{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


133 PATI ditahan di Johor

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Sebahagian PATI yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P Jabatan Imigresen Negeri di tapak pembinaan, Skudai, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 15 Sept. - Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Bersepadu 6P yang dijalankan Jabatan Imigresen negeri di tapak pembinaan sekitar Skudai di sini awal pagi semalam.

Dalam serbuan bermula pukul 1.30 pagi itu, pihak Imigresen menahan 123 lelaki dan 10 wanita yang kebanyakannya dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Timbalan Ketua Penguat kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, ketika serbuan, kebanyakan PATI sedang tidur di rumah kongsi di tapak berkenaan.

"Saya yakin terdapat segelintir daripada mereka tidak tidur di rumah di situ sebaliknya tidur di kawasan pembinaan bagi mengelak ditangkap," katanya di Kompleks Dalam Negeri, Setia Tropika di sini semalam.

Menurut beliau, penahanan itu adalah kali kedua dilakukan pihaknya selepas operasi besar-besaran dijalankan pada awal September lalu.

Katanya, kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 53 tahun itu kebanyakannya bekerja sebagai buruh binaan di kawasan ini dan akan dibawa ke Depot Tahanan Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.

"Mereka akan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen perjalanan. Ada juga antara mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tiada dokumen perjalanan," katanya lagi.

Bumiputera perlu bukti keupayaan - MB

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan orang ramai sempena lawatan kerja di Taman Megah Ria, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 15 Sept. - Golongan bumiputera yang mendapat manfaat menerusi agenda Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak boleh menganggapnya sebagai pemberian terus hanya atas sebab nama bumiputera tanpa perlu membuktikan keupayaan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mahukan manfaat tersebut perlu meletakkan kecemerlangan dan kesediaan untuk bersaing sesama sendiri sekali gus mampu berkongsi kejayaan dan membantu bumiputera lain.

Menurutnya, sekiranya golongan bumiputera gagal meningkatkan keupayaan diri dan gagal untuk bersaing, samalah seperti mengulangi kelemahan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibuat bagi memenuhi kuota dan menyebabkan mereka tidak berkembang.

"Kita tidak mahu terhenti kepada seorang bumiputera sahaja. Sebagai contoh, jika satu projek diberikan kepada satu kontraktor, peluang diberikan itu perlu dibuat dengan jayanya dan menggunakannya untuk berkembang dan membantu yang lain.

"Bukannya mereka datang balik kepada kerajaan dan minta lagi dan lagi, ini tidak akan berakhir serta tidak membantu bumiputera itu sendiri," katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Taman Megah Ria dan Taman Kota Puteri, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang merangkumi lima fokus utama dalam usaha membela serta meningkatkan taraf kehidupan bumiputera di UiTM di Shah Alam, Selangor.

Mohamed Khaled yang menghargai komitmen kerajaan memperkenalkan dasar tersebut berharap, mereka yang mendapat manfaat itu dipantau kemajuannya selain pelaksanaannya dijalankan dengan jujur serta amanah supaya matlamatnya tercapai.

Sehubungan itu, beliau mahu bumiputera terlibat tidak mensia-siakan peluang yang diberikan menerusi agenda tersebut dalam usaha memastikan golongan terbesar di negara ini tidak tercicir apabila Malaysia mencapai status negara maju kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menyahut dan menjayakan usaha tersebut, kerajaan negeri juga bersedia mewujudkan unit pembangunan bumiputera sebagaimana yang akan dilaksanakan di semua kementerian seperti diumumkan Perdana Menteri.

Tambahnya, pihaknya akan menyediakan pelbagai usaha termasuk melaksanakan petunjuk prestasi utama (KPI) ke atas pegawai-pegawai dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di peringkat negeri.

Saingan sengit dalam UMNO Tanjung Piai

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Mohd. Shafie Kadar (kiri) menyerahkan borang pencalonan kepada Zakaria Yusof (kanan) di Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 15 Sept. - Tiga jawatan utama UMNO dalam Bahagian Tanjung Piai dijangka menyaksikan persaingan sengit selepas kesemua jawatan tersebut akan ditandingi calon-calon lama dan muka baharu.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof dijangka mempertahan jawatannya dan akan dicabar Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Nasir Safar dan muka baharu, Zakaria Yusof yang merupakan bekas pesara penghulu di daerah ini.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, pertandingan juga melibatkan tiga penjuru apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup baharu, Suhaimi Salleh akan menawarkan diri bertanding jawatan tersebut dan akan menentang Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian, Bahrin Kailan.

Jawatan Naib Ketua UMNO akan menyaksikan pertarungan antara Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Mohd. Fuad Jawadi dan seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai yang juga seorang doktor, Dr. Mohd. Isa Ismail.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang yang akan tamat tempoh jawatannya kerana melebihi usia 40 tahun belum menyatakan sebarang pendirian bertanding dalam pemilihan kali ini.

Proses pembelian borang pencalonan bagi pemilihan UMNO bermula seawal pukul 9 pagi semalam di Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Piai dan UMNO Bahagian Pontian di sini.

Calon-calon yang bertanding datang sendiri atau menghantar wakil mereka bagi mendapatkan borang pencalonan hingga 20 September ini sebelum penamaan calon pada 21 September.

Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mohd. Shafie Kadar, pihaknya telah dibekalkan sebanyak 200 borang bagi mereka yang ingin mengisi jawatan di peringkat bahagian termasuk tujuh perwakilan ke Kuala Lumpur manakala borang bagi jawatan di sayap-sayap UMNO telah diserahkan kepada Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Bagi memudahkan urusan kami membahagikan tugas kepada sayap-sayap UMNO supaya proses pengedaran borang berjalan dengan lancar sehingga tarikh tutup Jumaat ini," ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat