Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Zakat MAINJ capai RM135 juta
- Empat wakil Johor rebut kerusi Exco Pemuda
- Jenayah jalanan diperangi habis-habisan
Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK PAGOH 20 Sept. - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menjangkakan hasil kutipan zakat negeri ini meningkat berbanding tahun lalu berdasarkan pungutan yang sudah diperoleh setakat hari ini iaitu berjumlah RM135 juta. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Razak Hassan (gambar) berkata, keyakinan tersebut berasaskan usaha bertemu dengan pengarah syarikat yang diperhebatkan dalam memberi kesedaran mengenai tanggungjawab menunaikan kewajipan itu. "Dalam masa sama, MAINJ juga mempermudahkan mereka dengan menyediakan kaunter bagi membolehkan proses pembayaran zakat berjalan lancar," katanya dalam sidang akhbar selepas program Briged Ansor MAINJ Bersama Penduduk Kampung Raja, di sini hari ini. Beliau memberitahu, kutipan zakat tahun lalu sebanyak RM170 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM120 juta sudah dibelanjakan untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan. Menurutnya, perbezaan kutipan zakat amat ketara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini misalnya jumlah zakat yang berjaya dikutip pada 2011 hanya RM50 juta. "Peningkatan ini berikutan pertambahan bilangan syarikat korporat yang mula mempunyai kesedaran dan berminat membayar zakat hasil keuntungan syarikat selain promosi yang dilakukan pihak kami," katanya. Mengenai keengganan segelintir umat Islam membayar zakat, Abdul Razak berkata, keadaan itu berpunca daripada kurang kefahaman tentang tanggungjawab tersebut menyebabkan mereka memilih membayar sendiri kepada pengutip zakat yang tidak dilantik MAINJ. Melalui kutipan zakat itu, katanya, pelbagai bantuan diberikan kepada lapan golongan yang dikategorikan asnaf antaranya rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang, baik pulih rumah dan pendahuluan melanjutkan pengajian. Sebagai contoh, jelasnya, setiap tahun MAINJ memperuntuk sebanyak RM18 juta kepada hampir 3,000 pesakit buah pinggang melakukan rawatan dialisis. Mengenai program itu, Abdul Razak berkata, program yang dilancarkan tahun lalu tersebut bercorak kemasyarakatan dengan menubuhkan pasukan Briged Ansor untuk turun ke padang bertemu masyarakat. "Pelbagai acara yang dilakukan seperti bergotong-royong, tazkirah dan menjejak golongan asnaf. Dalam program kelima tahun ini, kita berjaya menjejaki 30 asnaf dan mereka diberikan bantuan termasuk baik pulih rumah berjumlah RM10,000. Mereka yang berpendapatan RM700 ke bawah layak digelar asnaf dan menerima bantuan zakat," katanya. |
Empat wakil Johor rebut kerusi Exco Pemuda Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT Azizul Kamar Abdul Rahman (berdiri tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada keluarga Paiman Supian di Batu Pahat, kelmarin. BATU PAHAT 20 Sept. - Empat wakil daripada Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengesahkan akan mewakili negeri itu bagi merebut kerusi Exco Pemuda pada pemilihan Oktober ini. Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, Azizul Kamar Abdul Rahman; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaludin; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous. Daripada empat nama itu, Shahrin akan mempertahankan kerusi Exco Pemuda yang dimenanginya pada pemilihan lalu manakala tiga lagi merupakan muka baharu yang akan memberikan saingan. Azizul Kamar berkata, keputusan bertanding kerusi Exco Pemuda itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan. "Selepas mengadakan pertemuan dengan akar umbi sebelum ini, keempat-empat nama itu termasuk saya telah membuat keputusan akan bertanding bagi merebut kerusi Exco," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan untuk mangsa bencana di sini semalam. Sementara itu, mengenai penyampaian sumbangan tersebut, Azizul berkata, bantuan berkenaan diberikan bagi meringankan pasangan suami isteri yang terdiri daripada warga emas selepas rumah mereka dihempap pokok kelapa sawit usang pada awal bulan lalu. "Dalam kejadian itu, rumah yang dihuni Paiman Supian, 85, dan isterinya Sarah Karim, 70, rosak teruk dan memerlukan kos yang tinggi untuk diperbaiki. Disebabkan itu, Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat terpanggil bagi memberi bantuan. "Lebih menyedihkan apabila rumah itu turut dihuni oleh anak saudara pasangan berkenaan yang tidak mempunyai sebelah kaki selepas dipotong akibat penyakit diabetes," katanya. |
Jenayah jalanan diperangi habis-habisan Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT KLUANG 20 Sept. - Kejadian jenayah jalanan yang mencetuskan rasa takut masyarakat akan diperangi habis-habisan oleh polis daerah ini sebagai usaha menyediakan suasana harmoni untuk semua pihak. Selain itu, perkara tersebut yang akan dilaksanakan dengan beberapa strategi mantap kini menjadi agenda utama Ketua Polis Daerah yang baharu iaitu Asisten Komisioner Mohd. Roze Shaari. Beliau yang menggantikan Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bagi memerangi rasa takut masyarakat dan jenayah jalanan seperti samun, ragut, curi motosikal serta pecah rumah, pihaknya kini merangka tiga strategi. "Perkara pertama kita akan meningkatkan usaha proaktif dan pencegahan jenayah bersepadu ke arah pencapaian indeks di tahap minimum dan yang kedua adalah memperbanyakkan kehadiran polis di kawasan awam dan meningkatkan keberkesanan penugasan. "Bagi meningkatkan keyakinan masyarakat pula, kita akan memastikan setiap anggota menepati masa tindak balas yang telah ditetapkan selain siasatan berkualiti ke arah pendakwaan sekali gus menyelesaikan kes," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini. Mohd. Roze yang berkelulusan Ijazah Sarjana Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyertai pasukan polis sejak 1989 sebelum ini bertugas di Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Beliau memberitahu, selain itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi mendengar serta menyenarai masalah yang perlu diberi fokus. "Saya akan menggunakan lapan balai di bawah IPD Kluang sebagai medium bertemu dengan masyarakat dan membawa masalah mereka untuk diselesaikan kelak," katanya. Yang penting masyarakat juga perlu memberi kerjasama kepada polis. "Saya berharap dapat memupuk semangat satu pasukan, memberi khidmat terbaik dan sentiasa mendokong visi dan misi kita untuk berkhidmat dengan masyarakat," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |