Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Modul Keluarga Sakinah dikaji semula
- Bandar Koperasi bakal dibina di Iskandar Malaysia
- Ahli Wanita UMNO perlu bersatu jadi 'tulang belakang'
Modul Keluarga Sakinah dikaji semula Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY ABD. Mutalip Abd. Rahim (kanan) beramah mesra dengan peserta kursus perkahwinan sambil diperhatikan oleh Berhan Abdul Rahman (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam Versi 3 Daerah Johor Bahru di Hotel Selesa, Pasir Gudang, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 16 Dis. - Modul Keluarga Sakinah yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim akan dikaji semula agar lebih memberi tumpuan kepada semua peringkat umur, terutama belia dalam usaha mengurangkan kadar perceraian di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, isu perceraian hari ini tidak sama dengan suatu masa dahulu kerana cabaran yang dihadapi sekarang memerlukan pendekatan yang lebih berkesan untuk menanganinya. "Perceraian yang berlaku pada masa kini bukan sahaja disebabkan faktor kemiskinan atau pengetahuan agama, malah orang yang berkereta dan berkedudukan juga menghadapi situasi sebegini. Sebelum ini Modul Keluarga Sakinah memberi tumpuan kepada kelompok tertentu dan banyak menyentuh bab seperti kekeluargaan sahaja. "Hari ini kita mahu pergi kepada belia melalui 10 modul yang ada di bawah program tersebut iaitu dari usia tujuh tahun hingga 14 tahun, 15 hingga 21 tahun, 22 hingga 40 tahun dan warga emas," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam (PPI) Versi 3 Daerah Johor Bahru di Hotel Selesa Pasir Gudang, dekat sini semalam. Yang turut hadir Pengarah Urusan Pulai Utama Management, Datuk Berhan Abdul Rahman. Kursus praperkahwinan sehari anjuran Pulai Utama Management itu dihadiri seramai 265 bakal pengantin yang turut melibatkan penambahan masa dan penambahbaikan modul melibatkan tayangan video untuk meningkatkan kefahaman peserta. Menurut Abd. Mutalip, kehidupan masyarakat dahulu tidak banyak melibatkan cabaran kepada rumah tangga seperti yang berlaku pada hari ini di mana pada suatu ketika adalah normal bagi sesebuah keluarga hidup bahagia dengan pasangan suami isteri mempunyai sehingga lebih sembilan orang anak. "Tetapi hari ini arus kemodenan menuntut kepada kesabaran yang tinggi. Jadi saya nasihatkan suami isteri hari ini agar memupuk sikap sabar kerana sabar itu adalah 'rempah' nombor satu dalam perkahwinan selain menghidupkan sunah Rasulullah dengan solat berjemaah dan membaca al-Quran," katanya. |
Bandar Koperasi bakal dibina di Iskandar Malaysia Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST ABDUL Fattah Abdullah (tengah) beramah mesra dengan peserta Konvensyen Pengukuhan Audit Dalam Pengurusan Risiko Koperasi dan Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa di Hotel New York, Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 16 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal memperkenalkan satu projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan koperasi negeri ini dikenali sebagai Bandar Koperasi. Projek yang pertama seumpamanya dibangunkan oleh koperasi di negara ini dijangka dibangunkan di Iskandar Malaysia, sekali gus bersama mengambil bahagian dalam kerancakan pembangunan di kawasan berkenaan. Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan pembinaan Bandar Koperasi itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Angkasa yang bertindak sebagai koordinator. Menurutnya, cadangan tersebut adalah baik terutama dalam usaha memastikan ahli koperasi dapat merebut peluang yang ada di Iskandar Malaysia dan bersama-sama memberi sumbangan kepada ekonomi negara. "Angkasa melihat pembangunan Bandar Koperasi itu sebagai satu cadangan yang sangat baik, sekali gus menyeru kepada kerajaan negeri lain untuk mengikut langkah yang diambil kerajaan negeri Johor. "Justeru, projek itu diharap dapat dilaksanakan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengukuhan Audit Dalam Pengurusan Risiko Koperasi dan Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa (SPBA) di sini kelmarin. Beliau berkata, Bandar Koperasi ini bakal menempatkan antaranya pusat perniagaan, perumahan dan hotel yang kelak diharap dapat memberikan ruang untuk ahli koperasi menjalankan perniagaan mereka di situ. Tambahnya, buat masa ini, pihak terlibat sedang membuat perancangan bagi membangunkan Bandar Koperasi termasuk mengenal pasti tapak sesuai di Iskandar Malaysia untuk dibangunkan projek berkenaan. Sementara itu, Abdul Fattah menyeru setiap pemimpin koperasi supaya memberikan perhatian kepada bidang pengauditan dalam usaha memastikan setiap aktiviti dibuat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Selain itu, tambahnya, pengurusan risiko juga perlu diberi tumpuan dengan mengambil kira semua faktor yang boleh memberi ancaman dan menghalang pencapaian pelbagai projek dijalankan oleh koperasi. Justeru, beliau meminta mana- mana koperasi yang belum memohon untuk mendapatkan pakej SPBA yang disediakan Angkasa. "Angkasa membekalkan SPBA yang dianggarkan bernilai RM30,000 secara percuma dan maklum balas kita terima telah membantu melancarkan urusan seperti senarai pendaftaran ahli dan sistem pengurasan serta perakaunan," katanya. Beliau berkata, buat masa ini sebanyak 1,780 koperasi didaftarkan dengan Angkasa sudah menggunakan sistem tersebut. |
Ahli Wanita UMNO perlu bersatu jadi 'tulang belakang' Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST PONTIAN 16 Dis. - Pengiktirafan Pergerakan Wanita UMNO sebagai ' tulang belakang' kepada parti sewajarnya mengundang rasa bangga ahli-ahli wanita UMNO di seluruh peringkat termasuk di bahagian dan cawangan kerana ia merujuk kepada sejarah peranan wanita semenjak era kepimpinan Ibu Zain sehingga ke hari ini. Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, ahli-ahli pergerakan itu berjaya memainkan peranan yang penting dengan bekerja keras membantu parti dalam pelbagai aktiviti dan kegiatan di cawangan masing- masing selain menjadi jentera penting pada setiap kali pilihan raya umum. "Selepas berakhirnya pemilihan UMNO pada Oktober lalu, tumpuan kini adalah menggerakkan jentera parti kerana banyak cabaran sedia menanti. 'Biduk lalu, kiambang bertaut', maka kepimpinan wanita bahagian dan cawangan perlu kembali menjadi sebuah pasukan yang kuat dan melupakan pertandingan yang lalu. "Jika ada pertelingkahan serta perselisihan pendapat, hendaklah dibuang jauh-jauh supaya semua agenda serta perancangan dapat dilakukan demi kepentingan parti dan orang-orang Melayu. Dengan cara ini hubungan dua hala di antara pemimpin dan ahli sentiasa terjalin dengan penuh mesra dan terancang," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Wanita UMNO Bahagian Pontian di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian yang baharu, Hasrunizah Hassan serta Norzita Kahar dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhamadan Ahmad. Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, ahli Wanita UMNO juga perlu bersedia menyahut seruan pembaharuan yang dilakukan kepimpinan baharu seiring dengan Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang ditetapkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |