Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Peraga, perkenal dan promosi tudung Fareeda Posted: Peraga, perkenal dan promosi tudung FareedaOleh NURUL IZZA ROSLY PESONA tiga wanita yang sibuk beraksi di hadapan lensa kamera betul-betul mencuri perhatian sesiapa sahaja. Selang beberapa ketika, pantas sahaja mereka memberikan gaya berbeza memenuhi permintaan jurufoto. Duta dan Jurucakap Fareeda House of Scarf (Fareeda), Mawar Abdul Karim, 23, sentiasa diapit juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama dan kedua iaitu Norazaliah Ramli, 29, dan Suhaili Mohamad, 26. Hubungan antara ketiga-tiga model tudung Fareeda begitu akrab sepanjang sesi fotografi berlangsung. Tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang model, rutin Norazaliah yang lebih senang dipanggil Azalia kini berubah. "Saya perlu menitikberatkan penampilan diri berbanding sebelum ini. Dari segi pengurusan masa, jika dulu kerjaya saya hanya di pejabat, kini saya perlu bijak membahagikan masa antara pegawai kerajaan dan juga model. "Kesibukan dua kerjaya itu pula bukan alasan untuk saya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu," kata Azalia sambil memberitahu sesi fotografi biasanya akan diadakan selepas waktu bekerja. Diangkat sebagai juara pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda musim pertama, tahun ini genap tiga tahun ibu kepada Damia Firdina Abdullah Faisal, 5, menjadi model tudung Fareeda. Azalia mengakui perubahan penampilan sepanjang bergelar model memberinya keyakinan dan percaya kepada diri sendiri. SUHAILI (tiga dari kiri) ketika dinobatkan sebagai juara Pencarian Model Tudung Fareeda bagi kategori bawah 40 tahun pada tahun 2011. Usikan teman "Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang mengusik di pejabat dan berkata, 'Model datang, model datang, hanya model yang boleh menggayakan tudung atau baju tu, kita tidak sesuai'. "Bagi saya penjagaan penampilan diri sangat penting terutama dalam membentuk imej diri supaya lebih berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara," ujarnya yang mendapat dorongan daripada suami tercinta, Abdullah Faisal Hillaluddin, 29. Dari segi pemilihan tudung Azalia lebih menitikberatkan soal warna kerana warna memainkan peranan dalam personaliti seseorang. "Ada yang bertanya kepada saya sama ada tudung Fareeda sesuai dengan mereka atau tidak. Begitu juga untuk menjadikan tudung tersebut sebagai hadiah. Biasanya, perkara pertama saya akan tanya ialah umur si penerima dan jenis tudung yang digemari. "Tugas saya sebagai model Fareeda adalah untuk memperaga, memperkenal dan mempromosikan tudung jenama ini kepada peminat," katanya yang kini membawa imej Fareeda di mana saja. Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Suhaili, begitu berhati-hati dalam penampilannya selepas menjadi juara Pencarian Model Tudung Fareeda musim kedua pada tahun 2011. Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui setiap tingkah lakunya akan dinilai oleh orang awam lebih-lebih lagi apabila menjadi model muslimah. "Saya berjinak-jinak memakai tudung Fareeda sebelum mengetahui pertandingan Pencarian Model Tudung Fareeda dan setiap paten tudung keluaran Fareeda menjadi buruan saya. "Tiada paten tudung yang spesifik kerana semuanya saya suka dan ia perlu disesuaikan mengikut situasi atau majlis," kata graduan di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia itu. PRODUK keluaran Fareeda sememangnya menjadi pilihan kebanyakan kaum Hawa di negara ini. Nama Suhaili mekar seiring dengan populariti jenama Fareeda. "Rutin harian saya berubah dan saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan bidang peragaan. "Jika, minggu itu saya terlalu sibuk dengan sesi fotografi, minggu berikutnya saya akan tumpukan perhatian dengan pelajaran, menghadap komputer atau berjumpa pensyarah," ujarnya yang gemar membaca novel dan menonton wayang. Ditanya sama ada dia pernah didatangi peminat untuk bergambar, Suhaili memberitahu, dia tiada masalah jika itu yang peminat inginkan selagi tidak menganggu ruang privasi dirinya kerana itu harga yang perlu dibayar setelah menjadi model. Isteri kepada Mohd. Khairul Yusran Jafar, 31, itu menyimpan banyak kenangan manis sepanjang bersama Fareeda. Memori manis yang paling diingati ialah apabila dipilih untuk membintangi iklan televisyen dan papan iklan. "Perbezaan paling ketara sejak menjadi model Fareeda ialah saya lebih berkeyakinan dalam melakukan sebarang tugasan yang diberi. Jika sebelum ini saya pemalu dan takut untuk menonjolkan diri, tetapi komitmen bersama Fareeda begitu memberi kesan kepada saya. "Bagi wanita yang mahu menjadi model tudung Fareeda musim keempat, berusaha dan jangan putus asa. Paling penting, ikhlas dan bersihkan niat untuk menyertai pertandingan. Niatlah untuk sesuatu yang baharu dan bukan untuk mengejar glamor semata-mata," katanya. | |||
Posted: Normaliza menjejak mimpi
PEMALU dan kurang keyakinan diri, dua karakter yang menggambarkan keperibadian Normaliza Md. Hushim. Setiap perkara yang dilakukan tidak pernah didokong semangat juang berbelah bagi, semuanya sekadar mampu dan cukup-cukup untuk hidup. Rutin harian wanita berumur 26 tahun itu juga tiada istimewanya. Pagi bekerja di sebuah syarikat swasta manakala waktu malam membantu gerai makan yang dikendalikan oleh ahli keluarganya. Barangkali sedikit kekuatan untuk menyertai rancangan realiti TV telah meruntuhkan sifat malu yang memagar personaliti Normaliza. Saat namanya diumumkan sebagai juara rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely yang bersiaran di TV9, hidup Normaliza berubah drastik. Dia tidak lagi kekok berbicara bersama orang asing bahkan penuh yakin beraksi di hadapan lensa kamera. "Perkara pertama yang ingin saya ingin lakukan ialah meluaskan bisnes keluarga. Ia tidak perlu berubah menjadi restoran terkenal, namun cukup untuk digemari ramai. Biar keluarga dan rakan-rakan dapat menjamu selera dengan puas, itu yang saya impikan," murni dan ikhlas impian kecil dambaan Normaliza yang berjaya menggondol hadiah utama bernilai RM10,000 daripada rancangan tersebut. Minat Normaliza dalam dunia masakan terbit sejak dia masih kecil. Singkapnya: "Saya ingat lagi, selepas sekolah saya terus pulang ke rumah memasak untuk keluarga. Kini, selepas bergelar ibu, saya masih menikmati waktu-waktu memasak untuk anak saya. "Memang telah menjadi impian saya untuk meneroka lebih jauh dalam bidang ini." Sepanjang rancangan itu berlangsung, Normaliza mengakui bahawa beberapa kali dia berasa tercabar dengan peserta lain. Paling sukar apabila setiap cabaran dia perlu bekerja dengan peserta yang berbeza. Bekerja secara individu membuatkan wanita itu buntu sejenak untuk menyesuaikan diri bekerjasama dengan pasangan yang ditetapkan. Namun akhirnya dia mula menerima konsep kerjasama yang diterapkan dalam rancangan itu dan berjaya menyelesaikan setiap tugasan dengan pantas.
Mentor Penglibatan beberapa nama tersohor tanah air dalam pelbagai bidang juga banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan peserta. Bagi Normaliza, bermentorkan tukang masak ternama seperti Chef Zamzani Abdul Wahab atau dikenali dengan nama Chef Zam merupakan detik paling berharga sepanjang menyertai rancangan tersebut. "Chef Zam banyak mengajar saya bekerja dalam kumpulan. Bukan itu sahaja, dia juga memberi banyak panduan cara-cara menggunakan alat-alat dalam dapur iandustri. Kebiasaannya, saya masak dalam dapur rumah sahaja dan baru tahu yang dapur industri jauh berbeza daripada dapur rumah. "Saya juga merasakan bahawa ganjaran terbesar selain daripada bimbingan Chef Zam ialah perjalanan unik dengan cabaran yang berbeza dan panduan serta nasihat daripada mentor lain," ujar Normaliza. Sejak bertapak di Malaysia dua dekad lalu, produk kecantikan Fair & Lovely sentiasa berusaha mengubah dan memberi inspirasi kepada kehidupan gadis-gadis Malaysia menerusi kecantikan luaran dan dalaman. Rancangan realiti TV Serikan Impian Anda Bersama Fair & Lovely merupakan antara usaha berterusan jenama itu bagi membantu golongan wanita di negara ini mencapai kerjaya impian mereka. Rancangan yang menampilkan 10 gadis pelbagai latar belakang itu berkisar tentang perjalanan mereka bagi merebut peluang menjalani latihan sambil belajar dalam kerjaya impian masing-masing di samping mentor yang berpengalaman. Rancangan tersebut menyediakan platform kepada para peserta untuk membina semula semangat dan mengejar impian mereka dalam lapangan kerjaya yang berbeza. Ia juga bertujuan membantu gadis-gadis Malaysia mengikut suara hati masing-masing dalam memulakan perjalanan membina keyakinan diri dan paling penting, untuk mereka menyedari potensi dan aspirasi mereka. | |||
Posted: Jiwa urban skirt Muslimah Oleh ALIF ABU BAKAR
LIMA jenis skirt pelbagai corak, warna dan potongan sedia untuk ditawarkan kepada kaum Hawa yang dahagakan penampilan sopan anggun yang moden. Sama ada skirt atas pinggang (high waist) atau empat pecahan skirt potongan duyung (mermaid), golongan Muslimah pasti tampil ranggi bersama rekaan unik noreen z. Skirt duyung klasik menggunakan nama Atiya misalnya, direka ringkas dengan penekanan diberikan kepada lapan panel yang menawan. Bagi mereka yang gemarkan ropol bertingkat, skirt duyung Ranya memenuhi cita rasa fesyen anda dengan ropol tiga lapis. Perwatakan feminin juga ketara apabila menggayakan skirt duyung Naila. Ropol selapis bermula dari lutut hingga ke bahagian bawah skirt kelihatan mewah apabila ditambah dengan corak abstrak yang melatari koleksi tersebut.
Cipta gaya eksklusif bersama skirt duyung Kayla yang memberi tumpuan kepada ropol pada bahagian bawah sahaja. Ropol bawah dengan panjang kira-kira 25 sentimeter itu membuatkan langkah si pemakai lebih elegan tatkala ia beralun lembut mengikut rentak kaki. "Memang skirt ini direka berteraskan fesyen Islamik, namun ia masih boleh digayakan wanita tidak bertudung kerana ia mudah membentuk pelbagai gaya yang unik. "Kesemua skirt dilengkapi pelapik dan saiz disediakan bermula daripada XS sehingga XL mengikut standard orang Asia. "Dari segi penggunaan material, kami banyak menggunakan satin, tetapi satin itu diterbalikkan. Bahagian kain yang berkilat itu dijadikan bahagian dalam agar fungsi skirt itu tidak terhad kepada acara tertentu.
"Kita tahu bahawa satin berkilat tidak sesuai digayakan secara santai, jadi kami cuba ubah prinsip itu, malah ramai pelanggan mengatakan bahagian dalam skirt sangat selesa. "Selain itu, kami turut menggunakan fabrik wool peach yang hampir sama seperti satin cuma tidak berkilat dan kain kapas," jelas Ketua Pegawai Eksekutif noreen z, Noreen Zulkepli. Disasarkan kepada wanita berumur 16 hingga 35 tahun, skirt di bawah jenama noreen z banyak bermain dengan warna dan berani mengadunkan lima hingga enam rona dalam satu skirt. Antara palet popular ialah hitam, ungu lavender, merah, biru diraja, emas dan hijau. Ia dijual pada harga RM95 hingga RM140 berdasarkan material dan kuantiti kain yang digunakan. Kunjungi laman Instagram noreen z menggunakan nama noreenzulkepli bagi melihat semua koleksi skirt dan cara-cara suai padan yang elegan. Untuk tempahan pula, e-mel kepada noreen.zulkepli@gmail.com. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |