Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- PM tiba di Kuching untuk sambutan Sarawak Merdeka
- Pantau guru yang menentang PPPM - Idris
- Peningkatan kos perubatan masih terkawal - Menteri
PM tiba di Kuching untuk sambutan Sarawak Merdeka Posted: 15 Sep 2013 02:25 AM PDT KUCHING 15 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu serta isteri Puan Sri Empiang Jabu. Malam ini Perdana Menteri dan isteri akan menghadiri perarakan kapal berhias sempena Malam Gemilang 50 Tahun Sarawak Merdeka di Tebingan Sungai Kuching. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah menjadi tetamu diraja dalam majlis itu. Najib dan Rosmah juga akan menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini pagi esok sebelum berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadiri Perayaan Hari Malaysia Ke-50 pada sebelah malamnya. - BERNAMA |
Pantau guru yang menentang PPPM - Idris Posted: 15 Sep 2013 02:12 AM PDT Oleh AZRAN FITRI RAHIM KOTA BHARU 15 Sept. - Pengarah Pendidikan di setiap negeri diminta supaya memantau guru-guru yang menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) secara terang-terangan. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai kakitangan kerajaan mereka sewajarnya menyokong polisi yang dilaksanakan dan bukannya menyerang secara membuta tuli. Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya golongan pendidik mahu mengkritik PPPM tetapi ia harus dilakukan mengikut saluran yang betul. "Kalau hendak kritik, boleh kritik tetapi beritahu kepada saya, saya terbuka, saya lihat dalam pelaksanaan ada kelemahan yang perlu kita baiki tetapi tidak secara keseluruhan pelan ini tidak betul dan mengatakannnya ia satu kesilapan yang besar. "Kalau dalam pelaksanaan ada kesilapan saya terbuka untuk kita betulkan, emel kepada saya, idrisjusoh@moe.gov.my, dalam keadaan sekarang tidak ada apa yang perlu ditutup, kalau ada kelemahan kita sanggup perbaiki, jangan ada secara terus-terusan menyerang kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Seminar PPPM 2013-2025 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
Peningkatan kos perubatan masih terkawal - Menteri Posted: 15 Sep 2013 01:51 AM PDT GEORGE TOWN 15 Sept. - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata peningkatan kos perubatan di negara ini secara keseluruhannya terkawal kerana kerajaan masih memberi subsidi. Kenaikan kos itu katanya tidak dapat dielak seiring dengan perkembangan teknologi dan kehendak pasaran. "Itu adalah harga yang perlu kita bayar untuk perkhidmatan dengan teknologi yang sofistikated, kalau tidak kita tidak akan dapat teknologi itu. "Perkhidmatan kesihatan negara kita diperakui di peringkat antarabangsa antara negara yang memberi khidmat pada harga lebih rendah tanpa mengabaikan aspek kualiti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Chennai Silk Palace, di Lebuh Penang hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini bahawa kos perubatan dijangka meningkat 10 peratus setahun. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |