Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Penduduk diugut samseng
- Kemeriahan berterusan pada hari kedua Fiesta Riuh Sakan
- Harga nasi kandar, sate naik 20 sen
Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL Penduduk kampung menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran tindakan pihak pemaju dipercayai menggunakan khidmat samseng bagi menakutkan mereka supaya berpindah di Kampung Pokok Asam, Jelutong. Pulau Pinang, semalam. - utusan/ismail kamadin PULAU PINANG 6 Sept. - Penduduk Kampung Pokok Asam, Jelutong di sini mendakwa, syarikat pemaju yang terlibat dengan projek pembangunan di kampung berkenaan menggunakan khidmat samseng untuk menakut-nakutkan penduduk yang enggan akur kepada arahan supaya berpindah. Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Jelutong, Khamariah Ahmad berkata, lebih 100 penduduk di situ kini hidup dalam ketakutan kerana diugut, dikasari dan tertekan kerana laluan ke kampung berkenaan disekat selain mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Apa yang menimbulkan persoalan, tambah beliau, pemaju seolah-olah kebal dan tidak takut dengan undang-undang selepas berani bertindak sesuka hati termasuk membuat surat pengakuan palsu menggunakan nama penduduk. Mereka mahu kami menandatanganinya selain menghantar samseng menganggu penduduk. Dalam kejadian pada 29 Ogos lalu, seorang penduduk dipukul samseng yang dipercayai bekerja dengan syarikat pemaju berkenaan sehingga cedera. Dia membuat laporan polis, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurutnya, pemaju turut bertindak menutup satu-satunya laluan ke kampung berkenaan dengan menuang timbunan pasir sehingga menyebabkan penduduk terperangkap di kampung sendiri. Menurutnya, kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat tidak memainkan peranan membantu penduduk dalam isu itu sebaliknya memihak kepada pemaju. Kami telah memaklumkan masalah ini kepada wakil rakyat DAP kawasan ini iaitu Lim Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, namun beliau hanya menghantar pembantunya untuk mengambil gambar dan tiada apa-apa tindakan selepas itu. Kerajaan negeri sanggup membiarkan penduduk kampung tertekan akibat masalah ini tanpa membantu, tetapi mereka harus ingat, mereka tidak selama-lamanya berkuasa," katanya. Sementara itu, kakitangan syarikat berkenaan ketika dihubungi memaklumkan pihak pengurusan syarikat tersebut tidak berada di pejabat untuk membuat sebarang kenyataan. |
Kemeriahan berterusan pada hari kedua Fiesta Riuh Sakan Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT Sebahagian kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna di Fiesta Riuh Sakan Utusan/Kosmo di Tasik Darul Aman, Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. KUBANG PASU 6 Sept. - Lebih 200 orang daripada pelbagai peringkat usia menyertai program Mari Jalan Kaki sempena Fiesta Riuh Sakan Utusan/Kosmo! di Taman Tasik Darul Aman, Jitra di sini hari ini. Program bagi mempromosikan gaya hidup sihat itu bermula pada pukul 8 pagi dengan para peserta berjalan kaki bersama rakan atau ahli keluarga masing-masing sejauh 2.5 kilometer di sekitar taman tasik berkenaan. Sebelum memulakan acara itu, mereka terlebih dahulu menyertai acara senamrobik yang diadakan sebagai salah satu aktiviti menarik dalam pengisian fiesta tersebut. Persatuan Senamrobik Kubang Pasu mengendalikan program berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Kubang Pasu. Penyelaras program, Mohd. Fikri Hamdan berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti rekreasi bagi meningkatkan kecergasan diri, di samping mengeratkan hubungan dan kemesraan antara ahli keluarga. Katanya, pendekatan seumpama itu dapat menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti berjalan kaki sebagai salah satu riadah rutin dalam kehidupan harian. "Berjalan kaki merupakan satu riadah dalam keadaan teratur dan santai yang menyihatkan. Kami berharap masyarakat dapat meneruskan amalan itu di kawasan ini," katanya di sini hari ini. Dalam pada itu, hari kedua fiesta tersebut juga dimeriahkan dengan pertandingan mewarna yang disertai kira-kira 400 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun. Mereka yang ditemani ibu bapa turut terhibur dengan telatah maskot watak animasi terkenal, BoboiBoy dan Yaya. Pertandingan mewarna itu menyaksikan Al Nazfeera Wardina Al Rafaee, 6, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gambir, Pulau Pinang muncul juara kategori prasekokah. Rusydina Rajmi, 8, dari SK Seri Perdana, Alor Setar pula menjuarai kategori tujuh hingga sembilan tahun manakala Muhammad Faris Syafizie yang juga dari SK Bukit Gambir memenangi kategori 10 hingga 12 tahun. Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang hadiah sebuah basikal. |
Harga nasi kandar, sate naik 20 sen Posted: 06 Sep 2013 12:17 PM PDT PULAU PINANG 6 Sept. - Kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel diambil kesempatan beberapa pengusaha restoran nasi kandar dan sate di negeri ini dengan menaikkan harga makanan dan minuman di premis masing-masing. Golongan tersebut memberi alasan kos penghantaran barang mentah meningkat, membuatkan mereka tiada pilihan melainkan menaikkan harga jualan bagi mengelak mengalami kerugian. Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis nasi kandar mendapati kebanyakan harga makanan dan minuman naik 20 sen sama seperti kenaikan harga bahan mentah terbabit. Antaranya roti canai dari 80 sen menjadi RM1, nasi lemak RM1.20 (sebelum ini RM1), teh tarik RM1.20 (RM1), milo ais RM1.90 (RM1.70), jus buah-buahan RM2.70 (RM2.50) dan sate dari RM1.00 ke RM1.20 secucuk. Suri rumah, Rozila Wahab, 37, berkata, dia terkejut semasa membeli roti canai di sebuah kedai nasi kandar yang selalu dikunjunginya kerana harga biasanya 80 sen kini naik 20 sen kepada RM1. "Saya tanya kenapa harga roti canai naik 20 sen? Pengusaha kedai beri alasan tepung dan minyak dihantar menggunakan lori dan kenderaan tersebut menggunakan petrol. "Memang saya bengang dengan jawapan tersebut dan saya percaya dia sengaja mengambil peluang menaikkan harga makanan demi mengaut untung lebih besar," katanya ketika ditemui di Relau, di sini hari ini. Menurutnya, para peniaga terbabit mungkin berani berbuat demikian disebabkan lokasi premis mereka terletak di pinggir bandar seperti di Relau, Bayan Lepas dan Sungai Ara. Pekerja swasta, Mazlina Malik, 29, pula memberitahu, selain restoran, gerai-gerai di tepi jalan juga perlu dipantau supaya tidak diambil kesempatan menaikkan harga jualan. "Kalau disebabkan harga minyak naik, harga teh tarik pun dinaikkan, itu tidak patut. Kasihanilah kami para pengguna terutama golongan berpendapatan rendah," katanya. Sementara itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri memberi amaran keras kepada semua peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati. Pengarahnya, Mohd. Salleh Ma'amor ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal yang boleh membebankan pengguna. "Sekiranya ada peniaga degil, kita akan ambil tindakan dan mendakwa mereka di bawah akta sedia ada," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |