Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Tunggu kejutan Kuna dalam Jom Chat di Utusan Online Posted: 16 Sep 2013 09:12 PM PDT Oleh HASNURUL MOHAMED KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pelakon drama Kuna akan muncul dalam Jom Chat di laman web Utusan Online pukul 9 malam esok. Ketika diundang untuk berbual santai dengan para peminat dan pelayar portal berita paling popular itu beliau berkata, sudah agak lama dia tidak tampil ditemu bual wartawan hiburan kerana tiada apa yang ingin diuar-uarkan kepada peminat. "Saya terima undangan Utusan Online untuk muncul dalam Jom Chat malam esok kerana saya ada kejutan buat semua," katanya. Tambah Kuna, beliau sebenarnya tidak pernah meninggalkan dunia lakonan yang telah sebati dalam dirinya walaupun wajahnya jarang kelihatan di kaca TV sejak kebelakangan ini. "Tanyalah apa sahaja kepada saya, insya-Allah segala soalan akan cuba dijawab. Saya difahamkan durasi berbual santai secara live streaming itu hanya sejam. Jadi jangan lambat hantar soalan," katanya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 16 Sep 2013 09:39 PM PDT TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN JAMAL, Siti Nurhaliza dan Rosyam noor merasakan mereka amat terhutang budi dengan akhbar dan majalah-majalah terbitan kumpulan utusan. DETIK 13 September 2013, bukan hari biasa. Pada hari Jumaat yang penuh berkat itu, telah tercipta satu lagi sejarah untuk dunia media dan persuratkhabaran dalam negara. Detik yang sama juga pasti akan tersemat di ingatan tiga anak seni ini. Mereka bersama-sama kepimpinan tertinggi negara dan warganya, meraikan mercu tanda sebuah syarikat persuratkhabaran unggul negara, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Di hadapan Jalan Enam, Chan Sow Lin, Sungai Besi ini, seniman legenda, Jamal Abdillah, Rosyam Noor dan Siti Nurhaliza mengakui bahawa untuk sepanjang kehidupan, mereka terhutang budi kepada jenama akhbar ini. Bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiga insan ini hadir ke Utusan Melayu dengan penuh rasa bangga, sarat kekaguman dan semangat 'kekitaan'. Doa dan harapan mereka juga agar syarikat ini unggul, kekal keramat dalam memenuhi tuntutan legasi masa depan. "Dalam usia 75 tahun, Utusan tentunya sudah semakin tua dan berusia. Tetapi kita perlu berbangga kerana, dalam usianya seperti ini, peranan dan fungsi Utusan sebagai akhbar rakyat terus terkehadapan, semangatnya kekal muda. "Saya sendiri mempunyai banyak kenangan indah dan abadi dengan Utusan, apabila bercakap tentang perjuangan dunia seni. Di sinilah, segala-galanya bermula dan Utusan akan selamanya menjadi kebanggaan nusa bangsa," kata Raja Pop, Jamal Abdillah. Bagi Jamal semenjak mula membaca akhbar, dia bermula dengan membaca akhbar Utusan Melayu versi jawi yang dibeli oleh ibubapanya. Zaman yang penuh kenangan itu juga memberikan peluang untuk dia mentafsir masa depan yang gemilang bersama dengan akhbar tersebut. "Bagi saya, Utusan Melayu itu sendiri satu nama 'gah', cukup besar dan berpengaruh. Sejak tahun 1930-an lagi, ia berkembang dan terus berkembang sampai ke hari ini. "Inilah akhbar yang banyak membantu negara mencapai kemerdekaan dan terus memainkan peranannya sehinggalah kepada era kemodenan hari ini. "Hari ini, Utusan sudah memiliki sebuah bangunan baharu yang serba canggih, indah tersergam dan ia wajar disahut dengan penuh rasa bangga kita semua. Syabas Utusan di atas kehebatan itu," katanya. Bercakap soal personal dirinya, menurut Jamal kenangan ketika muncul sebagai Juara Bintang RTM pada 1979 antara yang paling manis. "Menang Bintang RTM, muka saya terpampang besar di muka depan akhbar Utusan Malaysia. Juara Bintang RTM, muka penuh dengan jerawat, tetapi bila keluar di muka depan Utusan, rasa bangganya hanya Allah saja yang tahu pada masa itu. Itu kenangan sangat hebat buat saya," katanya. Menurut Jamal, betapa dia terhutang budi kepada akhbar ini, memandangkan bermula hari pertama dia menceburkan diri dalam dunia seni, Utusan sudah bersama-sama menghulurkan bakti. "Bukan sahaja akhbarnya, tetapi juga majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan. Majalah seperti URTV misalnya, memang terlalu banyak menyokong Jamal Abdillah sehingga sampai ke tahap ini di hari ini," katanya yang berkali-kali menyebut nama-nama seperti Bahyah Mahmood (Kak BAM) dan Ahmad Idris (ABI). Juga tidak dilupakan Jamal nama-nama seperti Juwie, Fatimah Hassan, Muzlina Abu Bakar, Nazeri Nong Samah dan lain-lain wartawan Utusan yang banyak memberi ruang dan peluang kepada dirinya untuk dikenali masyarakat. "Pada awal penglibatan saya sebagai anak seni, nama-nama besar inilah yang memberi perangsang, puji-pujian berupa nasihat untuk saya teruskan karier dengan lebih hati-hati. "Mereka selalu berpesan, "Jamal, awak jangan mudah lupa diri." Abi, Kak BAM, Muzlina dan ramai lagi, jasa mereka saya takkan lupa sama sekali," katanya lagi. Jamal juga beruntung kerana kerjaya seninya berkembang dengan begitu baik. Malah, atas besarnya nama Jamal Abdillah itu juga, dia sudah melangkah kepada dunia yang lebih besar, sebagai penerbit konsert. "Saya beruntung, tiga kali menerbitkan konsert sendiri, tiga kali juga Utusan menjadi akhbar rasmi Konsert Jamal Abdillah. Ia memang memudahkan dengan kerjasama hebat yang banyak membantu saya sebagai 'peniaga Melayu' dalam dunia showbiz. "Lagi sekali, Utusan memberi penghormatan kepada saya untuk muncul di muka depan mereka. Hal-hal seni seperti ini diberi ke muka depan, ia adalah satu penghormatan kepada industri seni secara keseluruhan sebenarnya," katanya lagi. Bawa sampai mati Bagi Hero Malaya, Rosyam Noor, selagi dia kekal bernafas dalam dunia fana ini, selama itu jasa dan bakti akhbar Melayu ini akan dikenang. "Saya akan bawa sampai ke mati kerana Utusan sebahagian daripada pihak yang 'membesarkan' Rosyam Noor dalam industri ini. Tanpa Utusan, jenama Rosyam Noor tidak mampu untuk berada pada kedudukan seperti hari ini," katanya, tanpa menafikan khidmat dan jasa media-media lain yang juga banyak memberi dokongan kepada usaha seninya. Utusan, kata pemilik Suhan Movies & Trading ini, bukan sahaja sebuah akhbar berpengaruh, malah turut memberi sumbangan besar kepada perkembangan industri seni negara. Malah, wujudnya majlis anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) juga adalah dengan usaha dan kegigihan warga Utusan. "Pada awal kewujudannya, FFM dianjur Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) yang mana presidennya ialah wartawan Utusan iaitu Allahyarham Aimi Jarr dan dibantu oleh ramai lagi wartawan-wartawan lain. "Makanya, boleh kita katakan, kalau tanpa usaha wartawan-wartawan ini, FFM mungkin belum wujud pada masa itu," kata pelakon yang kini berjaya sebagai penerbit filem dan drama disegani dalam negara. Memulakan kerjaya seninya pada era 1980-an melalui filem Gila-Gila Remaja, antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan Rosyam ialah terpilih sebagai penghias muka depan majalah-majalah terbitan Utusan seperti URTV, Hai dan Mangga. "Untuk menghiasi muka depan majalah Mangga, saya masih ingat. Jurugambar itu ialah Jeffri Iran. Dia yang ambil foto saya dalam kolam renang," kata Rosyam dalam ketawa besar, mengenang kisah zaman mudanya. Banyak kehebatan dibawa oleh akhbar dan majalah jenama ini. Justeru, Rosyam melahirkan rasa sedih, sekiranya ada generasi hari ini menganggap akhbar ini sebagai akhbar picisan, rasis dan sebagainya. "Mereka perlu tahu, sejarah wartawan-wartawan hebat, telah bermula di Utusan, semenjak zaman sebelum Merdeka, sehinggalah ke hari ini. Kehebatan inilah telah melahirkan semangat 'luar biasa' dalam diri setiap warga Utusan hari ini, terutamanya yang bertugas di Jabatan Pengarangnya," kata Rosyam lagi. Banyak membantu Melayu Antara mereka bertiga, Datuk Siti Nurhaliza paling muda. Mewakili artis-artis di zamannya, Siti Nurhaliza mengakui bahawa kerjayanya banyak dicanang hebat oleh Utusan. "Malah, Utusan juga pihak pertama yang memberi peluang kepada Siti untuk muncul sebagai penghias muka depan di dalam majalah terbitannya. Siti masih ingat, ia adalah Majalah HAI, pada 1996," kata Siti. Didepani dengan pelbagai cabaran dan dugaan, pada kacamata penyanyi nombor satu negara ini, Utusan kekal unggul di mata masyarakat dan ia sesuatu yang wajar dibanggakan. "Utusan banyak tolong orang Melayu untuk maju dalam segala bidang. Ia memberi semangat yang bukan sedikit kepada orang kita, tetapi sumbangan yang sangat besar kepada kejayaan korporat, ahli politik, ahli sukan dan insan seni Melayu lainnya," kata Siti. Justeru, Siti Nurhaliza berharap dan berdoa agar dengan rumah baharu ini, warga kerja Utusan akan menjadi lebih komited dan kekal cemerlang dalam meneruskan misi dan visi masa depan negara. "Tahniah kepada Utusan atas kewujudan pejabat baharu yang tersergam indah ini. Seperti mana kata Perdana Menteri sendiri, bangunan ini adalah perlambangan 'perjuangan' orang Melayu, kita kena bangga dan sama-sama menyokong. "Sebagai artis yang 'membina' kerjaya bersama Utusan juga, Siti menumpang bangga dan gembira dengan pencapaian Utusan hari ini. Semoga Utusan terus maju untuk nusa dan bangsa," kata pemilik Siti Nurhaliza Production dan jenama SimplySiti ini lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |