{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Platform melahirkan lebih ramai penulis

Posted:

Platform melahirkan lebih ramai penulis

Platform melahirkan lebih ramai penulis

"DEMI pena, setiap kita adalah penulis." Demikian satu ungkapan motivasi yang mampu meremangkan bulu roma bagi sesiapa yang memahami makna tersirat di sebaliknya. Ia ringkas tetapi padat dengan maksud tersendiri.

Dicetuskan oleh Konsultan Idea Nuun Creative Books, Azzah Abdul Rahman, 34, sempena penganjuran Konvensyen Mini Penulisan 2013 yang berlangsung baru-baru ini, slogan tersebut diharap menjadi pembakar semangat untuk para peserta menghasilkan karya terbaik dalam dunia penulisan tanah air.

Menurut Azzah, ironinya, slogan itu terbahagi kepada dua. Pertama, 'Demi pena' diambil daripada ayat pertama surah al-Qalam iaitu sumpah Allah di atas pena dan apa yang ditulis iaitu tanggungjawab setiap penulis atas apa yang dituliskan olehnya.

"Ayat kedua 'setiap kita adalah penulis' pula dipilih bagi memberi keyakinan bahawa sesiapa sahaja yang menulis adalah seorang penulis walaupun sekadar menghantar pesanan melalui sistem khidmat pesanan ringkas atau luahan rasa di laman sosial Facebook.

"Justeru, dua ayat ini digabungkan sebagai galakan supaya semua orang hanya menulis perkara-perkara yang baik kerana kita bertanggungjawab atas setiap dikaryakan terutamanya di akhirat kelak," ujar wanita yang juga merupakan Naib Presiden II Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) kepada Kosmo!.

Berlangsung pada 20 Julai lalu di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 120 orang peserta yang terdiri daripada kelompok penulis baharu, individu yang berminat untuk menulis dan juga penulis yang telah mempunyai koleksi karya tersendiri.

Masing-masing datang dengan tujuan untuk menimba ilmu bagaimana untuk menjadi penulis terbaik yang mampu menyumbang kepada masyarakat, menjana pendapatan di samping meraih 'saham' akhirat.

Jelas Azzah, secara peribadi konvensyen itu bermatlamat untuk meraikan penulis tidak kira yang lama atau yang baharu.


PARA peserta Konvensyen Mini Penulisan 2013 berpeluang bertemu penerbit dan mereka yang terlibat dalam industri penerbitan dan penulisan di Malaysia.


"Sudah lama saya impikan untuk melihat satu acara khusus untuk meraikan penulis-penulis di Malaysia. Ia sebenarnya bertitik tolak daripada kunjungan saya ke Festival Penulis Singapura tahun lalu.

"Sebelum ini saya pernah menyuarakan cadangan untuk menganjurkan program ini tetapi mungkin yang mendengarnya bukan pihak yang tepat. Malah, ada yang bersikap skeptik dan berkata, belum masanya untuk Malaysia.

"Saya pula bukan jenis orang yang sabar menunggu. Apa yang orang belum buat, itulah yang saya mahu buat. Apa yang orang tidak berani buat, itulah yang saya tidak takut buat. Dengan bertindak, baru sesuatu itu dapat bergerak," tegasnya yang kemudian bekerjasama dengan sahabat baik beliau, Zamri Mohamad, 32, yang juga merupakan seorang jurulatih terkemuka dunia penulisan bagi menjayakan program tersebut.

Tambah Azzah, Pesta Buku Antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun sememangnya membantu industri buku negara, namun fokusnya lebih kepada penerbit dan pembaca. Walaupun memang ada slot untuk penulis, tetapi kebanyakannya hanya untuk penulis yang sudah bertapak dalam industri.

"Mungkin juga kerana saya ini orang kecil industri yang juga seorang jurulatih penulisan. Justeru, fokus saya memang tertumpu kepada mereka yang masih kerdil seperti penulis baharu, penulis yang hampir putus asa dan individu biasa yang berhasrat mahu menjadi penulis.

"Saya ingin melihat kesatuan yang baik dalam kalangan penggiat industri. Kita sama-sama menulis dan industri ini kecil. Saling mendokong, saling mendorong, itu sunah. Itu tuntutan agama dan amalan budaya kita," ungkapnya penuh makna.

Tambah Azzah, tidak kira genre, gaya bahasa, teknik dan teori yang digunakan, kita sama-sama menyasarkan anugerah tertinggi yakni syurga di akhirat kelak kerana penulisan adalah satu cabang dakwah yang bukan sebarang.


BUKU berbentuk dakwah dan motivasi semakin banyak diterbitkan di pasaran.


Berkongsi maklumat

Sementara itu, Zamri berkata, secara keseluruhan konvensyen ini memberi jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di minda peserta.

Antaranya, bagaimana seorang penulis dapat bekerjasama dengan penerbit agar karyanya diterbitkan, cara menulis karya yang mesra syariah dan kaedah mencapai kehidupan seorang penulis profesional.

Justeru, seramai 10 ahli panel yang terdiri daripada penggiat industri dalam dunia penulisan tanah air telah diundang untuk berkongsi maklumat dan panduan bersama para peserta.

Mereka ialah Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin; pendakwah bebas, Ustaz Rohidzir Rais; novelis fiksyen sejarah Islam, Abdul Latip Talib dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku, Nor Hayati Razali.

Tidak ketinggalan penulis komik berjaya, Nazry Salam Feeqry; penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki, Ustaz Fathuri Sallehudin; pengasas syarikat pakar runding Write To Wealth, Aqif Azizan; usahawan buku, Wahyudi Mohd. Yatim dan Izwan Wahab merangkap penulis buku Internet Marketing untuk Bisnes Kecil.

"Antara topik yang dibincangkan ialah Penulisan mesra syariah: Harta berkat, karya bertahan; Mengekstrak al-Quran dan hadis dalam penulisan: Seni dan cara; Karya #Trending: Apa yang kedai buku mahukan daripada penulis?; Tulis sekali, makan berkali-kali; Aura komik positif dan banyak lagi.

"Melalui perbincangan dua hala ini, peserta memperoleh maklumat yang tepat dan terkini daripada penggiat sebenar industri buku dan penulisan, di samping berpeluang meluaskan jaringan sesama mereka," terang Zamri merangkap pengasas kursuspenulisan.com yang telah banyak melahirkan penulis kreatif dan berbakat di negara ini.

Tambah beliau, para peserta juga berpeluang menghantar manuskrip yang telah disiapkan terus ke tangan penyunting melalui sesi suai-padan. Apa yang penting, konvensyen ini bermatlamat menyatukan penulis serumpun tanpa mengira genre penulisan.


KEBANYAKAN peserta terdiri daripada golongan yang mahu melibatkan diri dalam dunia penulisan.


Tiga ciri kritikal

Dalam pada itu, ahli panel merangkap individu yang menjadi antara pencetus jualan buku elektronik (e-book) di Malaysia, Aqif, 23, memberitahu, terdapat tiga ciri kritikal untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Ia digelar ciri tiga piramid.

"Pertama, memahami susuk penulisan diri iaitu mengetahui sasaran penulisan, topik dan isi yang ingin ditulis dan sumber yang hendak digunakan. Kedua, pilih jemaah kumpulan yang dipercayai dan mampu membawa gelombang penulisan ke hadapan.

"Ini kerana setiap genre seperti fiksyen, humor atau novel ada kumpulan penulis tersendiri dan yang ketiga adalah penunjuk prestasi penulisan. Sebagai contoh, novelis remaja terkenal, Ain Maisarah, mempunyai matlamat menulis ribuan perkataan setiap hari," ujarnya.

Menjelas lanjut, Afiq berkata, penunjuk perkataan ini penting untuk meningkatkan motivasi dan komitmen setiap penulis.

Beliau turut menegaskan, setiap penulis juga perlu berfikir seperti seorang ahli perniagaan jika mahukan karya mereka diterima pasaran.

Selain sesi ceramah daripada ahli panel, beberapa aktiviti menarik turut diadakan sepanjang konvensyen itu berlangsung. Ia termasuk slot penulis mencari penulis melalui tampalan nama dan nombor telefon penulis di papan putih dan jualan buku serta cenderahati.

Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah

Posted:

Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah

Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah


PENERBITAN kamus berbentuk dwibahasa juga boleh dikategori sebagai bahan bacaan ilmiah untuk semua lapisan masyarakat.


MELIHAT pada jumlah penerbitan buku dan novel pelbagai genre yang terdapat di pasaran, boleh dikatakan industri penulisan di Malaysia pesat berkembang.

Malah, kehadiran ramai penulis yang tampil dengan gaya penulisan tersendiri menjadikan dunia pembukuan bertambah meriah dan menarik.

Menurut Pegawai Bahagian Penyelidikan Perpustakaan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Mohamad Zaki Yusof, statistik penerbitan buku mengikut Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) bagi tahun 2012 menunjukkan sebanyak 19,171 judul buku telah diterbitkan.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sebanyak 13,843 judul penerbitan telah diterima. Secara keseluruhan, kumulatif penerimaan penerbitan sejak pelaksanaan Akta 331 ini adalah sebanyak 259,692 judul penerbitan," katanya melalui satu temuramah melalui e-mel dengan Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, dalam aspek penerbitan buku-buku ilmiah, negara kita belum mencapai standard yang ditetapkan dan bahan bacaan berkaitan masih kurang di pasaran.

Perkara ini diakui oleh Pengarah Unit Penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Asiah Sarji, 63.

Ujar beliau, Malaysia masih belum mampu memenuhi tahap yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam konteks penerbitan buku-buku ilmiah untuk mencapai tahap negara maju.

"Standard UNESCO menetapkan 1,000 judul buku bagi setiap sejuta penduduk. Ini bermakna, setiap tahun Malaysia perlu menghasilkan 27,000 judul bagi bahan bacaan berbentuk ilmiah.

"Pada tahun 2008, bilangan judul buku ilmiah yang diterbitkan lebih 16,000 manakala pada tahun 2009 pula sekitar 15,700. Justeru, kita masih ada enam tahun lagi untuk mencapai standard itu menjelang tahun 2020," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Asiah, saya percaya kita mampu melakukannya sekiranya ada sokongan padu dalam aspek belanjawan yang diperuntukkan kepada pihak universiti. Ia termasuk menyediakan infrastruktur dan tenaga manusia yang mencukupi.


SASTERA kanak-kanak yang dipenuhi gambar dan warna-warni mampu menarik minat mereka untuk membaca.


Penyunting

Maklumnya, kerja-kerja penerbitan bahan ilmiah memerlukan tenaga mahir yang tinggi dan berkualiti. Sebagai contoh, untuk mendapatkan penyunting yang mahir dalam bahasa Inggeris sangat sukar berbanding penyunting Bahasa Melayu.

"Selain itu, setiap penyunting juga bukan sekadar mahir dalam aspek bahasa bahkan haruslah mewakili pakar dalam setiap bidang buku yang diterbitkan. Semua pihak perlu melipatgandakan sokongan mereka untuk membantu Jabatan Pengajian Tinggi memenuhi keperluan itu.

"Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh ketinggalan dalam penerbitan buku-buku elektronik (e-book) yang lebih digemari generasi internet masa kini," tuturnya lagi sambil memberitahu beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia sudah pun memulakan penerbitan e-book.

Diterajui oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), setiap universiti yang mempunyai unit penerbitan masing-masing menjadi nadi penggerak untuk mengembangkan penerbitan buku-buku ilmiah.

Dalam pada itu, Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UKM, Datin Saadah Jaffar, 53, memberitahu, kebiasaannya sambutan masyarakat terhadap buku-buku ilmiah kurang memberangsangkan.

"Berbanding bahan bacaan berbentuk hiburan seperti novel-novel cinta, buku-buku ilmiah terbitan pihak universiti kurang diminati. Ia mungkin disebabkan persepsi masyarakat yang menganggap buku ilmiah sukar difahami serta harganya yang agak mahal.

"Namun, buku-buku berbentuk negarawan dan budaya seperti Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot dan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berjaya menarik minat penggemarnya. Apa pun tahun lalu di UKM, kami berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku berbanding 80 yang ditetapkan," ujar Saadah sambil berharap masyarakat akan lebih bersifat terbuka untuk membeli bahan bacaan ilmiah.

Sementara itu, Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya juga memainkan peranan sebagai pusat sehenti kegiatan pembukuan dan menjadi pusat pertemuan antara penulis, penerbit dan pembaca melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti seminar-seminar berkaitan di peringkat dalam dan luar negara.

"Selain itu, kami turut menggalakkan penerbitan karya-karya bersifat ilmiah, saintifik dan teknologi, selain memantapkan pembangunan sastera kanak-kanak di Malaysia untuk diangkat ke persada antarabangsa.

"Sehingga kini Kota Buku telah pun menerbitkan lebih 100 judul buku kanak-kanak dan ilmiah dalam bentuk e-book," jelasnya.

Tambah Norhayati, banyak program telah dilaksanakan oleh Kota Buku untuk menyemarakkan industri pembukuan di negara ini.

Antaranya, program latihan penulisan buku bergambar kanak-kanak, menyertai festival sastera kanak-kanak di Singapura dan China, mengadakan jualan buku@but kereta dan penganjuran seminar-seminar berkaitan. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat