Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Pekebun getah merusuh di Thailand
- Angelina Jolie bakal terima Anugerah Kemanusiaan
- Berjuta cengkerik serang Oklahoma
Pekebun getah merusuh di Thailand Posted: Pekebun getah merusuh di ThailandSEPASUKAN polis pencegah rusuhan cuba menghalang kemaraan pekebun-pekebun getah di sebuah lebuh raya di wilayah Prachuab Khirikhan, selatan Thai kelmarin. BANGKOK - Kejatuhan harga getah di pasaran dunia mendorong beratus-ratus pekebun getah bertempur dengan pasukan keselamatan dalam tunjuk perasaan di selatan Thailand, kata beberapa pegawai semalam. Mereka turut membakar kereta sehingga memaksa polis menembak gas pemedih mata dalam kekacauan terbaharu di wilayah bergolak itu. Lebih 24 anggota polis cedera manakala 11 pemimpin penunjuk perasaan ditangkap dalam demonstrasi di wilayah Prachuap Khiri Khan kelmarin. Komander polis wilayah, Mejar Jeneral Thanet Soonthornsuk berkata, dua kenderaan media dibakar dalam pertempuran yang tercetus selepas lebih 400 pekebun getah menghalang laluan di sebuah lebuh raya utama menghala ke selatan Thai. "Seramai 23 anggota polis cedera dengan dua daripada mereka parah akibat dipukul di kepala dengan batu," katanya. Menurut Thanet, kumpulan penunjuk perasaan itu turut membaling cuka getah ke arahnya. Thailand merupakan pengeksport getah asli utama di dunia. Kemarahan pekebun getah itu mencetuskan cabaran baharu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra selepas dua tahun mentadbir negara. Sejak beberapa hari lalu, beratus-ratus pekebun getah yang berang bertindak menutup beberapa batang jalan dan landasan kereta api kerana membantah kejatuhan harga getah global yang menjejaskan periuk nasi mereka. Wilayah berkenaan merupakan kubu kuat pembangkang Thailand, Parti Demokrat. Kerajaan Yingluck setakat ini menolak tuntutan untuk menstabilkan harga getah pada paras 120 baht (RM12.30) sekilogram iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran dunia. Beliau sebaliknya berkeras menawarkan bayaran sebanyak 1,260 baht (RM129.25) untuk setiap 0.4 hektar tanah milik pekebun getah bagi membantu menampung kos pengeluaran di samping mewujudkan dana meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan getah. Namun, tawaran tersebut ditolak oleh penunjuk perasaan. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Pracha Promnog berkunjung ke selatan Thai lewat semalam untuk menemui pemimpin-pemimpin penunjuk perasaan itu. Ketua Polis, Adul Saengsingkaew (kiri) melihat sebuah kereta yang musnah dibakar oleh penunjuk perasaan di wilayah Prachuap Khiri Khan, selatan Thailand semalam. "Kami akan berdialog dengan mereka di semua peringkat," katanya kepada wartawan tanpa mendedahkan sama ada kerajaan telah bersedia untuk bertolak-ansur atau sebaliknya. Thailand digugat dengan beberapa episod kekacauan sejak beberapa tahun lalu melibatkan protes jalanan yang diadakan oleh penyokong dan penentang bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Thaksin ialah abang kepada Yingluck. Pada tahun 2010, demonstrasi selama dua bulan di Bangkok oleh kumpulan Baju Merah yang pro-Thaksin disertai 100,000 penunjuk perasaan sebelum gerakan mereka dipatahkan oleh tentera. Lebih 90 orang dengan kebanyakannya orang awam terbunuh semasa tunjuk perasaan itu. Hampir 1,900 lagi cedera dalam pertumpahan darah politik terburuk di Thailand sejak beberapa dekad lalu. - AFP | |
Angelina Jolie bakal terima Anugerah Kemanusiaan Posted: Angelina Jolie bakal terima Anugerah Kemanusiaan
LOS ANGELES - Akademi Sains dan Seni Filem akan memberikan anugerah kemanusiaan berprestij kepada bintang Hollywood, Angelina Jolie untuk kerja-kerja kempen yang dilakukannya, umum badan penganugerahan Oscar kelmarin. Lembaga Gabenor Akademi tersebut juga akan memberikan anugerah kehormat kepada pelakon veteran Steve Martin dan Angela Lansbury serta pereka kostum popular Itali, Piero Tosi yang terlibat dalam filem klasik 1971, Death in Venice. Menurut akademi itu, Jolie yang pernah memenangi anugerah Oscar untuk pelakon pembantu terbaik pada tahun 2000 menerusi filem Girl, Interrupted telah menjadi pejuang isu-isu kemanusiaan. Beliau menjelajah seluruh dunia untuk menggalakkan usaha keadilan sosial. Jolie telah berkhidmat untuk kumpulan sokongan termasuk Majlis Hubungan Luar dan dinamakan sebagai duta khas Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada 2012. Jolie, 38, akan menerima Anugerah Kemanusiaan Jean Hersholt yang sebelum ini pernah diberikan kepada Jeffrey Katzenberg, Oprah Winfrey, Jerry Lewis, Sherry Lansing, Arthur Miller, Quincy Jones, Paul Newman dan Elizabeth Taylor. Anugerah itu akan disampaikan di majlis Anugerah Tahunan Akademi Gabenor ke-5 pada 16 November depan di Dolby Ballroom di Pusat Hollywood & Highland di sini. - AFP | |
Berjuta cengkerik serang Oklahoma Posted: Berjuta cengkerik serang OklahomaDINDING sebuah restoran makanan segera BANDAR RAYA OKLAHOMA - Berjuta-juta cengkerik membanjiri beberapa kawasan di negeri Oklahoma dengan mengeluarkan bunyi bising dan bau busuk, lapor akhbar Daily Mail semalam. Menurut penduduk tempatan, serangga itu berkeliaran di setiap ruang termasuk jalan raya, laluan pejalan kaki dan dinding bangunan. Tindakan membunuhnya juga dilaporkan tidak berkesan. Ini kerana bangkai cengkerik akan menarik kehadiran lebih banyak serangga itu untuk memakannya. Penduduk juga tidak dapat mengelak daripada memijak serangga berbau busuk itu ketika mereka keluar ke bandar. Dalam pada itu, beberapa pakar berkata, musim hujan mungkin menjadi faktor penyebab ledakan dalam bilangan serangga tersebut. "Bilangan cengkerik meningkat dengan banyak selepas cuaca kering berakhir yang diikuti hujan lebat pada bulan Julai dan Ogos," kata Pengarah Makmal Penyakit Tumbuhan dan Diagnostik Serangga Universiti Oklahoma, Rick Grantham. "Rekahan tanah yang meluas juga boleh menjadi faktor penting," tambahnya. Serangga itu bersarang di dalam tanah. Grantham turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh mengurangkan jumlah cengkerik seperti membuang timbunan batu bata, kayu atau serpihan lain di sekitar rumah. - AGENSI |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |