{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Pecahkan kaca untuk lepaskan geram

Posted:

Pecahkan kaca untuk lepaskan geram

Pecahkan kaca untuk lepaskan geram

SEBAIK pinggan yang dibaling tepat mengenai sasaran, ia pecah dan jatuh berderai. Seakan-akan suatu perasaan yang menakjubkan terbit di dalam hati. Lantas senyuman terukir di bibir. Barangkali, rasa tekanan atau benci yang tidak terluah dan terpendam dalam hati serta-merta hilang daripada tubuh. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kepuasan itu kekal atau bersifat sementara.

Menjalani kehidupan di bandar-bandar besar diakui memang sukar. Bekerja keras untuk menepati tarikh akhir tugasan, kekecewaan hidup dan tuntutan kewangan antara alasan lazim yang dijadikan sebagai punca tekanan.

Maka, pusat karaoke, pawagam, gimnasium dan restoran-restoran mamak penuh dengan manusia yang berkumpul pada waktu malam untuk berbual kosong bagi meredakan tekanan yang dialami.

Kepada yang bukan Muslim, mereka mempunyai pilihan lain untuk meredakan tekanan iaitu dengan mengunjungi bar-bar atau kelab malam. Namun, ia bukanlah penyelesaian terbaik.

Kadangkala, kaedah sebegitu langsung tidak membantu mengurangkan tekanan selepas melepasi suatu tempoh. Rasa stres yang tidak terkawal dalam diri adakalanya mendorong seseorang bertindak ganas seperti mahu menghempas barang atau memecah barang-barang kaca.

Dengan keluasan 278.7 meter persegi, sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur memperkenalkan cara terbaharu dalam mengurangkan stres hidup di bandar dengan cara yang berbeza.

Dikenali sebagai Smash House, ia membolehkan individu atau kumpulan bertindak ganas, tetapi dalam keadaan perasaan yang terkawal dan gembira.

SEBELUM kaca dibaling ke dinding pelanggan boleh menulis sesuatu di atas kaca tersebut.


Tiga permainan

Ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda seramai 12 orang, mereka berkongsi modal lebih kurang RM150,000. untuk memberi satu lagi alternatif baharu kepada penduduk bandar dalam meredakan tekanan.

"Minuman keras boleh membahayakan kesihatan dan lebih parah kalau memandu, sudah pasti ia memberi risiko kepada pengguna jalan raya lain," ujar salah seorang yang menubuhkan tempat itu, Max Poon, 31, ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam setiap hari, ia menyediakan tiga jenis permainan iaitu bilik terang, bilik gelap dan bilik komputer.

Menurut Sam Lee, 28, yang menguruskan Smash House, bilik terang adalah untuk permainan Magic Box yang memerlukan pemain membeli sebuah kotak mengandungi pelbagai jenis set peralatan makanan seperti teko, cawan dan pinggan yang dimasukkan secara rawak.

Sebelum membaling ke arah dinding, sasaran dibuat dengan meletakkan wajah individu yang dibenci di dinding atau tulis apa sahaja perkataan pada pinggan, lalu lempar ke sasaran.

"Bilik gelap pula, untuk permainan baling botol. Cecair berwarna glow in the dark dimasukkan ke dalam botol-botol minuman berkaca.

"Dalam gelap, apabila botol dibaling dan pecah, maka cecair yang keluar akan bersinar buat seketika memberi rangsang cahaya kepada pembaling," terang Sam.

Permainan ketiga ialah pemain diberikan satu set komputer lengkap dengan monitor, unit pemprosesan pusat (CPU), tetikus dan papan kekunci untuk menjadi tempat melepaskan geram.

Bekalan barang-barang yang dirosakkan didapati daripada pembekal-pembekal bergantung kepada jenis-jenis barang an seperti dari Pulau Pinang dan Johor.

Beroperasi pada 1 Julai lalu, kaedah ini sudah menjadi budaya untuk melepaskan tekanan lebih kurang dua tahun lalu di luar negara seperti di Jepun, Amerika Syarikat, China dan Filipina.

Setiap pengunjung yang melangkah ke dalam premis Smash House di tingkat dua deretan rumah kedai pasti berasa berada dalam suasana nyaman seperti di rumah sendiri.

"Lampu menggunakan cahaya kuning dengan lantai berkarpet bagi mewujudkan suasana selesa kepada pengunjung seperti berada di rumah," kata Max lagi.


PEMAIN perlu membeli sebuah kotak yang mengandungi pelbagai jenis set peralatan makanan seperti teko, cawan dan pinggan.


Jenis bilik

Setiap bilik direka kedap bunyi dengan tiada bunyi bising kedengaran di luar bilik permainan. Di dinding pula, ditampal bekas-bekas simpanan telur supaya permukaan tidak keras melainkan tempat sasaran.

Suasana di dalam bilik pula bergantung kepada jenis bilik sama ada gelap atau terang dengan muzik kegemaran pengunjung di pasang kuat. Justeru, bunyi bising kerana kaca pecah atau pekikan pengunjung dapat ditindih.

Pengunjung boleh datang berseorangan, berpasangan mahu pun berkumpulan untuk mengadakan sebarang acara dengan maksimum seramai 15 orang.

Smash House turut mengadakan parti hari lahir, majlis korporat, sambutan ulang tahun dan acara bersama rakan-rakan atau pun apa sahaja yang boleh difikirkan pengunjung.

"Kami dapati pengunjung paling ramai datang ke sini terdiri daripada golongan wanita iaitu kira-kira 70 peratus. Permainan yang paling mereka minati ialah membaling botol.

"Setakat ini, mereka yang datang disebabkan tekanan kerja dan ada juga yang hanya mahu bersantai," kata Max lagi.

Dari segi keselamatan, pihak Smash House begitu berhati-hati terhadap aspek itu selain bersifat teliti supaya tiada sebarang kecederaan berlaku.

Tata cara pengendalian piawai sebelum permainan berlangsung, setiap peserta mesti memakai baju pelindung, but keselamatan dan topi keledar penuh.

Ia bagi memastikan tiada serpihan kaca mengenai tubuh. Bagi peralatan untuk dipecahkan pula, setiap botol minuman dan peralatan makanan dicuci terlebih dulu dengan menggunakan cecair antiseptik, Dettol.

Cawangan lain

"Ia supaya tidak ada sebarang kuman pada barang-barang dan paling penting tiada bau yang kurang menyenangkan," kata Eddy Lee, 35, salah seorang pemegang syer.

Max, Sam, Eddy dan Lucas Liew, 26, yang terlibat dalam bidang kreatif dam banyak membuat kerja-kerja dekorasi Smash House selain lapan orang lain bertemu dua tahun lalu dalam sebuah kursus pemasaran sebelum membuat keputusan membuka perniagaan itu.


PAKAIAN keselamatan wajib dipakai sepenuhnya untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan.


Dalam memperkenalkan aktiviti terbaharu itu di seluruh Malaysia, mereka akan membuka cawangan baharu di bandar-bandar utama seperti di Johor Bahru, Johor pada akhir bulan September, manakala Pulau Pinang dijangka pada akhir tahun ini.

Selain itu, mereka turut dalam perancangan untuk mengadakan sebuah acara yang bersifat kebajikan dikenali sebagai Smash Car.

Terang Max, acara Smash Car boleh diadakan dengan syarikat-syarikat besar berkaitan automotif sebagai sebahagian daripada aktiviti.

Max berkata, tujuan utama mereka menubuhkan Smash House adalah untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang bebas tekanan dalam kalangan komuniti bandar sekali gus membina sebuah masyarakat yang kurang melakukan keganasan dan vandalisme.

"Sekarang, sudah ada sebuah tempat selamat yang membolehkan orang ramai melegakan stres tanpa membahayakan orang lain," katanya.

Setiap dua minggu, mereka akan membersihkan bilik-bilik dan kaca-kaca pecah dijual di pusat kitar semula. Hasil jualan barang-barang lusuh tersebut didermakan kepada rumah-rumah anak yatim.

"Tetapi, kami tidak akan membersihkan semuanya. Mesti ada sedikit kaca pecah bagi menaikkan mood kepada pengunjung semasa membaling kaca," ujar Max sambil tersenyum.

Stres sebagai ujian hidup

Posted:

Stres sebagai ujian hidup

Stres sebagai ujian hidup

STRES yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada penyakit jantung, hipertensi dan kemurungan.


SAMA seperti orang lain, Jamilah Jamil, 33, yang bekerja sebagai jurutera di Johor mengalami tekanan pekerjaan.

Tekanan bukan sahaja datang daripada pihak atasan, tetapi turut berpunca daripada orang yang lebih rendah pangkatnya.

Ia berlaku kerana terdapat pekerja yang lebih senior daripadanya. Apabila Jamilah mahu bertanya soalan pasti dijawab dengan nada acuh tak acuh atau jawapan yang tidak sepatutnya.

Justeru, apabila memikirkan masalah kerja akibat pekikan para senior, dia berasa stres.

"Apabila itu berlaku, saya pasti keluar bersama rakan-rakan untuk beriadah, mengikuti kelas senaman dan berbual-bual.

"Jika tiada rakan-rakan dan malas memikirkan masalah yang terjadi, saya pulang dan tidur supaya dapat memulakan hari esok dengan mood yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Kosmo!

Bercerita mengenai perbezaan zaman belajar dengan bekerja, Jamilah mengakui lebih tertekan menjadi pekerja berbanding pelajar.

"Barangkali, ketika itu rakan-rakan masih ramai, jadi dapat berkumpul dan melupakan masalah dengan mudah. Kerja pula bersifat tanggungjawab yang perlu dibuat dengan penuh dedikasi," luahnya sambil menghela nafas.

Punca tekanan boleh berlaku atas beberapa sebab. Antaranya, hati kurang bergantung kepada Allah, rasa was-was akibat hasutan syaitan, banyak berfikir negatif dan mengambil serius perkara atau nasib yang bakal berlaku.


SOLAT adalah cara terbaik untuk menenangkan diri. - Gambar hiasan


Menurut Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya, Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, tekanan juga boleh terjadi apabila mudah berputus asa dan lupa mengenai khazanah Allah yang maha luas selain bimbang dengan kekurangan harta.

Sementara itu, Pengamal Perubatan Moden dan Pakar Motivasi dalam dan luar negara, Dr. Danial Zainal Abidin, 58, menjelaskan, terdapat dua bentuk stres.

Tekanan yang melahirkan kesan positif dipanggil eustress atau tekanan yang baik. Contohnya, seorang pelajar akan mengalami tekanan terutamanya apabila tarikh peperiksaan semakin hampir.

Cara melihat tekanan

Tekanan bahaya adalah tekanan yang gagal dikawal sehingga membuatkan seseorang itu sugul, putus harapan, mahu membunuh diri dan seumpamannya.

Ia dikenali sebagai distress atau tekanan yang memudaratkan. Kesannya boleh dilihat pada fizikal dengan mengalami pening-pening pada peringkat pertama.

Kemudian, jantung berdegup laju, tekanan darah tinggi, kemurungan dan boleh mengalami histeria.

"Keadaan dan sikap seseorang menentukan sama ada sesuatu tekanan itu baik atau memudaratkan.

"Jika sikap negatif keterlaluan, ia membawa kepada distress. Pendekatan yang betul ialah berpandukan agama," terang Danial.

Contohnya, jika seseorang itu mengalami kemalangan, dia akan melihat secara positif dan menerima ketetapan yang telah terjadi.

Namun, apabila mangsa merungut dan mempersoalkan diri mengalami kecelakaan, ia sukar dijawab lalu stres menjadi semakin teruk.

Setiap kali mengalami ujian, kita perlu meyakini setiap yang berlaku datang daripada Allah dan pasti ada hikmah. Justeru, Islam menganjurkan umatnya bertawakal atau berserah kepada-Nya.

LUAHKAN setiap masalah kepada Allah kerana Dia sebaik-baik pendengar.- Gambar hiasan


Kata Danial, ia bermaksud tidak merungut dan mengamuk sebaliknya bersangka baik kepada Allah.

Cara kedua ialah dengan bersolat dan bersabar. Sabar dan solat yang dibuat secara khusyuk boleh mendamaikan jiwa seperti yang difirmankan dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 153 bermaksud:

"Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar."

Kaedah ketiga adalah sentiasa berzikir seperti firman Allah pada surah ar-Ra'd ayat 28: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."

"Dengan mengamalkan kaedah itu, individu tidak mengalami panik atau histeria, minda dan otak boleh fokus bagi menentukan tindakan yang sesuai dalam menyelesaikan masalah.

"Pada masa yang sama seseorang itu dapat mengawal stres," ungkap Danial.

Dalam pada itu, Muhammad Lukman berkata, tekanan sememangnya ujian yang diturunkan Allah seperti hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim: "Tiada suatu pun yang menimpa orang mukmin daripada kesusahan, penyakit, kegelisahan, kesedihan sehingga satu duri yang mencucuk melainkan Allah mengampunkan dosanya."

Tambahnya lagi, ayat 155, surah al-Baqarah menegaskan bahawa semua masalah yang berlaku adalah ujian dan pasti ada ganjaran kepada mereka yang bersabar.

Terjemahan ayat tersebut berbunyi: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." - ADLAN JAAFAR

Fenomena K-Pop pengantin China

Posted:

Fenomena K-Pop pengantin China

Fenomena K-Pop pengantin China


ORANG muda dari China lebih gemar mengabadikan foto perkahwinan mereka berlatar belakang gaya hidup urban.


BERDIRI di hadapan tingkap rekaan ala chateau Perancis, kedua-dua pengantin muda dari China itu saling berpandangan sambil memberi gaya terbaik kepada jurufoto. Aksi manja mereka dipotretkan untuk diabadikan sebagai foto perkahwinan.

Pasangan berumur lingkungan 20-an itu sanggup terbang jauh ke Korea Selatan semata-mata mahukan sentuhan jurusolek dan jurugambar tempatan kerana kegilaan terhadap budaya pop Korea Selatan yang melanda seluruh dunia kini.

China mencatatkan satu pertiga pelancong di Korea Selatan yang menyumbang sebanyak AS$15 bilion (RM49.51 bilion) dalam industri perkahwinan di negara itu.

Kebanyakan pengantin tidak memilih lokasi tipikal seperti tempat bersejarah, sebaliknya lebih gemar gambar perkahwinan mereka dirakamkan di destinasi urban di sekitar daerah Gangnam.

Kawasan itu menjadi fenomena menerusi lagu dendangan penyanyi Korea Selatan, Psy iaitu Gangnam Style. Pada masa yang sama turut mendapat jolokan destinasi popular untuk fesyen dan kosmetik yang mendapat perhatian selebriti tempatan.

"Gaya yang terdapat di Korea Selatan adalah lebih sofistikated dan menarik berbanding di China. Kami datang ke sini kerana Korea Selatan merupakan peneraju utama fesyen dan kecantikan," ujar bakal pengantin, Yang Candi.

Kementerian Pelancongan Korea Selatan menganggarkan hampir 2.5 juta pelancong China membelanjakan purata AS$2,150 (RM7,096) seorang pada tahun 2012, satu jumlah yang besar berbanding negara-negara lain. Ia membantu syarikat seperti iWedding yang merupakan perunding perkahwinan terbesar di Korea Selatan, untuk berkembang maju.

Setiap bulan dalam tempoh setahun, iWedding menjalankan perniagaan bersama 50 hingga 60 pasangan dari China. Kebanyakan mereka merupakan peminat tegar rancangan televisyen (TV) dan muzik Korea Selatan.

Pesaing iWedding, Design Wedding, mendakwa, mereka telah menjalankan perniagaan bersama syarikat di Shanghai dan mengambil gambar untuk 50 pasangan China sejak bulan Mei lalu. Sebuah lagi syarikat, Chuka Club, memperoleh pelanggan dari China walaupun tidak membuat iklan di laman web China seperti yang dilakukan dua syarikat tersebut.


KEGILAAN terhadap budaya K-Pop menyebabkan ramai golongan muda dari China mahukan sentuhan jurusolek dan jurugambar tempatan di Korea Selatan.


Lokasi popular

"Rakyat China gemar kehidupan moden Korea Selatan yang urban, bergaya dan cantik. Mereka tidak lagi melawat tempat-tempat bersejarah malah memilih Gangnam untuk merasai gaya seni baharu di pusat-pusat beli-belah," ujar pensyarah pengajian budaya pop Korea Selatan, Universiti Katolik Korea, Seoul, Song Sung-uk.

Korea Selatan merupakan gergasi ekonomi keempat terbesar di Asia selepas Perang Korea 1950 hingga 1953. Ia sinonim sebagai destinasi yang menjadi pilihan penduduk kelas pertengahan China dan dipengaruhi oleh budaya pop Korea Selatan yang popular di seluruh dunia.

"Saya menyimpan angan-angan untuk datang ke sini, terutamanya selepas menonton beberapa rancangan TV Korea Selatan," ujar bakal pengantin lelaki, Chen Jingjing.

Dia dan pasangannya merancang untuk mengambil gambar di lokasi-lokasi popular yang menjadi destinasi kunjungan selebriti Korea Selatan.

Selepas didandan selama tiga jam, Chen dan Yang yang anggun memakai busana rona putih, dibawa ke studio foto berdekatan untuk mengambil gambar yang berlangsung hampir lapan jam.

Latar belakang benua Eropah menjadi kegemaran pelancong China dan Korea Selatan. Busana pengantin ala Barat itu dirasakan sesuai oleh perunding perkahwinan jika berlatar belakang set Eropah.

Gambar-gambar tersebut akan diletakkan dalam album kulit iaitu salah satu pakej yang disediakan oleh perunding perkahwinan. Pakej tersebut merangkumi pengangkutan, servis pembantu dan pilihan hotel. Menurut koordinator iWedding, Yu Mi-ra, servis tersebut berharga antara AS$2,000 (RM6,601) hingga AS$4,000 (RM13,202).

Menurut Yu, kebanyakan warga China datang ke Korea Selatan untuk mengambil gambar perkahwinan kerana kualiti fotografi dan solekan. Namun, tidak semua menepati jangkaan seperti yang diharapkan oleh pasangan pengantin.

"Sangat kecewa dengan hasilnya kerana beberapa gambar menampakkan saya kelihatan tidak menarik dan canggung. Kami datang sejauh ini untuk mendapat pulangan yang tidak memuaskan," ujar Yang kecewa. - AP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat