Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Mohd. Ridhuan Tee Abdullah CADANGAN Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib di Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, Kedah minggu lalu, agar Pas mengkaji semula tahaluf siyasi atau hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP harus diberikan perhatian serius oleh semua pimpinan Pas. Walaupun Pas kini sudah pun diperalatkan, tetapi masih belum terlambat. Saya harap Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat jelas dalam soal ini. Kerap kali saya mengingatkan Pas supaya berhati-hati dalam kerjasama dalam pakatan pembangkang. Nampaknya, ingatan saya mula menjadi kenyataan. Tidak ada guna berkawan dengan orang yang tidak suka pada Islam atau tidak beramal dengan Islam, apatah lagi menentang Islam, meskipun telah lama dipujuk. Tidakkah lebih baik kita berkawan dengan orang yang sudah sedia Islam dan bersedia untuk berbincang melaksanakan agenda Islam, iaitu UMNO? UMNO dahulu berbeza dengan UMNO kini. Mereka yang mahukan Islam semakin ramai, walaupun mungkin ada sedikit kalangan pimpinannya yang tidak mahu. Apatah lagi UMNO hari ini berada dalam keadaan tersepit. Tidakkah keadaan 'tersepit' itu boleh juga dimanipulasikan demi kepentingan Islam? Tidakkah tahaluf siyasi boleh dilaksanakan di sini daripada bersama penentang-penentang Islam. Saya tidak nampak pakatan pembangkang boleh menjadi medan dakwah kepada Pas kerana PKR dan DAP tidak pernah berubah pendekatan terhadap Islam. PKR tidak mahukan Islam menjadi dasar, manakala DAP terang-terang menolak dan menentang Islam. Lihatlah pada cara mereka membela kes-kes di mahkamah, apabila berlaku pertentangan dengan Islam atau Islam lawan bukan Islam. Mereka langsung tidak menampakkan rasa hormat terhadap Islam. Sama juga isu rumah ibadat baru-baru ini. Tidak perlu saya sebut siapa dan di mana? Semua telah maklum. Jika berhujah pasal hak, berapa banyak lagi rumah berhala diperlukan, sehingga bilangannya menenggelamkan surau dan masjid. Bilangan bukan sedikit, tetapi berkali-kali ganda. Statistiknya telah saya paparkan sebelum ini, sama ada yang sah atau tidak sah. Ingin saya bertanya kepada Pas berapa ramai orang PKR dan DAP memeluk Islam setelah sekian lama berkawan? Atau sekurang-kurangnya berlembut dengan Islam? Boleh dikatakan tidak ada. Yang amat ketara, 'hak' mereka, walaupun bukan hak, pantang diusik sama sekali. Paling tidak, hormatilah pendirian Pas mengenai Islam dan negara Islam. Ini tidak, pantang disebut sahaja nilai-nilai Islam dan negara Islam, maka DAP dan PKR tidak senang duduk, menunjukkan betapa antinya mereka terhadap Islam. Kita mahu lihat betapa kuatnya pakatan pembangkang tanpa Pas. Jangan mimpilah untuk berkuasa jika Pas tidak berada dalam pakatan. Jangan mimpi juga untuk mengugut atau menggertak umat Islam. Sejak sekian lama, sebahagian ulama dalam Pas mengkritik sesetengah pucuk pimpinan Pas kerana rapat dengan pimpinan pakatan pembangkang dengan pelbagai gelaran diberikan. Gelaran demi gelaran diberikan oleh mereka yang telah keluar daripada Pas. Anwarinas, golongan parasit dan virus dalam Pas adalah gelaran yang popular. Datuk Hasan Ali ketika dipecat daripada Pas, menggelar orang Pas yang rapat dengan pimpinan PKR sebagai parasit-parasit Pas. Nasharudin Mat Isa sebelum disingkirkan daripada Majlis Syura ulama berulang kali mengingatkan agar Pas mengkaji balik kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Beliau secara lantang menganjurkan Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana PKR dan DAP telah belot dalam tahalus siyasi. Apabila idea ini dicadangkan, orang yang paling kuat menentang adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyifatkan idea-idea sebegini adalah daripada musuh Pas sendiri yakni UMNO. Sejak dahulu lagi beliau berpendirian sedemikian. Menurut Sayuti Omar, penyokong kuat pakatan pembangkang tahalus siyasi itu bukan bersifat macam ayam mengawan (sekejap) tetapi bersifat angin berjimak (lama). Jika Pas beralih angin kepada bekerjasama dengan UMNO, apakah UMNO akan bersikap jujur dan ikhlas dengan Pas? Dan sejauh manakah Pas dapat meyakinkan UMNO memperjuangkan Islam dan Melayu, sedangkan dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar perlembagaan Pas. Pada beliau, paling kurang, Pas perlu mengambil iktibar daripada politik Turki. Di Turki, parti Islam berpecah kepada dua kumpulan apabila kumpulan pimpinan Recip Tayyip Erdogan membentuk AKP dan meninggalkan penyokong Necmetin Erbakan dalam Saadet. AKP terbukti berjaya dan menjadi parti yang memerintah Turki sejak tiga penggal lalu dan Erdogan kini adalah Perdana Menteri Turki yang berpengaruh. Dalam Pas, kumpulan yang dinamakan sebagai Erdogan mahu bersama pakatan pembangkang, manakala kumpulan penyokong Harun Taib ini mahu mengkajinya. Pada saya, andaian ayam mengawan dan angin berjimak tidak boleh dipakai jika kawan-kawan itu jenis yang menentang Islam. Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki dan sebagainya. Malaysia adalah Malaysia. Negara lain kebanyakan masyarakatnya adalah sebangsa (homogeous society). Pi mai pi mai tang tu juga. Negara mereka tetap terlepas kepada bangsa mereka. Apakah kita tidak belajar daripada keadaan di Fiji. Apakah orang Fiji memerintah Fiji atau diperintah hari ini? Orang Fiji telah mengemis di bumi sendiri. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Buatlah kajian atau sekurang-kurangnya bacalah politik Fiji. Seksanya orang Fiji apabila diperintah orang lain. Kita adalah masyarakat berbilang bangsa. Lebih malangnya pecahan Islam dengan bukan Islam, tidak besar. Konsep majoriti-minoriti seolah-olah tidak wujud sebab penduduknya hampir seimbang. Jika terlepas, sukar untuk dikembalikan. Justeru, sebelum terlepas, perlu berhati-hati. Sebelum nasi menjadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun tidak ada gunanya jika tanah air yang berasaskan kepada payung anak watan (indigenous canopy) terlepas kepada orang lain. Sebab itu dalam memahami politik Malaysia, ia bukan sekadar mengawan ayam atau berjimak angin. Tetapi lebih daripada itu. Masa depan dan survival umat Islam. Selama-lamanya saya tidak akan percaya kepada PKR dan DAP jika mereka tidak lembut dan menerima Islam selaku agama persekutuan di negara ini. Selamanya mereka menentang, selama itu juga saya tidak akan berlembut dengan mereka. Rayuan saya kepada Pas. Buanglah rasa buruk sangka terhadap UMNO. Begitu juga UMNO terhadap Pas. Mulakan langkah pertama. Perbincangan kerajaan perpaduan. Jika kuasa yang menjadi matlamat, berapakah bilangan kerusi Kabinet yang boleh diberikan oleh UMNO kepada Pas. Jika tidak bersetuju, berbincang lagi. Belum pun muktamad. Pokoknya kita mahukan segala keputusan menguntungkan Islam. Biar DAP kecut perut. Lihatlah bagaimana bersatunya orang lain. Kerajaan begitu tegas dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang berkaitan rapat dengan penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) kepada 240 minit di SJKC. Sebaik-baik sahaja idea ini dilontarkan, NGO-NGO Cina dan parti politik Cina begitu kuat menentang. Kita ingatkan MCA akan menasihatkan ultra kiasu ini dan bersama kerajaan. Rupa-rupanya tidak. MCA serupa dan senada dengan mereka. Bila tiba bab mempertahankan bangsa, semua bersatu. Tidak cukup dengan itu, mereka begitu lantang mengkritik agenda bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Alasan mereka, GLC itu wujud hasil cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia berbilang kaum. Kenapa perlu ada agenda bumiputera? Setelah lebih 56 tahun merdeka, parti komponen BN sendiri dan pakatan pembangkang, begitu jahil tentang Perlembagaan. Bagaimana ia boleh diharap untuk memerintah negara. Kita pula bagaimana? Kita bukan hanya bercakap soal bangsa, tetapi soal agama iaitu agama Allah SWT, Islam sebagai cara hidup. Kita perlu mengambil iktibar sebelum terlambat. Memang mudah untuk berkata atau terpengaruh dengan kata-kata, sesiapa pun memerintah, kedudukan Islam, Melayu dan Raja pasti akan selamat. Apakah keyakinan itu boleh kita harapkan kepada pakatan pembangkang, terutama DAP? Mereka bila-bila masa boleh bekerjasama dengan musuh-musuh Islam untuk memusnahkan kita. Pas tidak perlu masuk ke dalam UMNO untuk saling bekerjasama. Begitu juga dengan UMNO. Mereka boleh kekal dengan parti masing-masing. Apa yang penting perlu ada kerjasama dalam isu-isu berkaitan agama, bangsa dan negara. |
Kisah stigma negatif orang gemuk di Malaysia Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Oleh Fauziah Arof MALAYSIA negara untuk orang gemuk? Negara yang kecil ini dikatakan mempunyai bilangan orang gemuk yang paling ramai di Asia Tenggara dan berada di tempat keenam di seluruh Asia dan membelakangi beberapa buah negara Asia Barat. Ini bukanlah sesuatu kenyataan yang melucukan atau isu remeh yang boleh dibuat lawak apatah lagi mengaitkannya dengan pencapaian yang cemerlang, jauh sama sekali. Sememangnya masalah obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini sudah lama berlaku. Sebelum-sebelum ini pun kita sudah didedahkan dengan banyak statistik mengenai bilangan obesiti yang membabitkan golongan tua, muda dan kanak-kanak di negara ini. Dan semua orang pun tahu, obesiti boleh mengakibatkan penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, diabetis, dan kanser. Justeru, banyaklah kempen kesedaran dan peringatan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan terhadap orang ramai tentang bahayanya berat badan yang berlebihan ini. Dalam pada itu, kita juga pun mengakui, negara kita ini mewah dengan makanan-makanannya. Kita memang mewah dengan budaya menjamu selera itu dan ini, rumah terbuka diadakan di sana sini walaupun Hari Raya sudah habis, sering ada majlis makan-makan, sehingga mesyuarat-mesyuarat yang kecil di pejabat-pejabat pun mesti ada jamuan makan. Pun begitu, ada satu stigma negatif atau persepsi dalam masyarakat kita, yang tidak seharusnya ada tentang obesiti ini iaitu memandang rendah kepada keupayaan orang gemuk. Bukan semua mempunyai tanggapan begitu tetapi pandangan mengejek apabila melihat orang gemuk kadangkala kelihatan walaupun tanpa disedari. Dan disebabkan itu, ada yang tidak melihat kepada bakat dan kemahiran yang ada pada orang gemuk ini. Dan lebih teruk, sesetengah majikan pula tidak mahu mengambil pekerja yang gemuk. Bukan kerja itu memerlukan dia berlari pun, bukan kerja itu menyuruh dia memanjat pokok kelapa, bukit atau gunung pun. Tetapi itulah, sebab dia gemuk, bakat dan pendidikan yang ada padanya diketepikan. Penampilan amat perlu! Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan yang gemuk. Dia memang berbakat besar dalam bidang penulisan dan saya mengakuinya. Membaca tulisan-tulisannya yang tajam dan adakalanya menyentuh perasaan, saya tahu dalam usia semuda itu, dia memang boleh pergi jauh. Tetapi apabila dia meminta kerja dalam sebuah organisasi media, dia telah dihina semasa sesi temuduga. Dia dinilai melalui penampilannya, first impression kata orang, bukan dinilai daripada bakatnya. Saya memahami jika dia tidak diambil bekerja kerana mungkin syarikat berkenaan tidak mahu menanggung bil-bil hospital atau klinik yang tinggi kerana bimbang dia akan mengalami banyak penyakit, tetapi janganlah sampai memperlekeh dan menghinanya. Jika bukan kerana minatnya itu, sudah tentu dia tidak meminta bekerja di situ. Dia kini, saya kira sudah berjaya. Dia bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi dan saya amat bangga dengan ketabahannya. Kita lihat sajalah dalam bidang seni pun, berapa ramai sangat orang gemuk diberi peluang dan sentiasa ke depan. Yang ada pun sebab mereka benar-benar bagus, menyerlah dan bakatnya memang tidak boleh dinafi dan diketepikan. Tetapi untuk mencapai ke tahap itu pun tentu ada cerita-cerita duka yang dilaluinya. Saya juga mendengar daripada rakan-rakan saya yang gemuk, betapa berlakunya macam-macam diskriminasi terhadap mereka dalam kerja. Dan yang lebih menyakitkan hati mereka ini disifatkan sebagai bahan lawak dan memberi komedi dalam pejabat sahaja. Itulah antara mentaliti kebanyakan orang kita, menilai orang melalui penampilan paras rupa. Yang diutamakan, wajah cantik dan segak bergaya. Kualiti kerja tolak ke tepi dulu. Dan persepsi atau stigma-stigma negatif yang telah berlarutan sekian lama ini, akhirnya berterusan ke generasi-generasi seterusnya. Sebab itu, kita masih mendengar, anak-anak kecil yang gemuk diejek dan dijadikan bahan persenda oleh kawan-kawan mereka di sekolah. Jika kanak-kanak itu tidak mudah sensitif atau jenis tidak kisah, tidak mengapa, bagaimana kalau yang cepat merasa rendah diri? Sudah tentu ini sedikit sebanyak menganggu proses pergaulan dan pembelajaran mereka di sekolah. Itulah kadang-kala kita fikir bahawa penyakit diabetis, penyakit jantung dan penyakit-penyakit berkaitannya memberi stress atau tekanan kepada orang yang obes ini, tetapi hakikatnya yang mendatangkan lebih stress kepada mereka adalah stigma negatif masyarakat sekeliling! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |