Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT Oleh NURUL AZWA HARIS MAZNAH Mazlan menunjukkan isyarat bagus kepada wakil media yang hadir dalam sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A.MAJID PETALING JAYA 23 Sept. - Pencalonan mengejut Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan dalam pemilihan Ketua Wanita kali ini diputuskan oleh beliau sendiri atas dasar tanggungjawab kepada parti. Sambil menyangkal dakwaan terdapat pihak yang mendorong untuk membuat keputusan tersebut, Maznah berkata, pencalonan itu dilakukan kerana beliau yakin dengan kelayakan serta pengalaman sedia ada yang mampu memberi manfaat kepada UMNO, khususnya kepada ahli wanita. Menurut beliau, ini kerana golongan wanita merupakan nadi kepada pengukuhan pelaksanaan agenda UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam memperkasa orang Melayu serta agama Islam. "Saya melihat pencalonan ini sebagai ruang kepada saya untuk menyatukan serta mengukuhkan golongan wanita dalam parti yang merupakan satu kriteria penting dalam perjuangan UMNO. "Kita perlu berusaha untuk meningkatkan imej dan martabat golongan wanita dalam parti supaya terus dihormati dalam semua peringkat," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini. Jawatan Ketua Wanita UMNO bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Raihan Suleiman Palestin dalam pemilihan kali ini. Menurut Maznah, pencalonan beliau juga disifatkan sebagai satu pilihan alternatif untuk ahli Wanita pada pemilihan UMNO kali ini. Beliau juga berpandangan, calon-calon wanita yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan mereka berpeluang untuk memenangi jawatan Ketua Wanita. "Apa yang penting ialah komitmen serta semangat yang tinggi untuk memimpin golongan wanita dalam meningkatkan mutu prestasi warga parti serta masyarakat. "Dalam hal melibatkan transformasi parti, ahli juga perlu berfikiran terbuka dan menerima idea baharu bagi memastikan perubahan dalam parti dapat dilakukan secara lebih positif," ujarnya. |
Shahrizat alu-alukan dua lagi pencabar Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT KUALA LUMPUR 23 Sept. - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan sesiapa juga yang mahu bertanding merebut jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti kali ini. Katanya, sebagai orang politik, kalah menang adalah di dalam gelanggang pertandingan dan itu tidak menjadi masalah kepada beliau sendiri. "Kita orang politik, menang kalah dalam gelanggang. Bertanding dalam gelanggang. Tak jadi masalah. Kalau 10 orang nak bertanding pun tak ada masalah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Jaringan Untuk Ibu Tunggal (Juwita) di sini hari ini. Shahrizat yang memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 2008 kali ini dicabar dua lagi calon, Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan dan ahli UMNO seumur hidup, Raihan Suleiman yang menyerahkan borang pencalonan bagi pemilihan parti yang diadakan pada Sabtu lalu. Katanya, beliau tidak terkejut langsung dengan kemunculan dua lagi calon itu kerana sudah menjangka cabaran itu pasti akan berlaku. "Kita sudah tahu kenapa mereka masuk sebagai calon. Wanita UMNO sudah jadi satu pergerakan yang menarik sebab itu ramai nak masuk," katanya. Shahrizat berkata, beliau mengambil alih Wanita UMNO ketika pergerakan itu dan parti dilanda tsunami politik pada 2008 dan telah melalui pelbagai cabaran getir sehingga mampu berada di tahap selesa seperti sekarang. "Kami diuji. Masa itu prestasi UMNO benar-benar dicabar tetapi Alhamdulillah kami mampu bersatu padu sehingga berada di tahap yang boleh dibanggakan. "Saya bukan orang baharu di dalam parti. Saya tahu hati budi, naluri, keperluan, impian dan apa isu Wanita selama di dalam politik. Saya tahu kalau diberi kepercayaan, saya nak bawa Wanita UMNO ke satu lagi tahap yang baik," katanya. Katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa Wanita UMNO mudah diperlekehkan sama sekali tidak benar kerana telah terbukti pemimpin Wanita UMNO mendapat tempat di dalam parti dan juga di dalam kerajaan. "Wanita UMNO hari ini berada di tahap berjaya, kita menjadi tulang belakang parti dan oleh kerana itu, kita berjaya mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |