Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 21 Dec 2013 04:45 AM PST AKTIVITI maraton sememangnya dapat mencabar kebolehan seseorang untuk berlari merentas jarak dengan kelajuan tertentu mengikut kemampuan diri masing-masing. Aset terpenting adalah badan mereka yang boleh dilatih untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Maraton umpamanya adalah antara jenis larian yang semakin diminati sebahagian besar generasi muda zaman sekarang. Justeru, mereka menjadikan maraton sebagai satu budaya atau trend aktiviti hujung minggu mereka. Bukan setakat menyertai setiap acara yang diadakan, malah ada di antara mereka ketagih untuk berlari sehingga sanggup ke luar negara semata-mata mahu melepaskan gian untuk menyertai acara maraton tanpa mengambil kisah soal kos dan sebagainya. Ramai yang menyangka maraton adalah sesuatu yang mudah tetapi hakikatnya adalah sukar bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia larian. Persiapan dan latihan merupakan perkara yang penting untuk mereka berjaya menamatkan larian dalam jangka masa yang sepatutnya. Orang ramai patut tahu larian biasa tanpa henti tidak dikira sebagai maraton. Larian maraton sebenarnya merangkumi jarak larian sejauh 42.195 kilometer (26 batu) dan ia merupakan jarak yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa. Jadi, jika anda lari kurang daripada jarak berkenaan, anda bukanlah berlari maraton tetapi hanya larian pendek. Banyak informasi berkenaan maraton yang anda boleh kaji di internet dan laman sosial yang boleh membantu anda memahami apa itu maraton. Sudah banyak generasi muda yang terlibat dan lihat sendiri di taman rekreasi dan juga gimnasium, sudah pasti ada golongan ini yang giat membuat persiapan larian maraton. Mereka juga sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk membuat persiapan serta menanggung kos perjalanan dan pendaftaran kejohanan maraton di luar negara yang sememangnya tidak masuk akal. Minggu ini .com paparkan anda tentang mereka yang gila maraton sehingga ketagih untuk membuat larian terutamanya maraton. - AZRIN/NOOR AZLINA JAAFAR |
17 anak muda teruskan perjuangan Posted: 21 Dec 2013 04:45 AM PST LATIHAN fasa pertama Projek KE7B Malaysia Greenland 2014 yang meliputi lima siri telah pun menutup tirai baru-baru ini. Dalam latihan tersebut, satu ujian kelayakan telah diadakan bagi menyaring jumlah peserta untuk menjayakan projek yang julung kali dianjurkan oleh rakyat Malaysia. Pada 29 November lalu, bertempat di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam, sebanyak 17 peserta telah dipilih oleh jurulatih bagi mengikuti latihan fasa kedua yang akan bermula pada bulan Januari 2014. Kesemua peserta itu dipilih daripada sejumlah 117 anak muda berusia bawah 35 tahun yang menawarkan diri untuk menyertai Projek KE7B Malaysia Greenland 2014 pada sesi pemilihan yang telah diadakan di Stadium UiTM, Shah Alam pada 24 Ogos 2013. Dalam tempoh tiga bulan latihan demi latihan diadakan, akhirnya 17 peserta termasuk dua wanita dipilih untuk meneruskan perjuangan bagi menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik yang bakal mengibarkan Jalur Gemilang di bumi beku Greenland pada pertengahan tahun 2014. Projek yang diadakan bagi membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia juga memiliki rakyat bersemangat kental dalam meneroka sesuatu yang dianggap mustahil itu bakal menyaksikan anak-anak muda kita meredah permukaan ais beku di Greenland sejauh 550 kilometer selama 35 hari pada April hingga Mei 2014. Peringkat akhir siri latihan fasa pertama itu menyaksikan para peserta melakukan ujian larian berulang-ulang di Kompleks Sukan UiTM. Ujian larian itu disertai sebanyak 26 peserta dan selepas mengambil kira masa kelayakan dan prestasi latihan sebelumnya di Gunung Nuang, Selangor; Gunung Brinchang di Cameron Highlands, Pahang; Trans Slim melibatkan pendakian empat puncak iaitu Gunung Liang Timur, Gunung Liang Barat, Gunung Tumang Batak dan Gunung Chondong Gelinting di Perak serta Genting Sempah, Pahang, hanya 17 peserta bakal meneruskan cabaran berikutnya. Kesemua mereka yang terpilih itu akan menjalani latihan fasa kedua di Gunung Kinabalu, Sabah pada 2 hingga 9 Januari ini, selain di New Zealand dan Norway. Salah seorang peserta yang terpilih, Muhd Hafizuddin Abd. Muthalib, 24, berkata, beliau tidak menyangka akan terpilih kerana namanya yang terakhir diumumkan. Saya tak sangka sebab pihak penganjur telah umumkan dua anak kelahiran Kedah sudah terpilih. Ketika itu, hati saya berkata bukan rezeki saya untuk mengikuti latihan seterusnya. Bila nama saya diumumkan, saya agak terkejut dan bersyukur,"katanya yang berasal dari Hutan Kampong, Alor Setar, Kedah. Beliau berkata demikian kerana sebelum itu pihak penganjur memaklumkan bahawa mereka hanya akan memilih dua anak Kedah untuk ke Greenland. Bagi memanjatkan kesyukuran, beliau akan menunaikan nazar iaitu khatam al-Quran sebelum memulakan latihan fasa kedua pada awal tahun hadapan. Sementara itu, Muhammad Khairul Izwan Aziz, 25, mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepadanya untuk meneruskan latihan. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk latihan seterusnya dan berharap akan terpilih ke Greenland. Ini kerana daripada 17 peserta, hanya 10 yang akan terpilih bagi menjayakan Projek KE7B Malaysia Greenland 2014,"ujarnya. Tambahnya, pemilihan 10 peserta terbaik itu akan dibuat selepas selesai latihan yang dijangka diadakan di New Zealand. Dalam pada itu, Helmy Adha Amiruddin, 25, berkata, beliau akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan stamina sebelum ke New Zealand. Saya akan bekerja keras untuk menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik, seterusnya melakar kejayaan sebagai antara rakyat Malaysia pertama merentasi benua Greenland. Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana keputusan menunjukkan saya mendapat markah yang terbaik iaitu 8.2," katanya. Untuk tujuan itu, beliau akan lebih kerap melakukan latihan terutama joging sekurang-kurangnya lima kilometer sehari. - ROHANA MAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |