Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 02 Sep 2013 04:26 PM PDT Bukan penyakit dan puncanya masih samar, tidak diketahui Hannah Zarith baru berusia tiga minggu dan menangis tidak berhenti-henti kecuali ketika tidur, menjadikan ibunya tidak tahu mahu buat apa.
Ada mencadangkan, berjumpa bomoh atau perubatan tradisional, mungkin diganggu makhluk halus. Malah, ada menyarankan beri anak nama timangan kononnya, nama diberi tidak serasi. Pernah juga diberi air jampi dan air zam-zam serta tangkal diperbuat daripada ubi kunyit dan akar kayu selain bertemu ustaz, dipercayai, dapat menolak bayi daripada terkena gangguan makhluk halus, namun masih buntu. Tiada yang lebih menggusarkan ibu bapa selain bayi yang baru lahir menangis tidak henti-henti, walaupun hakikatnya bayi akan menangis. Sebenarnya, keadaan dialami Hannah Zarith, dalam masyarakat biasa kerap digelar sawan tangis. Umumnya, sebanyak 20 peratus bayi yang baru lahir, mencecah usia empat bulan akan menghadapi masalah seumpama itu.
Sawan tangis, colic atau kembung perut adalah istilah yang sama, iaitu merujuk kepada tangisan yang lama atau kerap. Bagaimanapun, maksud ini sangat subjektif dan toleransi ibu bapa terhadap tangisan bayi juga berbeza. Sehingga kini, puncanya masih samar dan tidak diketahui. Punca samar Hakikatnya, tangisan adalah satu-satunya cara untuk bayi berkomunikasi dengan kita. Oleh itu, tangisan membawa pelbagai erti dan sebab berbeza. Kadangkala, bayi menangis kerana dahaga atau lapar. Mungkin juga mengantuk, ingin lebih perhatian, bosan dan mahu dibelai atau tidak mahu diganggu. Tangisan juga mungkin tanda bayi tidak sihat atau berasa tidak tenteram tanpa sebarang sebab yang pasti. Untuk mententeramkan bayi yang menangis, ibu bapa perlu belajar memahami keperluan bayi, gerak-geri dan tindak balasnya. Tidak semua bayi boleh ditenteramkan dengan cara yang sama. Ada bayi mudah ditenteramkan, ada bayi yang sukar berhenti menangis. Justeru, ibu bapa perlu tahu kebanyakan bayi akan berhenti menangis selepas dibelai beberapa ketika. Namun, ada segelintir bayi yang akan menangis terlalu lama dan sukar untuk ditenteramkan. Kerap kentut dan sendawa Bayi colic juga kerap membuang angin sama ada kentut atau sendawa selepas menangis. Bagaimanapun, ada kajian menunjukkan, kekerapan membuang angin itu disebabkan bayi banyak menelan udara ketika menangis. Ada bayi yang tidur nyenyak pada siang hari, tetapi mula menangis pada masa tertentu terutama di tengah malam tanpa sebab yang jelas. Apa yang pasti, menangis bagi bayi adalah satu perkara biasa, bukan semestinya kerana kelalaian ibu. Ada juga berpendapat, usus bayi kurang matang dan belum berfungsi dengan baik menyebabkan colic kerap berlaku di bawah usia bayi enam bulan. Colic dikatakan, berasal daripada sistem saraf kurang matang. Justeru, bayi lebih mudah teruja dan tidak berupaya meleraikan tangisannya setelah mula menangis. Banyak gangguan Bayi colic dikatakan akan lebih terganggu dengan bunyi bising seperti televisyen, telefon atau suasana dan bunyi bunyian asing yang didengar. Pemakanan ibu yang menyusu badan juga kerap dikaitkan dengan punca situasi ini. Sebagai contoh, sesetengah jenis makanan menyebabkan pengeluaran gas atau angin menyebabkan kembung atau colic. Bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang mampu merungkai pandangan ini kerana tiada makanan khusus menyebabkan colic. Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata sawan tangis biasanya diistilahkan kepada bayi yang menangis secara berpanjangan terutama pada waktu senja. "Sama ada sawan tangis dan baby colic, sukar diperkatakan kerana kedua terminologi mempunyai asas berlainan. Bagaimanapun, tanda dan manifestasi kedua-dua adalah sangat serupa," katanya. Beliau berkata, ibu perlu pastikan apa sebab anak menangis adakah disebabkan lampin basah, suasana persekitaran terlalu panas atau sejuk, lapar, gigitan serangga, atau berpunca daripada faktor lain. Ada yang menyatakan, sawan tangis kerap berlaku kepada bayi sulung dan bongsu, namun Dr Yong berkata, tiada bukti yang menyokong kepercayaan ini. Dalam sesetengah kes, ada keluarga semua anak mengalami sawan tangis ketika bayi. Sabar tenangkan bayi Sawan tangis atau colic memerlukan tahap kesabaran tinggi dari ibu bapa. Dr Yong berkata, jika bayi menangis secara berpanjangan, perlu memastikan lampinnya tidak basah atau kotor. "Sekiranya bayi anda belum minum, berikan susu dan pastikan dia sendawa selepas menyusu. Pastikan juga bayi tidak terlalu sejuk atau panas serta tiada kesan gigitan nyamuk atau semut. Sekiranya tiada tanda-tanda ini dan dia masih menangis, cuba peluk dan dodoikan bayi anda dengan perlahan sementara urut perutnya dengan perlahan. Sawan tangis ini biasanya tidak berlanjutan selepas umur bayi enam bulan," katanya. Beliau berkata, rawatan moden terdiri dari penggunaan probiotik untuk menambahkan bilangan bakteria sihat dalam usus. Katanya, antara penawar yang boleh mengurangkan gejala ini biasanya adalah Gripe Water dan Dimethicone bagi memecahkan angin tetapi tidak begitu berkesan terutama dalam kes lebih serius. Berkenaan rawatan tradisional beliau berpendapat, sukar untuk diperkatakan kerana masalah ini akan berhenti secara sendiri paling lewat pada usia bayi anak enam bulan. Walaupun begitu, urut sudah dikenal pasti sebagai salah satu kaedah untuk menenangkan bayi dan mungkin membantu dalam menangani masalah sawan tangis. Sebabkan angin pasang Mengulas berkenaan kebenaran sawan tangis boleh menyebabkan masalah angin pasang pada alat kelamin bayi lelaki, beliau berkata bayi yang menangis atau batuk berpanjangan boleh mendapat hernia atau angin pasang, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini disebabkan tekanan pada bahagian abdomen meningkat. Tetapi kemungkinan ia berpotensi berlaku adalah lebih dalam kalangan bayi pramatang. "Tiada bukti yang menunjukkan kesan buruk atau baik sawan tangis terhadap bay. Bagaimanapun, secara tidak langsung, bayi yang kerap menangis akan menimbulkan tekanan terhadap ibu bapa dan ini mungkin menyebabkan kemurungan pada ibu, terutama sekali sekiranya tiada sokongan dari suami atau keluarga. "Sekiranya, bayi mengalami masalah sawan tangis atau colic, adalah penting suami serta keluarga tidak menuding jari kepada ibu dan menuduh beliau tidak pandai menguruskan anak. Sebaliknya, ibu sepatutnya diberi sokongan dan bantuan untuk menangani masalah ini," katanya. Bagaimana jika sawan tangis itu simptom masalah lain yang lebih serius? Dr Yong menasihatikan, dalam keadaan ini, jika tiada sebab yang boleh dikaitkan, bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. INFO: Panduan mententeramkan bayi colic:
Kepercayaan tradisi menangani colic
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |