{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Sekaki payung satukan dua hati

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

Memori ketika Muhammad Aizat dan Rabiatul Adawiyah disatukan Mei lalu.

SIAPA sangka satu pertengkaran di kedai mamak gara-gara sekaki payung berakhir dengan ikatan perkahwinan pemilik Qamraa Boutique Alor Setar, Rabiatul Adawiyah Mohd. Saad dan suami, Muhammad Aizat Jawari.

Tidak terhenti di situ pasangan berusia 25 tahun itu bertemu semula di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor tahun lepas tanpa disedari kedua-duanya merupakan rakan sekampus.

Dari situlah bermulanya bibit perkenalan pasangan muda yang mengikat tali pertunangan selama tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan pada 25 Mei lalu.

Kata Rabiatul Adawiyah, biarpun berkenalan dalam tempoh singkat, tidak menghalang mereka untuk mendirikan perkahwinan setelah mendapat persetujuan daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam tempoh perkenalan kami telah menjalankan perniagaan busana muslimah secara online bersama, jadi kami banyak masa bersama seperti menjahit, membeli kain dan berbincang mengenai fesyen terbaharu.

Untuk mengelakkan daripada difitnah atau tidak elok dipandang masyarakat kami mengambil keputusan untuk berkahwin setelah tamat belajar.

Lagi pula kami juga tidak mahu berkawan lama-lama kerana masing-masing sebelum ini pernah berdepan dengan pengalaman putus cinta," ujar Rabiatul Adawiyah graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Matematik.

Mengimbas detik pertemuan kali pertama mereka, kata wanita ini, beliau dan suami bertengkar kerana tidak berpuas hati dengan sikap masing-masing.

Semuanya kerana sekaki payung di sebuah kedai mamak apabila saya tiba-tiba membuka payung dan mengenainya di belakang. Berlaku sedikit pertengkaran namun kami tidak menyangka bertemu semula di kampus dan rupa-rupanya pelajar sekampus. Itu namanya jodoh," katanya.

Bercerita tentang keunikan pasangan masing-masing, wanita bertubuh kecil itu memberitahu, sifat kelembutan yang ada pada Muhammad Aizat menambat mata hatinya.

Kata anak kedua daripada empat beradik itu, sifatnya berlawan dengan Muhammad Aizat yang sentiasa menjernihkan keadaan apabila berlaku salah faham antara mereka.

Biasalah dalam rumah tangga ada pasang surut, saya pula jenis yang keras dan suka merajuk jadi dia yang akan pujuk dengan lawak-lawak yang buatkan saya ketawa semula. Selain itu Muhammad Aizat bijak dalam bab memujuk, dia juga akan puji saya sampailah saya ketawa.

Walaupun Aizat lembut namun dia tegas orangnya mungkin disebabkan itu juga saya tahu Aizat boleh menjadi ketua dalam rumah tangga kami," katanya.

Pasangan yang mengusahakan butik di Taman Perindustrian Jalan Bandar Baru Mergong, Alor Setar dan menerusi laman Facebook Qamraa Boutique banyak menghabiskan masa bersama di kedai mereka.

Menurut Rabiatul Adawiyah, atas kekangan masa mereka masih belum pergi berbulan madu namun bercadang untuk melakukan pengembaraan bersama kelak.

Beliau memberitahu, mereka yang kini masih dilamun cinta bertuah kerana bekerja di bawah satu bumbung dan berkongsi minat yang sama untuk mengembangkan bakat serta perniagaan yang diusahakan sejak setahun lalu.

Kami jarang keluar dating seperti pasangan lain sebab sibuk dengan perniagaan tetapi masa yang ada di kedai kami gunakan sebaiknya," katanya.

Ujarnya, biarpun kadangkala terdapat perbezaan idea dalam menghasilkan rekaan terbaharu namun semua itu dijadikan memori terindah sebagai proses mengenali hati budi pasangan.

Berkongsi rahsia kebahagiaan, Muhammad Aizat pula memberitahu, tidak mementingkan diri dan sentiasa beralah diutamakan dalam rumah tangga yang telah menjangkau usia empat bulan.

Usia perkahwinan ini masih baru, banyak lagi yang perlu belajar sebab itu kami sentiasa bertanyakan kepada pasangan berpengalaman terutama ibu bapa untuk mengukuhkan masjid yang kami bina.

Saya juga akan tegur dia jika ada yang tidak kena dan tidak pendam lama-lama yang boleh merosakkan hubungan kami," katanya.

Rupanya bunga yang dipuja isteri orang...

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

SALAH satu sifat manusia yang baik dan disukai oleh Allah adalah berterus terang tidak kira dalam apa juga keadaan. Namun tidak seorang pun di antara kita yang mampu melakukannya jika tidak ada kekuatan dan semangat yang tebal.

Pun begitu, jika sikap ini tidak disertakan dalam diri, banyak masalah tidak akan selesai dan akan terus menghantui diri sampai bila-bila.

Itulah yang berlaku kepada Zaid (bukan nama sebenar) yang menyimpan perasaan terhadap seseorang tetapi tidak meluahkannya kepada orang berkenaan sehingga membawa kesan kepada dirinya.

Kita ikuti kisah Zaid untuk iktibar bersama dalam mengharungi hidup yang penuh ujian dan dugaan ini.

Ini cerita Zaid.

"Saya berusia awal 30-an, belum berkahwin dan anak sulung dalam keluarga seramai lima orang. Ayah dan ibu mengusahakan ladang di kampung.

"Saya ingin berkongsi kisah yang berlaku kepada diri saya baru-baru ini yang mana sama sekali tidak pernah saya fikir akan terjadi.

"Tugas saya sebagai seorang jurutera menjadikan kehidupan saya tidak menentu, sibuk dengan kerja sehinggakan saya melupakan seketika tentang hidup saya.

"Masa banyak dihabiskan di tempat kerja sehingga pada hujung minggu pun saya datang bertugas. Semuanya adalah untuk mencari rezeki halal bagi meneruskan kehidupan dan membantu keluarga.

"Yang jelasnya segala perkara berkaitan hidup ini memerlukan wang, tanpa wang hidup sukar untuk diuruskan.

"Terkadang kita tidak kenal siapa kawan kita dan jiran sebab terlampau sibuk. Sehinggakan ada masa dikatakan kita sombong dan tidak bermasyarakat.

"Pulang ke kampung emak dan ayah tak putus-putus bersuara, 'umur dah bertambah, jangan jadi bujang terlajak!' Nasihat orang tua itu baik tetapi saya masih belum bertemu yang berkenan di hati dan serasi.

"Walaupun terdapat berbagai medium yang mudah untuk mendapat kenalan, saya tidak berminat untuk melayarinya. Pada pandangan saya, biarlah jodoh itu datang sendiri.

"Memang menjadi lumrah hidup orang bujang, selalu makan di luar, sebab tidak ada waktu untuk memasak berbanding mereka yang sudah berumah tangga.

"Itu perkara biasa. Jadi setiap hari jika terasa lapar saya akan keluar untuk makan. Suatu hari ketika hendak membayar makanan di kaunter saya panik kerana dompet saya tertinggal.

"Di belakang saya ada beberapa orang pelanggan sedang menunggu giliran untuk membayar. Paling hampir di belakang saya, seorang gadis yang boleh tahan juga cantiknya.

"Encik, saya boleh tolong bayarkan .. berapa harganya? lembut dia menawarkan diri. Saya berpaling ke arahnya. 'Jangan segan saya ikhlas katanya…' Saya dapat merasakan muka saya merah dan tentunya saya juga merasa malu.

"Disebabkan dia menawarkan diri saya terima juga dan berjanji akan membayar wangnya balik secepat mungkin. Kami bertukar nombor telefon dengan harapan akan berjumpa lagi untuk membayar wang yang saya pinjam.

"Selesai berbual seketika saya pulang ke pejabat. Setengah jam kemudian saya menghubungi gadis itu yang bernama Diana (bukan nama sebenar) untuk membayar hutangnya.

"Saya halalkannya En. Zaid.., bukannya mahal sangat harga itu… Lembut tutur katanya menyebabkan saya hilang kata-kata. Setelah mengucapkan terima kasih saya meletakkan telefon.

"Mungkinkah gadis ini yang ditakdirkan untuk saya? Masih terlalu awal untuk saya membuat sebarang andaian. Mulai saat itu kami sering berhubungan di talian. Saya mengaku terasa rindu jika tidak bercakap dengannya.

"Buat sementara saya rahsiakan perkenalan daripada kawan-kawan dengan maksud untuk membuat kejutan kepada mereka.

"Dua tahun berlalu, hubungan persahabatan kami berjalan lancar. Saya tidak pernah meluahkan perasaan untuk serius dengannya, begitu juga dia.

"Entah mengapa lidah saya kelu untuk berkata atau mungkin saya hanya bertepuk sebelah tangan? Itu yang membimbangkan saya.

"Pernah saya kirimkan pesanan ringkas yang ayatnya berbunga-bunga tetapi tiada respons seperti yang saya harapkan daripada Diana.

"Sehinggalah pada hari raya lalu Diana mengadakan rumah terbuka dan menjemput saya untuk datang. Memikirkan hubungan kami yang masih terjalin mesra saya setuju untuk hadir.

"Saya ajak rakan saya Salman (bukan nama sebenar ) untuk turut sama. Tiba di alamat yang diberikan kami memberi salam dan disambut oleh ayahnya yang kebetulan berada di luar pekarangan rumah.

"Setelah memperkenalkan diri dan berjabat salam kami dipelawa masuk. Ramai juga tetamu yang sedang menjamu selera dan kami sempat berbual dan berkenalan sesama sendiri.

"Saya tercari-cari Diana, namun kelibatnya pun tidak nampak. Mungkin sibuk di dapur agaknya menyediakan juadah untuk tetamu, itu yang saya fikirkan.

"Ketika leka menjamu selera, kelihatan sebuah kereta berhenti di halaman rumah. Mata saya terpaku ke arah kereta itu apabila melihat Diana sedang keluar dari kereta mendukung seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia tiga tahun.

"Seorang lelaki juga keluar dari kereta tersebut. Dada saya menjadi kencang, peluh jantan menitis di dahi walaupun di luar rumah hujan renyai-renyai mula turun. Saya dan Salman berpandangan di antara satu dengan lain.

"Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Diana isteri orang! Itu yang dibisikkan oleh Salman dan saya terdiam ketika itu. Saya mula gelisah tetapi Salman meminta saya mengawal perasaan dan berbuat macam tidak ada apa yang berlaku.

"Encik Zaid, terima kasih sudi bertandang ke rumah saya dan kenalkan ini suami saya yang baru pulang dari luar negara. Saya menyambut salam suami Diana, begitu juga dengan Salman.

"Dada saya semakin kencang, entah kenapa saya begitu cemburu dengan lelaki yang diperkenalkan sebagai suami Diana. Adakah itu tandanya saya jatuh cinta dengan dia?

"Kami berkenalan sambil menikmati juadah. Perut saya tiba-tiba terasa kenyang dan sukar untuk menjamah beraneka makanan yang terhidang. Saya mula merasakan diri dipermainkan.

"Malas untuk melihat sandiwara ini berterusan saya segera mengajak Salman pulang. Kami meninggalkan perkarangan rumah yang telah mengguris perasaan saya.

"Sepanjang perjalanan fikiran saya tidak menentu. Tidak saya duga sama sekali, Diana adalah isteri orang kerana mati-mati saya fikirkan dia masih anak dara dan belum berpunya.

"Perasaan marah, malu dan rasa tertipu semuanya berlegar di fikiran saya. Salman cuba untuk menenangkan emosi saya yang keliru. Dia meminta saya menerima hakikat yang telah tersurat .

"Mungkin ada hikmahnya di sebalik semua perkara ini, kata Salman memujuk. Walaupun saya mengaku ada hati dengan Diana, tidak mungkin untuk saya miliki dia dengan statusnya sebagai isteri orang.

"Adalah lebih baik untuk saya lupakan sahaja segalanya. Buat macam kami tidak pernah kenal sebelum ini. Semalaman saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan apa yang berlaku.

"Untuk menghilangkan tekanan saya balik bercuti ke kampung. Dua hari di kampung saya menerima pesanan ringkas daripada Diana yang ingin berjumpa saya segera.

"Pada mulanya saya menolak pelawaannya tetapi setelah berpuluh-puluh kali mesej yang sama tertera pada telefon bimbit saya, akhirnya saya mengalah dan bersetuju untuk berjumpa dengannya.

'Tidak lupa saya mengajak Salman bersama ke tempat yang telah kami janjikan kerana tidak mahu disalah anggap oleh suaminya dan sesiapa sahaja yang nampak kami nanti.

"Tepat pada masanya Diana muncul bersama anaknya yang sangat comel. Dia tidak ceria seperti selalu tetapi pada wajahnya saya nampak ada rasa kecewa.

"Setelah berbual-bual sambil bermesra dengan si kecil, Diana mencurahkan segala yang terbuku di hatinya. Katanya, memang betul lelaki itu adalah suaminya dan dia bekerja di luar negara. Sudah tiga tahun dia bekerja di sana.

"Sayangnya kata Diana suaminya itu telah telah bernikah lagi tanpa pengetahuannya. Sebagai isteri Diana tidak mahu dimadukan dan minta dilepaskan. Itu sebab suaminya pulang untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka. Sekarang mereka telah sah bercerai.

"Mendengar penjelasan Diana, saya tidak dapat memberi sebarang komen cuma bersimpati di atas nasibnya. Saya tidak mahu memberi harapan tinggi kepadanya kerana bimbang dia akan mengharap.

"Sehingga kini kami masih berkawan dan segalanya saya serahkan kepada suratan jodoh sambil memohon petunjuk daripada Allah. Keluarga juga tidak membantah siapa yang saya pilih sebagai calon isteri.

"Ini soal jodoh hingga ke akhir hayat bukan untuk hidup sehari dua. Moga Allah beri petunjuk dan hidayahNya untuk masa depan saya yang diberkati di dunia dan akhirat. Amin." Zaid menamatkan cerita dengan penuh harapan.

Selepas berkongsi cerita Zaid saya merasa lega kerana Zaid telah bertindak wajar dengan mengehadkan batas pergaulannya dengan Diana setelah mendapat tahu wanita itu adalah isteri orang.

Juga, di sebalik rasa kecewa kerana masing-masing tidak berterus terang di peringkat awal. Apa pun, Diana dan Zaid telah melakukan yang terbaik untuk diri mereka dan keluarga.

Saya mendoakan agar Zaid dan Diana akan terus menjadi sahabat seandainya antara mereka tidak ada jodoh.

Menutup catatan, sepatah kata untuk pembaca semua, " berterus terang itu adalah jalan terbaik untuk merungkai permasalahan daripada membiarkan ia terbuku di dalam hati dan akhirnya memakan diri."

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat