Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kilang padi 30 tahun terbakar
- Polis tahan suspek samun OKU bisu
- FAMA jamin bekalan makanan mencukupi
Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api yang memusnahkan sebuah kilang padi berusia lebih 30 tahun di Kampung Pauh Butut, Bachok, Kelantan, semalam. - MINGGUAN/MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR BACHOK 21 Dis. - Sebuah kilang padi berusia lebih 30 tahun di Kampung Pauh Butut dekat sini hampir musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 4 pagi ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 5.02 pagi sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian bersama 22 anggota penyelamat termasuk anggota bomba sukarela daerah. Katanya, pihak bomba terpaksa mengambil masa lama untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam api kerana kilang tersebut mengandungi banyak bahan bakar aktif seperti dedak dan padi. "Kira-kira pukul 7 pagi operasi memadam api selesai dijalankan sepenuhnya. Kita terpaksa mengambil masa panjang untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam api ini kerana kena memindahkan bahan-bahan seperti padi, habuk padi dan dedak yang berada di dalam kilang. "Bahan ini tidak serap air sedangkan api berada di bawah (dalam timbunan dedak dan padi) jadi, lama-kelamaan api boleh marak semula selepas air itu kering, oleh itu kita kena lakukan kerja-kerja memindahkan bahan ini," katanya ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini. Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca serta anggaran kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan. Sementara itu, Pengurus Kilang berkenaan, Jaffar Mat Husin yang tinggal di Kampung Jelor kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian memberitahu, dia menyedari kejadian tersebut selepas dimaklumkan anaknya menerusi panggilan telefon sebelum segera bergegas ke tempat kejadian. "Masa saya sampai api sedang marak, saya tak dapat berkata apa-apa melainkan pasrah dan menerima takdir sebagai dugaan Allah SWT," katanya. Menurut Jaffar, terdapat banyak stok padi dan beras serta dedak yang telah diproses di kilangnya itu hangus dan berkemungkinan tidak dapat digunakan lagi. Dalam pada itu, beliau berazam untuk membina semula kilang padi itu memandangkan ia adalah antara kerjaya yang telah diusahakannya sejak lebih 30 tahun lalu. "Lagipun, saya juga mengambil kira penjual padi ke kilang ini yang sebahagian besarnya adalah terdiri daripada penduduk atau petani tempatan di sekitar kawasan ini," katanya. |
Polis tahan suspek samun OKU bisu Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST KUALA TERENGGANU 21 Dis. - Polis menahan seorang suspek yang dipercayai bertanggungjawab memukul dan menyamun seorang wanita bisu di Felda Tenang, Besut, pada 14 Disember lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek tersebut berjaya ditahan bersama empat individu lain, dua hari selepas kejadian di sebuah rumah di sekitar felda itu kira-kira pukul 1.30 petang. Katanya, serbuan itu turut menemui beberapa barang kemas milik mangsa berusia 68 tahun selain sebatang besi dipercayai senjata yang digunakan untuk memukul mangsa. "Kita berjaya tahan suspek berusia 21 tahun berasal dari Kampung Pasir Akar dekat sini bersama senjata yang digunakan untuk memukul mangsa. "Kes akan disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Pada 14 Disember lalu, seorang warga emas bisu, Mariam Yahya, 68, patah rahang serta cedera teruk di anggota badan dan muka semasa cuba disamun oleh seorang lelaki kira-kira pukul 2 pagi. Difahamkan, wanita yang tinggal berseorangan di rumahnya itu masih mendapat rawatan di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan sehingga kini akibat kecederaan teruk yang dialami. |
FAMA jamin bekalan makanan mencukupi Posted: 21 Dec 2013 10:02 AM PST KOTA BHARU 21 Dis. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan makanan di negeri ini yang dijangka bakal berdepan banjir gelombang kedua, adalah mencukupi. Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd. Ariffin Awang berkata, setakat ini bekalan makanan masih lagi mencukupi dan pengguna tidak perlu bimbang kemungkinan bekalan akan terputus. "Pihak kami mendapati keperluan harian terutama sayur-sayuran, ikan, daging mencukupi dan tidak menghadapi masalah. Buat masa ini kesemua jenis barangan terkawal termasuk daging dan ayam masih lagi dapat memenuhi keperluan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Tambah beliau, pihaknya mengambil berat akan keperluan orang ramai khususnya bagi mereka yang menghadapi banjir. "Pihak kami juga akan sentiasa memantau semua barangan yang diperlukan agar ia sentiasa memenuhi permintaan," katanya. Sementara itu, Mohd. Ariffin memberitahu, setakat ini bekalan dan harga barangan keperluan yang terdapat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini, masih kekal. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |