khairi Yakub. Ayub berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan hujan dan banjir di negeri ini termasuk memastikan bekalan ubatan dan pegawai perubatan yang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. "Sejak awal lagi kita sudah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh kali ini dan pasukan khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau perkembangan hujan dan banjir dari masa ke semasa," katanya. Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif pelbagai pihak termasuk agensi swasta bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti hidup golongan OKU khususnya di negeri ini. Katanya, meskipun mempunyai kekurangan, golongan itu tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya harus diberi perhatian sewajarnya oleh masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |