{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Istimewanya Nick Vujicic

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

Nick Vujicic berhenti meneguk air sambil dibantu seorang pembantunya ketika sesi Up Close and Personal with Nick di Petaling Jaya, Selangor, ketika kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini.

Mungkin ia agak klise, tapi inilah masanya untuk belajar erti sebenar maksud bersyukur dan berilah kasih sayang sebagai mesej berterima kasih terhadap kehidupan ini.

Mungkin segelintir daripada rakyat Malaysia pernah mengetahui tentang Nick Vujicic, 30, seorang penceramah motivasi dari Australia yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan.

Dia datang ke Malaysia sempena jelajah dunianya dengan membawakan mesej kasih sayang.

Pada pertemuan dengan kira-kira 1,000 peserta di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nick berkata, kata-kata kejian boleh melumpuhkan semangat seseorang dan sikap suka membuli terbukti merosakkan masyarakat.

Malah dirinya sendiri juga pernah menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah cuba membunuh diri ketika berusia 10 tahun.

"Saya cuba membenamkan diri saya dalam tub mandi. Ketika itu tiba-tiba terbayang wajah ibu bapa saya. Saya dapat melihat mereka insan yang paling sedih sekiranya saya mati kerana mereka sudah berusaha memberikan saya yang terbaik.

"Akhirnya saya bersyukur dengan kehidupan saya dan cuba hidup dalam suasana penuh positif," cerita Nick memulakan bicara mesra.

Nick dilahirkan dengan sindrom yang diberi nama tetra-amelia, tanpa kaki dan tangan. Dia hanya mempunyai dua kaki kecil yang setiap satunya mempunyai dua jari halus.

Persidangan Up Close and Personal with Nick itu dianjurkan oleh Persatuan StART setelah ceramah Nick sebelum itu di Universiti Sunway, Petaling Jaya, mendapat sambutan luar biasa.

Nick memberitahu, ramai yang datang padanya dan bertanya bagaimana dia boleh menjadi seorang yang gembira dan boleh buat macam-macam perkara.

"Saya mula didedahkan dengan komputer sejak usia enam tahun, boleh memegang pen, boleh berenang, main golf, memancing ikan, meluncur udara dan air.

"Kedengarannya memang gila. Tetapi saya memang suka mencuba sesuatu yang baharu.

"Sebab itu saya di sini. Saya mahu semua daripada kita jangan berhenti daripada meletakkan sesuatu impian. Impian yang besar. Kalau kita hidup berdasarkan apa pandangan orang, satu apa pun kita tidak boleh buat," kata Nick memberikan kata-kata semangat kepada peserta yang hadir.

Nick turut berkongsi salah satu kisah yang memberikan kesedaran besar dalam hidupnya.

Kisah tersebut berlaku ketika dia berusia 13 tahun.

"Saya mula belajar satu mesej penting dalam hidup iaitu erti bersyukur. Ketika itu saya sedang bermain bola dengan seorang sahabat.

"Dek kerana beria untuk menendang bola akhirnya telah menyebabkan kaki saya terseliuh selama tiga minggu.

"Sebagai remaja, tiga minggu dirasakan umpama tiga tahun. Dalam tempoh pemulihan itu saya sering berfikir sama ada saya hendak marah atas kekurangan saya atau memandangnya dari satu sudut yang lebih positif.

"Saya amat sedar, untuk mendapatkan sesuatu kejayaan mesti disertai usaha," jelas Nick yang sudah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita cantik, Kanae Miyahara.

Ujar Nick, hidup sentiasa penuh pilihan, jadi terpulang kepada individu itu untuk memilih yang terbaik.

"Kalau kita menilai orang menerusi rupa parasnya maka kita akan kehilangan satu persahabatan.

"Kita boleh memberikan pelbagai kata-kata manis pada seseorang seperti contoh 'saya suka awak buat seperti itu atau ini, rambut awak cantik' dan sebagainya.

"Saya boleh beri anda 10 penghargaan baik dan kemudian datang seorang yang mencemuh dan anda terus jatuh.

"Bila orang letak anda di bawah maka anda mempunyai kuasa untuk meletakkannya di mana," katanya.

Pengalaman menyentuh hati

Menurut Nick, ketika di bangku sekolah, dia pernah mengimpikan seorang penceramah tanpa kaki dan tangan datang ke sekolah berceramah serta mengarahkan seluruh kanak-kanak sekolah agar tidak membulinya.

"Tapi siapa sangka, saya pula akhirnya yang menjadi penceramah itu untuk seorang kanak-kanak yang sama seperti saya bernama Daniel.

"Ketika itu saya dijemput memberi motivasi di sekolah Daniel yang berusia tujuh tahun di Washington (Amerika Syarikat).

"Bertemu Daniel umpama melihat diri saya sendiri yang bersaiz kecil. Pertemuan saya, ibu bapa saya dan Daniel bersama ibu bapanya memang sangat menyentuh perasaan. Paling menggembirakan, selepas ceramah itu Daniel berubah menjadi salah seorang kanak-kanak paling cool di sekolahnya," cerita Nick.

Sepanjang ceramah lebih dua jam itu tidak ada satu detik pun yang membosankan.

Nick bijak menyampaikan ceramah. Walaupun mesej yang disampaikan adalah serius, banyak disulam dengan jenaka.

Nick yang kini sudah menjadi bapa kepada seorang bayi lelaki, Kiyoshi James Vujicic sejak Februari lalu, turut menyentuh hati ribuan peserta.

Ketika sesi soal jawab seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Marcus Soh telah berkongsi apa yang dilakukan gurunya ketika dia tidak bersemangat dengan projek di sekolah.

Perkongsian itu nyata menyentuh hati Nick yang mengajak Marcus ke pentas bagi mendapat buku yang ditandatangani beliau sendiri.

"Untuk mangsa buli, saya ingin memberitahu bahawa diri anda sendiri adalah penggalak atau pematah semangat. Jangan biarkan orang lain atau keadaan mengganggu hidup anda," kata Nick.

Sesi pertemuan eksklusif dengan Nick Vijicic itu diserikan lagi dengan kedatangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Rohani juga telah melancarkan buku terbaru Nick bertajuk Give A Hug.

Malu bincang kehamilan

Posted: 09 Sep 2013 10:33 PM PDT

MENURUT kaji selidik kebangsaan terbaharu yang dilakukan Bayer HealthCare, lelaki dan wanita di negara ini masih tidak bersedia membincangkan isu pencegahan kehamilan secara terbuka, walaupun dengan pasangan mereka.

Kaji selidik yang melibatkan 216 responden berumur antara 20 hingga 35 tahun itu, telah dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen pendidikan masyarakat tentang kontrasepsi YA! Ia Melibatkan Dua yang disasarkan untuk menggalakkan perbincangan lebih terbuka terhadap kehamilan di antara pasangan.

Kebanyakan responden iaitu 54.6 peratus dalam kaji selidik memberitahu, mereka berasa paling selesa untuk berbincang berkenaan kehamilan dengan pasangan berbanding pencarian di Internet (17.6 peratus) atau membincangkannya dengan doktor mereka (13 peratus).

Rakyat Malaysia juga bersetuju bahawa perbincangan konsisten memperbaiki ikatan antara pasangan dan membina lebih keintiman yang mana 90.3 peratus bersetuju bahawa perbincangan konsisten tentang perancangan kehamilan adalah penting dan 91.2 peratus berkata, keupayaan untuk membincangkan isu-isu ini akan merapatkan lagi hubungan dengan pasangan.

Namun, kajian menunjukkan sebahagian besar generasi muda di Malaysia tidak menjalankan perbincangan konsisten berkenaan isu itu dengan pasangan mereka.

Sekurang-kurangnya satu dalam lapan responden tidak pernah membincangkan perancangan kehamilan dengan pasangan. Manakala 22.7 peratus daripada responden hanya bercakap berkenaan isu tersebut pada awal hubungan mereka.

Ketidaksinambungan antara kepercayaan dan amalan adalah perkara yang membimbangkan, terutamanya apabila peratusan besar rakyat Malaysia yang terlibat dalam kaji selidik iaitu 29.6 peratus, telah menggunakan kontrasepsi kecemasan (sama ada mereka sendiri ataupun pasangan mereka) sekurang-kurangnya sekali dalam tahun sebelumnya.

Perkara yang lebih membimbangkan adalah hampir suku daripada responden dalam kaji selidik itu tidak menggunakan sebarang bentuk kontrasepsi, manakala 54 peratus terlupa untuk menggunakan pencegahan kehamilan pada suatu ketika.

Pengarah Perubatan bagi Bayer HealthCare Pharmaceuticals, Dr. Sharon Chong berkata, kaji selidik ini menyerlahkan perkara yang tidak konsisten, iaitu antara mengakui komunikasi tentang kontrasepsi adalah penting (90.3 peratus) dan bertindak untuk melibatkan diri dalam perbincangan tersebut.

"Malangnya, ketaksinambungan ini boleh menyebabkan penggunaan kontrasepsi kecemasan, atau lebih dikenali sebagai pil pagi selepas (morning-after pill), yang boleh menyebabkan risiko kesihatan dan kesan sampingan tertentu jika kerap diambil.

"Penyebab ketidakselarasan ini mungkin boleh diterangkan dengan fakta bahawa 22.7 peratus mengelak daripada membincangkan perancangan kehamilan kerana menganggap pasangan mereka tidak berminat terhadap isu tersebut; manakala 16.7 peratus takut dianggap jahil dalam perhubungan," katanya.

Dr. Chong menambah Bayer telah menunjukkan dedikasi untuk memperbaiki kehidupan wanita serta memenuhi keperluan perubatan mereka melalui inovasi perubatan selama lebih 80 tahun.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, kami sentiasa membantu untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran masyarakat ke atas isu berkaitan perancangan kehamilan demi membantu lebih ramai pasangan merancang kehidupan mereka," jelasnya.

Oleh itu katanya, selaras dengan Hari Kontrasepsi Sedunia, pihaknya akan menyusun pelbagai aktiviti, termasuk sebuah laman sesawang bagi memaklumkan dan mendidik masyarakat.

Manakala, Pengarah Eksekutif Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia, Yeoh Yeok Kim, berkata, pihaknya yakin bahawa asas untuk perhubungan yang kukuh dan memuaskan dicetuskan daripada proses komunikasi, membuat perancangan dan sentiasa memperbaharuinya.

"Namun, apabila melibatkan komunikasi terbuka dan jujur dalam perhubungan, biasanya pasangan hanya berfikiran tentang komunikasi berkaitan topik seperti kewangan dan kadangkala, emosi. Kita tidak menyedari bahawa kontrasepsi adalah topik penting yang perlu dibincangkan dan kesunyian dalam perbincangan inilah yang perlu diatasi.

"Mengadakan perbincangan secara konsisten tentang kontrasepsi juga membantu menghilangkan stigma yang dikaitkan dengannya," katanya.

Dalam kalangan responden kaji selidik yang menyatakan bahawa mereka mengalami kesukaran memperoleh kontrasepsi, sebab paling biasa yang diberi adalah mereka malu untuk bercakap dengan profesional kesihatan tentang perkara tersebut (48 peratus).

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat