Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 16 Dec 2013 06:54 AM PST JILUM Makup (kanan) memberi khidmat nasihat kepada penanam cili fertigasi Kamaziha Amran di Kampung Gedong Simunjan Bahagian Samarahan Sarawak baru-baru ini. Gedong bukanlah satu nama yang begitu dikenali di negara ini, malah menyebutnya berkali-kali dan menyatakannya sebagai sebuah daerah di Sarawak, masih ramai yang tertanya-tanya apakah yang istimewa mengenainya. Gedong terletak agak jauh dari pusat Bandar Kuching dengan perjalanan melalui jalan darat mengambil masa kira-kira satu jam setengah atau kira-kira 90 kilometer (km) jarak perjalanan. Mudahnya, Gedong berada dalam daerah Simunjan dan bahagian Samarahan. Menyedari Gedong belum begitu dikenali, sekumpulan anak muda bertekad menjadikannya popular menerusi aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dengan menanam cili menggunakan teknologi fertigasi. Ramai daripada kita agak popular dengan teknologi fertigasi iaitu sistem penanaman tanpa tanah menggunakan baja yang telah dilarutkan dan ditempatkan dalam tangki khas sebelum disalurkan kepada tanaman dalam polibeg menggunakan tiub getah. Kumpulan anak muda terbabit percaya mereka mampu merealisasikan hasrat untuk mengeluarkan cili yang akan mempopularkan Gedong dengan syarat teknologi fertigasi tersebut berjaya dimanfaatkan sebaiknya. Lebih memudahkan impian mereka apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghulurkan bantuan dalam bentuk khidmat kepakaran sehingga projek tersebut kini menjadi kenyataan. Seorang pengusaha cili fertigasi Kamaziha Amran, 28, yang memulakan projek My Kampung My Future di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 6 antara yang bertuah kerana teroilih sebagai peserta. Anak jati Saratok Sarawak yang dari sebuah kolej menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan dibantu oleh 'aset' semula jadi dalam dirinya iaitu kegigihan dan minat. Dia yang ditemui semasa kunjungan rombongan pejabat MARDI, Kuching berkongsi pengalaman bagaimana minat dalam bidang pertanian menjadikannya pengusaha yang sentiasa mencuba tanaman baru. Pada mulanya Kamaziha yang menceburi bidang penanaman sawit sebagai penyelia ladang tersebut di Miri dan bersama abang angkatnya, dia mempelajari selok belok menguruskan ladang. Dengan sedikit pengalaman dan wang simpanan, dia memulakan projek penternakan kambing, ayam kacukan secara kecil-kecilan memandangkan ilmu dan pengalamannya juga belum mencukupi. Dengan modal permulaan sebanyak RM500, Kamaziha, mula mengusahakan cili di Kampung Gedong, Simunjan, Samarahan sebanyak 200 pokok di kawasan terbuka bermula tahun lalu. "Saya memilih cili sebab tanaman ini banyak permintaan tetapi tidak ramai yang mengusahakannya,'' ujarnya sambil memberitahu hasratnya ingin mengusahakan di kawasan lebih luas, tetapi modal yang tidak mencukupi. Usahanya menanam cili secara kecil kecilan rupanya mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang memilihnya sebagai peserta yang perlu dibimbing. Selepas itu, dia diberi lebih perhatian apabila diserahkan kepada MARDI dan 'jodoh' nya dengan agensi terbabit menjadi pemudahcara dan membuka jalan kepada hasratnya menjadi petani moden. Di bawah bimbingan MARDI, Kamaziha menyertai kursus fertigasi selama tiga hari dan bermula dari situlah menyemarakkan semangatnya untuk terlibat dalam pertanian berskala besar. Dia memulakan usaha penanaman bermula hujung tahun lalu di kawasan seluas kirakira tiga ekar dengan empat struktur pelindung hujan (SPH) yang mana jumlah keseluruhan yang ditanam kira-kira 600 pokok atau setiap SPH mengandungi 150 pokok. "Saya dapati fertigasi lebih bagus, senang mengawal penyakit dan mampu menghasilkan lebih banyak cili,'' katanya. Dengan itu pendapatan nya agak meningkat berbanding menanam cili konvensional yang diusahakan sebelum ini. Menurut Kamaziha, dengan menggunakan penanaman secara sistem fertigasi, dia mampu menghasilkan kira-kira 1.5 kilogram (kg) cili sepokok berbanding hanya satu kilogram menggunakan kaedah konvensional. Mengenai pasaran, dia kini tidak perlu memikirkannya kerana hasil cili dijual secara kontrak perladangan dengan FAMA. Mengenai perancangan, Kamaziha yang mempunyai 11 adik beradik bercadang mengusahakan tanaman sayur-sayuran lain seperti tomato dan rock melon menggunakan sistem yang sama. Malah dia juga telah menerika khabar gembira apabila pejabat MARDI Sarawak membantu untuk menambah empat lagi SPH dengan tambahan sebanyak 600 lagi pokok cili. Menurut Penolong Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Kuching, Jilum a/k Makup sebanyak RM28,000 lagi diperuntukkan bagi menambah empat SPH berkenaan selain meningkatkan kemudahan infrastruktur termasuk pembinaan jalan di situ. "Kawasan ini perlu dinaik taraf sebagai pusat pembelajaran memandangkan kedudukannya sebagai projek terawal, apatah lagi sering menerima kunjungan pelawat terutama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), FAMA dan Jabatan Pertanian,'' ujarnya. Menurut Jilum, program fasa kedua My Kampung My Future kini sedang digerakkan dengan peruntukan RM65,000. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |