Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- IAM bantu persiapan persekolahan
- MAYC, UMK rai 132 penghuni Rumah Seri Kenangan
- BR1M: Orang ramai serbu LHDN
IAM bantu persiapan persekolahan Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh TOREK SULONG Petugas IAM termasuk Presiden IAM Kelantan, Bustanol Ariffin (dua kiri) mengagihkan makanan kepada pelajar miskin sempena Program Kembali Ke Sekolah di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. PASIR PUTEH 23 Dis. - Bagi keluarga miskin tidak kira di bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman, pastinya buntu seketika apabila memikirkan hal berkaitan keperluan persekolahan anak-anak setiap kali menjelang bulan Januari. Faktor kewangan adalah persoalan utama dalam kalangan keluarga petani yang tidak dapat turun ke bendang kerana hujan berterusan, manakala nelayan pula sukar mencari rezeki kerana gelora laut belum ke penghujungnya. Apa pun, kelangsungan hidup perlu diteruskan dan persiapan awal persekolahan menjadi kewajipan rutin ibu bapa sama ada yang berada mahupun tidak, demi memastikan anak-anak melangkah ke sekolah pada awal tahun depan dengan penuh bersemangat dan penampilan baharu. Menyedari jerih payah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan itu, Islamic Aid Malaysia (IAM) berusaha membantu meringankan bebanan mereka melaksanakan program 'Kembali Ke Sekolah' melalui jelajah jihad membela keluarga miskin di beberapa negeri termasuk di daerah ini. Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, program 'Kembali Ke Sekolah' IAM adalah aktiviti amal dalam komuniti bagi membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan mendapat pembiayaan bagi membuat persediaan untuk kembali ke sekolah. Menurutnya, anak-anak yatim miskin dan golongan fakir miskin di kawasan luar bandar diberi fokus utama untuk dibantu. "Melalui program ini, IAM serta rakan penaja dan penyumbang bersama-sama membantu pelajar-pelajar yang terpilih dengan menyediakan kelengkapan persekolahan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2014. "Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi pakaian sekolah, kasut, stokin, beg dan alat tulis. Program ini dilaksanakan oleh para sukarelawan dan juga rakan kerjasama IAM," katanya ketika ditemui dalam program pengagihan kelengkapan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 1, dekat sini baru-baru ini. Zawahir berkata, objektif utama program ini bagi mengurangkan beban golongan memerlukan dalam membuat persediaan lengkap anak-anak ke sekolah yang akan bermula awal tahun depan. Katanya, program itu merupakan sebahagian aktiviti amal dan kemanusiaan yang dirancang setiap tahun bagi membantu dan meringankan beban keluarga miskin yang mempunyai ramai anak serta kurang berkemampuan untuk membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka. "Bagi sesi persekolahan 2013, seramai lebih 1,000 penerima mendapat manfaat daripada program ini. Program 'Kembali Ke Sekolah' telah dilaksanakan dalam lima fasa yang berlangsung sepanjang cuti persekolahan. "Pada tahun lepas, pelaksanaan penyerahan kelengkapan persekolahan kepada pelajar-pelajar terpilih diadakan di enam lokasi utama iaitu di SK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, di mana penerima sumbangan terdiri daripada para pelajar kurang berkemampuan dari 11 sekolah rendah di sekitar daerah Pasir Mas dan Pasir Puteh. "Lain-lain sekolah yang menerima bantuan ialah lima sekolah dari daerah Jitra, Kedah; enam sekolah di daerah Bagan Serai, Perak; lima sekolah sekitar Lanchang, Pahang. Turut menerima bantuan ialah sekolah di daerah Kota Tinggi Johor dan Balik Pulau, Pulau Pinang," katanya. Zawahir berkata, bagi meneruskan misi kemanusiaan itu, IAM mengalu-alukan sokongan dan sumbangan orang ramai bagi menjayakan program 'Kembali Ke Sekolah' bagi sesi persekolahan 2014 dengan Pakej Amal Bantuan Sekolah sebanyak RM150 seorang. Beliau berkata, sumbangan yang dihulurkan adalah untuk menyediakan pakaian seragam sekolah membabitkan baju dan seluar untuk pelajar lelaki, baju, kain dan tudung untuk pelajar perempuan bersama kasut, stokin, beg sekolah dan alat tulis. Di daerah ini katanya, program berkenaan dilaksanakan atas dasar prihatin kepada masyarakat luar bandar termasuk membantu murid dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan luar bandar di mana IAM bersama Etiqa Takaful Berhad mengadakan program 'Kembali Ke Sekolah 2014' bagi Fasa 3 Peringkat Wilayah Timur. "Ia melibatkan penyerahan kelengkapan sekolah kepada lebih 200 pelajar miskin dari lima sekolah iaitu SK Bukit Jawa (1), SK Bukit Jawa (2), SK Berangan, SK Danan dan SK Telosan yang turut membabitkan lebih 30 pelajar OKU," katanya. Sementara itu, Pengarah Urusan Etiqa Takaful (Etiqa) Kota Bharu, Mohd. Manzul Jaafar yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah syarikat, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin ketika ditemui berkata, sumbangan yang disalurkan adalah sebahagian daripada zakat tahunan syarikat yang dihulurkan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak untuk diagihkan kepada penerima. "Etiqa sentiasa mengkaji dan meneliti institusi berkaitan dan memastikan hanya asnaf yang layak menerima bantuan disalurkan. Secara jujur kami menyokong gerakan IAM melalui program Kembali Ke Sekolah ini," katanya. Kata beliau, setakat ini syarikat telah membantu lebih 17 institusi kebajikan membabitkan lebih 1,600 anak yatim serta golongan asnaf seluruh negara membabitkan peruntukan lebih RM1.5 juta setahun. Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Jawa 1, Rusli Abdul Rahman berkata, adalah bantuan kedua diterima pelajar miskin di Selising dan ia amat melegakan ibu bapa yang kebanyakannya petani dan bekerja sendiri. |
MAYC, UMK rai 132 penghuni Rumah Seri Kenangan Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Para peserta Program Kasih Dirayu Sayang Dipadu bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Desa Kemumin, Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 23 Dis. - Seramai 132 warga emas yang menghuni Rumah Seri Kenangan Desa Kemumin dekat sini diraikan oleh Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri Kelantan dan Fakulti Warisan Sejarah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Program Kasih Dirayu Sayang Dipadu. Pengerusi MAYC Kelantan, Zamzani Harun berkata, program tersebut bertujuan meraikan penghuni rumah berkenaan melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan untuk memberikan kegembiraan kepada mereka. "Kebanyakan penghuni yang tinggal di sini tidak mempunyai keluarga dan ada segelintirnya dipinggirkan oleh anak-anak mereka. "Jadi, melalui program ini kita mahu memupuk kesedaran terutamanya dalam kalangan orang muda mengenai kepentingan menjaga dan menyayangi ibu bapa," katanya ketika ditemui pemberita di majlis berkenaan di sini semalam. Yang turut hadir Naib Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Pensyarah Fakulti Warisan dan Sejarah UMK, Anidah Alias. Antara program yang dijalankan adalah gotong-royong membersihkan kawasan, mengecat bangunan dan memasak bubur lambuk. Zamzani memberitahu, Program Kasih Dirayu Sayang Dipadu itu turut disertai oleh 120 belia dan beliawanis terdiri daripada mahasiswa UMK. Katanya, program amal tersebut memberikan peluang kepada golongan belia untuk turut sama terlibat dalam kerja sukarela. Jelas beliau, langkah berkenaan bertepatan dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai belia yang terlibat dalam kerja-kerja sukarela. |
Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI Orang ramai mula mendapatkan borang di kaunter yang dibuka di hadapan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri dekat Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 23 Dis. - Orang ramai mula memenuhi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dekat sini seawal pukul 8 pagi ini bagi mendapatkan borang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, datang mendapatkan borang permohonan, selain bertanyakan maklumat lanjut berkaitan bantuan tersebut daripada kakitangan LHDN yang kelihatan 'tidak menang tangan' melayan setiap persoalan dikemukakan. Seorang juruteknik, Wan Mohd. Asiff Wan Adnan, 35, berkata, dia berharap permohonannya akan diberi perhatian dan menganggap BR1M 'hadiah' daripada kerajaan kepada golongan berpendapatan sederhana. "Saya berasa amat bertuah kerana kerajaan sentiasa mengambil berat perihal rakyat dan BR1M adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah," ujarnya yang pertama kali membuat permohonan tersebut ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu, seorang pekerja swasta, Aslida Ibrahim, 32, berkata, pemberian BR1M merupakan peluang kepadanya untuk menikmati bantuan kerajaan. "Bantuan ini secara tidak langsung dapat meringankan bebanan yang saya tanggung akibat kenaikan kos hidup masa kini," katanya. Seorang pesara, Yasin Awang Hamad, 54, berkata, usaha yang dilakukan kerajaan itu amat mulia apatah lagi untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. "Keprihatinan kerajaan ini amat dihargai oleh golongan yang berpendapat rendah. Saya berharap bantuan sebegini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan pada masa akan datang," ujarnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014, mengumumkan bahawa pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300. Malah kata Perdana Menteri, sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima. BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |