Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Melaka berjuang hak pertanian
- KRT wajar diberi lonjakan baharu
- RTC Batu Hampar jana pendapatan penduduk setempat di Rembau
Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh FADZLY IZAB HASAN Rahman (tengah) bersama Mohd. Nawi Othman (bertopi) memotong kek perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan anjuran FAMA di Pasar Tani Merlimau, Jasin, Melaka, kelmarin. JASIN 2 Sept. - Melaka berhasrat mendapatkan pengiktirafan sebagai Showcase Pertanian Negara dalam usaha kerajaan negeri membangunkan beberapa sektor bidang berkenaan yang telah diusahakan secara aktif selama ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pengiktirafan itu juga mampu menjadi landasan dalam memperjuangkan hak golongan peladang, penternak dan nelayan di negeri ini secara lebih proaktif. "Antara fokus utama Melaka melalui pengiktirafan itu termasuk membangunkan sektor perladangan, pertanian sederhana, pendidikan pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan beberapa sektor lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Hari Raya Aidilfitri 2013 dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri di Tapak Pasar Tani Merlimau di sini semalam. Yang turut hadir Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Pengerusi Pasar Tani Melaka, Jamaluddin Arsah. Menurut Hasan, melalui status sebagai Showcase Pertanian Negara juga, Melaka mahu memohon kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar mengkaji semula peruntukan pembangunan pertanian kepada Melaka bagi tahun hadapan. "Melaka hanya mendapat RM820,000 sebagai peruntukan pertanian untuk tahun hadapan berbanding negeri-negeri pembangkang seperti Kelantan dan Selangor yang mendapat peruntukan lebih RM20 juta. "Oleh itu, perkara ini perlu dikaji semula dan jumlah peruntukan tersebut mestilah berada pada angka yang lebih munasabah," ujarnya. Di peringkat negeri katanya, Unit Perancang Ekonomi Melaka (UPEM) diminta berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai perkara itu. "Jumlah berkenaan terlalu sedikit dan tidak dapat membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan usaha pembangunan dalam sektor tersebut seperti yang telah dirancang. "Jumlah itu juga tidak dapat diagih-agihkan kepada agensi-agensi di bawah portfolio Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri seperti FAMA dan lain-lain dalam usaha mengubah imej pasar tani bersesuaian dengan status negeri maju," jelasnya. |
KRT wajar diberi lonjakan baharu Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL MOHAMAD Hasan bersalaman dengan penduduk ketika merasmikan KRT Paroi Jaya, Seremban, semalam. SEREMBAN 2 Sept. - Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu diberi lonjakan baharu untuk menyaksikan keberadaan mereka dalam masyarakat dihormati sekali gus menjadi agensi rujukan dalam mengekang isu jenayah dan kesejahteraan rakyat. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, KRT perlu menduduki barisan hadapan dalam lingkungan kawasan yang diselia iaitu di taman perumahan supaya penduduk lebih yakin dengan kehadiran mereka. "Peranan yang dimainkan hendaklah melata, bukan sekadar bertindak menjaga keamanan kawasan yang diselia, tetapi lebih daripada itu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dengan menganjurkan aktiviti secara bersama. "Ini harus dilakukan oleh semua KRT melalui jawatankuasa mereka, serta memastikan wujud penyertaan dalam kalangan penduduk untuk turut sama menyokong usaha perpaduan atau mengawal keselamatan taman di bawah Skim Rondaan Sukarela (SRS)," katanya sewaktu merasmikan KRT Paroi Jaya, dekat sini hari ini. Mohamad mengakui sumbangan KRT begitu besar dalam menjaga keselamatan taman perumahan dan lebih dihargai kerana mereka dapat menyatukan rakyat di situ. "Memang mereka yang terlibat ini tiada insentif dan mereka yang menyertai KRT dan SRS ini melakukannya kerana rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap keamanan dan cintakan negara. "Kerajaan negeri sentiasa sahaja membantu dan menjayakan apa juga program yang hendak dibuat oleh KRT ini," katanya. Walau bagaimanapun, Mohamad memberitahu, sudah tiba masanya KRT diperkasa dan dinilai semula peranan yang dimainkan kerana kini semakin mencabar. "Sudah sampai masanya Kerajaan Pusat memikirkan tentang imbuhan yang diterima Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini diberikan juga kepada KRT seluruh negara. "Sekurang-kurangnya pengerusi, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa KRT ini dapat menerima elaun sebagaimana JKKK kerana mereka juga memainkan peranan serupa dalam mensejahterakan rakyat," tegas Mohamad. Selain itu, beliau turut berharap lebih ramai generasi muda menyertai KRT di taman perumahan masing-masing agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan dengan tersusun. "Kita mahu 'orang muda' turut sama meronda pada waktu tengah malam dan awal pagi serta bersama-sama menyumbang tenaga dan khidmat bagi memastikan penduduk dapat hidup dalam keadaan aman," katanya. |
RTC Batu Hampar jana pendapatan penduduk setempat di Rembau Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT REMBAU 2 Sept. - Projek Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Batu Hampar dekat sini yang dijangka siap tahun depan bukan sahaja meningkatkan taraf hidup rakyat, malahan memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan pelbagai agensi di bawah satu bumbung. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, projek pertama seumpamanya di negeri ini menelan belanja sebanyak RM30 juta itu sedang rancak didirikan di kawasan lebih lapan hektar dan status projek berkenaan kini mengikut jadual ditetapkan. Jelas Mohamad, apabila projek berkenaan itu siap sepenuhnya, bukan sahaja akan menjadi pusat perniagaan pelbagai barangan bagi penduduk luar bandar tetapi dapat memberi nilai tambah kepada kehidupan masyarakat setempat. ''Berdasarkan laporan yang saya terima dalam mesyuarat Exco lalu, saya telah ditaklimatkan tentang status projek berkenaan yang telah mula dilakukan sejak bulan Februari lalu dan mengikut jadual. ''Jika tidak ada apa-apa halangan, kita juga akan memanggil para peserta yang berminat untuk diberikan tempat, sama ada pertengahan atau hujung tahun depan," katanya di sini kelmarin. Jelas Mohamad, turut disediakan adalah 150 kawasan penempatan ditawarkan kepada penerima E-Kasih menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi membolehkan mereka bergiat aktif dalam perniagaan. Malah katanya, menerusi program ini juga nanti mereka akan ditunjuk ajar dan dibantu oleh jabatan-jabatan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuklah peladangan, penternakan, pertanian dan sebagainya. ''Kita akan pilih. Mereka ini berkebolehan tetapi terdapat kekangan dari segi modal dan sebagainya. Sebaik berjaya nanti, mereka boleh pilih sama ada meneruskannya atau berhijrah untuk memberikan peluang itu kepada orang lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |