{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Penembak upahan professional tanpa empati

Posted:

Penembak upahan professional tanpa empati

Penembak upahan professional tanpa empati

Oleh Nizha Perias Wawy
nizha.periswamy@kosmo.com.my

LAPORAN-laporan muka hadapan akhbar tempatan yang mendedahkan kes mati ditembak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini khususnya apabila kes-kes tembak ini melibatkan individu berprofil tinggi dan kakitangan awam berjawatan tinggi, misalnya kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya pada 26 April lalu.

Seolah-olah satu musim yang berterusan, kejadian-kejadian tembak secara dekat ini umpama tiada berkesudahan. Pelbagai spekulasi timbul setiap kali kes-kes tersebut mewarnai dada-dada akhbar.

Kekerapan kejadian yang dilakukan secara terbuka tanpa mengira persekitaran secara tidak langsung menunjukkan beberapa kelemahan. Antaranya, keupayaan memiliki senjata api yang mudah di negara ini dan penularan sindiket yang dipercayai menjadi pembunuh upahan.


KEJADIAN tembak di tempat-tempat terbuka mewujudkan kegusaran dalam kalangan masyarakat negara ini. – Gambar hiasan


Faktor mempengaruhi

Menurut Pensyarah Kanan, Bahagian Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku, Universiti HELP, Dr. J. Anasuya, dari segi kesan sosiologi, mereka yang terlibat dalam jenayah tembak terkesan dengan persekitaran, mahu diberi perhatian, rasa tercabar dengan rakan yang turut terlibat dalam jenayah yang sama dan kemahuan untuk memenuhi sesuatu melalui jenayah.

"Kegiatan tembak ini juga dipercayai banyak mempengaruhi generasi masa kini apabila mereka secara mendadak terdedah dengan realiti dunia luar, mudah mengakses kegiatan jenayah sama ada secara langsung atau tidak menerusi internet, filem-filem dan permainan video dengan elemen keganasan, mahupun dan pengaruh rakan sebaya. Kesan pendedahan ini meningkatkan nafsu mereka untuk mencuba," katanya.

Walaupun tidak pernah mengendalikan atau membuat penyelidikan berkaitan penembak, Anasuya akui, kumpulan penjenayah ini secara umum mempunyai psikologi yang hampir serupa dengan seorang pembunuh.

"Mereka yang terlibat dalam kes tembak ini boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, penembak upahan yang melakukannya sebagai satu kerjaya. Kedua, ialah penembak berperasaan membunuh mengikut emosi," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


PENEMBAK yang diupah membunuh lazimnya terdiri daripada mereka yang mahir menggunakan senjata dan bijak merancang.


Tambah beliau, apabila seseorang itu memilih membunuh seseorang sebagai satu pekerjaan, dia tidak akan terikat dengan sikap empati atau kesan emosi. Ini kerana bagi mereka, sasaran itu hanya untuk wang.

"Mereka juga mungkin seorang penembak yang mahir dan teliti dalam merancang agar mudah terlepas daripada pihak berkuasa. Lagipun, mereka sukar dikaitkan dengan jenayah terlibat kerana merupakan orang yang tiada kaitan dengan mangsa," ujar Anasuya lagi.

Bagi kategori kedua, iaitu penembak yang mengikut emosi, kumpulan ini melakukannya atas dasar perasaan peribadi, balas dendam atau cemburu. Tindakan mereka lebih mudah dikesan kerana jenayah yang dilakukan tidak dirancang dengan baik dan tanpa memikirkan jalan keluar.

"Secara umum, penembak atau pembunuh, mempunyai personaliti seorang yang suka menyendiri, antisosial dan tidak empati kepada sesiapa. Namun demikian, ia berbeza dengan pembunuh upahan yang boleh terdiri daripada seorang yang berpelajaran, berstatus, suka bersosial dan mempunyai kemahiran misalnya dalam mengendalikan senjata," jelasnya.


PERASAAN marah dan berdendam juga dilihat sebagai salah satu faktor jenayah tembak.


Apabila ditanya tentang rasa bersalah atau kesal, Anusuya berkata, penembak upahan melihat sasaran mereka sebagai satu tuntutan tugas dan tidak lebih daripada itu.

Tiada kekesalan

Seorang lagi pensyarah, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, 53, dari Pusat Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyokong kenyataan bahawa pembunuh upahan tidak mempunyai sifat kekesalan kerana minda mereka seolah-olah sudah diaturcara sedemikian.

"Daripada penyelidikan saya terhadap banduan-banduan yang melakukan keganasan membunuh, kumpulan ini bersikap tidak kisah akan tindakan mereka. Bagi mereka, sungguhpun mengetahui terdapat kesan mendalam terhadap perlakuan itu, namun ia dianggap sebagai suatu perkara yang telah berlaku dan tidak boleh diubah," katanya.

Ujar beliau, sekiranya ada yang sesal, ia mungkin melibatkan banduan yang telah lama dipenjarakan, mendapat bimbingan agama dan dalam proses keinsafan.

Khaidzir bagaimanapun tidak menafikan masyarakat umum turut terkesan daripada pembunuh menggunakan senjata api ini. Masyarakat berasa tidak selamat dan takut apabila senjata api diperoleh atau digunakan secara mudah tanpa pengawasan atau kawalan.

"Namun, jika diteliti, membunuh menggunakan pisau, parang dan ilmu hitam merupakan antara kaedah membunuh yang digunakan sejak sekian lama. Tetapi pembunuhan menggunakan senjata api seperti pistol dilihat sebagai satu cara baharu dan semakin menonjol.

"Ia mungkin kesan daripada keterbukaan untuk mendapatkan senjata itu di pasaran termasuk melalui laman-laman web. Tidak cukup dengan itu, kaedah membuat senjata api juga banyak dikongsi di internet," katanya.

Kenal pasti masalah

Dalam pada itu, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. P. Sundramoorthy berkata, kekerapan paparan jenayah menembak di akhbar tidak bermakna angka tersebut meningkat, sebaliknya lebih menonjol berbanding dahulu.

"Kekerapan media melapor kes seumpama itu telah menarik perhatian umum secara besar-besaran. Ia turut menyedarkan orang ramai untuk bekerjasama dengan polis dalam menawarkan maklumat," katanya.

Bercakap dari sudut krimonologi, katanya, pihak penguat kuasa dan perundangan perlu mengena lpasti masalah akar umbi termasuk penularan kemasukan haram senjata api di Malaysia.

"Pengumpulan maklumat dan analisis memainkan peranan penting dalam perancangan jangka panjang untuk mengurang dan mengelakkan senjata diseludup ke dalam negara pada masa hadapan," katanya sebagai salah satu cara menangani masalah ini.

Meneliti motif pembunuhan bersenjata terutamanya yang menggunakan pistol, Sundramoorthy memberitahu, ia boleh berlaku di atas pelbagai sebab dan faktor misalnya persaingan dalam perniagaan, sifat cemburu, tamak, penipuan, korupsi, konflik geng dan kebencian.

Walaupun demikian, ujarnya, kejadian seperti tembak mati bukan merupakan suatu perkara baharu di arena global dengan kebanyakan kejadian disebabkan faktor-faktor yang hampir serupa.

Kajian secara global menunjukkan beberapa negara memegang rekod kes tembak tertinggi. Menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Amerika Syarikat mempunyai rekod kes pembunuhan tembak sebanyak 9,146 kes pada tahun 2009. Tahun yang sama, Colombia dan Venezuela masing-masing merekodkan 12,808 dan 11,115 kes.

Tiga negara lain dengan kes bunuh tembak tertinggi adalah Brazil dengan 34,678 (tahun 2008), Mexico (11,309 kes pada tahun 2010) dan Thailand (20,032 kes pada tahun 2000).

Pameran seni terpanjang dunia

Posted:

Pameran seni terpanjang dunia

Pameran seni terpanjang dunia


SALAH satu arca yang menghiasi sudut stesen kereta api bawah tanah di Stockholm.


IA terletak jauh di bawah muka bumi dan menerima gelaran pameran seni artistik terpanjang di dunia. Bermula daripada arca patung dari Empayar Rom sehingga ke bunga tulip gergasi, pelbagai karya unik boleh dinikmati pengguna yang menggunakan sistem kereta api bawah tanah di Stockholm, Sweden.

Seramai 150 artis terlibat mempersembahkan bakat mereka di 100 buah stesen keretapi api bawah tanah yang merangkumi jarak sejauh 110 kilometer.

Matlamat mereka sama iaitu untuk menghibur, menarik minat dan mengalih perhatian puluhan ribu pengguna sistem pengangkutan berkenaan setiap hari.

"Stesen kereta api bawah tanah menjadi semakin penting dalam kehidupan masyarakat di sini," kata seorang artis, Ulrik Samuelson, 78.

Dia bertanggungjawab mereka bentuk laluan pejalan kaki di Stesen Kungstraedgaarden pada tahun 1977. Menariknya, keindahan dan keunikan seni tersebut terus diperkatakan sehingga kini.

Warganegara Sweden itu, yang pernah menyertai pameran seni di New York hingga ke Paris, sememangnya gemar menghasilkan karya yang luar biasa bagi menarik perhatian orang ramai.

Dia mengecat laluan pejalan kaki bawah tanah dengan corak jalur putih, hijau dan merah serta menghias dindingnya dengan arca dan serpihan bangunan. Karya seni berkenaan menggambarkan sebuah istana abad ke-17 yang pernah wujud di tapak laluan tersebut.

Kira-kira 10 tahun kemudian, dia membina struktur sebuah gua kecil, menanam pokok-pokok tropika dan meletakkan patung-patung serta serpihan bangunan yang dikutip dari sebuah bandar lama di daerah itu yang telah musnah pada tahun 1950-an.

"Ruang ini boleh digelar sebagai Forum Romanum atau mungkin, Forum Stolckholmium," kata Johanna Malmivaara, pemandu pelancong bagi syarikat operator sistem kereta api bawah tanah itu.

Karya seni unik


LALUAN pejalan kaki di Stesen Kereta Api Kungstraedgaarden dihias indah dengan hasil karya seni kreatif pelukis Ulrik Samuelson.


Samuelson menghasilkan pelbagai karya unik yang memenuhi lebih separuh daripada stesen atau laluan pejalan kaki kereta api bawah tanah di bandar raya itu. Ada antara rekaannya dihasilkan pada tahun 1950-an, ketika stesen kereta api bawah tanah pertama dibuka.

Selepas perkhidmatan pengangkutan itu berkembang sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, terdapat kebimbangan apabila orang ramai enggan menggunakan laluan pejalan kaki bawah tanah.

"Kedudukannya yang jauh ke bawah menimbulkan perasaan gerun kerana mereka menyifatkan seolah-olah berada dalam dunia yang gelap.

"Mengambil kira pandangan itu, pihak berkuasa bertindak mewujudkan persekitaran yang lebih menyeronokkan. Salah satunya adalah dengan mempamerkan pelbagai karya seni yang unik dan menarik," jelas Malmivaara.

Hari ini, syarikat operator yang bertanggungjawab mengendalikan stesen-stesen kereta api bawah tanah itu menanggung kos penyelenggaraan tahunan yang mencecah AS$1.6 juta (RM5 juta) bagi memulihara lukisan-lukisan elektik, arca, mozek dan tekstil di situ.

Namun demikian, tidak semua penduduk di Stackholm mengambil peduli mengenai kewujudan karya-karya berkenaan. Kebanyakan pengguna lebih selesa membelek akhbar dan leka bermain telefon pintar mereka berbanding memerhatikan persekitaran sekeliling.

Bagaimanapun, kehadiran seni itu berjaya mengubah landskap sistem kereta api bawah tanah sebagai tarikan utama pelancong asing, termasuk golongan selebriti. Ratu pop terkemuka, Madonna misalnya pernah menjalani penggambaran di Stesen Hoetorget dan T-Centralen sewaktu pembikinan klip video lagu Ray of Light yang popular pada tahun 1998.

Pemilihan tema


BAGI menyuntik kelainan, pelukis Ulrik Samuelson memilih tema lukisan yang berbeza-beza.


"Kami tidak pernah melihat karya seindah ini," kata pasangan pelancong dari California, Amerika Syarikat, Fay dan Paul Krivonos.

Kata mereka, biarpun pernah melihat karya yang sama di stesen kereta api bawah tanah di Moscow, Rusia, namun seni yang dihasilkan dilihat lebih berunsurkan propaganda.

Setiap stesen mengetengahkan tema yang berbeza. Misalnya, Stesen T-Centralen yang dibina pada pertengahan tahun 1970-an memberi fokus tema agitprop iaitu gabungan seni dan propaganda.

Kawasan pergunungan Atlas di Maghribi pula menjadi inspirasi artis, Sigvard Olsson yang tampil dengan karya berbentuk ikan salmon berwarna merah jambu di Stesen Raadhuset. Sementara itu, Lasse Lindqvist pula selesa memilih tema sukan di Hentian Stadshagen, Sweden. Di sana terdapat arca pasukan hoki ais, perenang dan peluncur ski yang dihasilkan daripada kertas-kertas aluminium.

Sebanyak tujuh buah stesen dikhaskan untuk memaparkan perubahan tema setiap tahun. Salah satunya, Hentian Odenplan yang turut menawarkan peluang kerjaya kepada empat pelajar seni yang baru menamatkan pengajian selepas terpilih menganggotai kumpulan seni berkenaan.

Bagaimanapun, kepuasan penumpang tetap menjadi keutamaan pemaju projek dan artis-artis yang terlibat.

"Pameran seni begini sesuai bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke pameran atau galeri seni," kata Samuelson. – AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat