Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 15 Sep 2013 05:42 AM PDT KATA orang tua-tua, jauh berjalan luas pengalaman, begitu juga lebih ramai kita bertemu masyarakat, maka banyak pandangan boleh kita kutip daripada pengalaman hidup yang mereka lalui. Itulah yang saya ambil ketika bertemu Sara baru-baru ini. Banyak pengajaran tentang cara hidup keluarga Sara boleh dijadikan panduan hidup. Kehidupan keluarganya memang unik, mereka tidak bahagikan duit pusaka ratusan ribu ringgit yang diterima sebaliknya dipanjangkan sebagai sedekah untuk arwah ibu bapanya. Menurut cerita Sara, dia tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapanya kerana mereka meninggal dunia ketika dia belum bersekolah lagi. ''Setahu saya selepas itu saya dibesarkan oleh abang sulung bersama isterinya, yang ketika itu tinggal bersama ibu bapa saya di kampung. Kami mempunyai keluarga besar, tetapi semua adik-beradik kami dididik menghormati adik-beradik yang lebih tua. ''Adik-beradik saya 12 orang, saya yang kecil. Ketika itu hidup kami memang susah. Ayah peneroka Felda dengan pendapatan cukup makan. Untuk menampung hidup, ibu membantu dengan membuat putu mayam dan putu bambu, yang kami adik-beradik jual keliling kampung. ''Abang turut membantu walaupun sudah berkahwin dengan menyerahkan duit gajinya kepada ayah untuk makan minum keluarga kami setiap bulan. Abang tak minta gajinya kecuali kalau ayah beri untuk buat belanja. Abang amat hormatkan ayah dan emak. ''Bila emak dan ayah meninggal dunia, abang sulung ambil alih tanggungjawab jaga kami adik-beradik, bermula daripada urusan makan minum, perbelanjaan buku dan pakaian sekolah, hinggalah mengurus perkahwinan kami seorang demi seorang. ''Bila emak meninggal dunia, kakak ipar pula ambil alih perniagaan buat putu mayam dan putu bambu. Pendek kata semua dalam rumah membantu antara satu sama lain. Dengan duit jualan itulah abang sulung suami isteri membesarkan kami adik-beradik hinggalah besar, bekerja dan berkahwin. Adik-beradik yang sudah bekerja turut bantu abang sulung menampung belanja makan minum kami adik-beradik perempuan yang masih tinggal dan tidak bekerja. ''Dalam bab kahwin, semua urusan daripada meminang hinggalah kenduri abang sulung uruskan. Adik-beradik lain bantu memasak, menghidang dan sebagainya. Jiran tetangga juga turut membantu pada peringkat awal. Pendek kata walaupun emak dan ayah sudah tiada, kami adik-beradik tetap bersatu dalam sebuah keluarga besar. ''Apabila abang sulung, kakak dan abang lain berpindah ke tanah rancangan Felda, mereka tetap ambil perhatian dan uruskan kami yang masih tinggal di kampung. Pendek kata hubungan kami tidak pernah putus walaupun terpisah kerana mencari rezeki di tempat lain. ''Apabila semua adik-beradik telah berkahwin dan berpindah, rumah pusaka arwah orang tua tetap kami jaga kerana rumah itulah jadi tempat kami berkumpul apabila ada kenduri arwah, hari raya dan pelbagai aktiviti lain. Kami datang bersihkan rumah paling tidak sebulan sekali, bukan dipaksa tetapi sukarela jika ada kelapangan. Paling tidak mesin rumput. Kami lakukan kerana sayang kami kepada emak dan ayah serta tempat di mana kami dibesarkan. ''Abang sulung memanggil adik-beradik berbincang apa patut kami lakukan dengan wang tersebut dan rumah banglo mewah yang sangat cantik itu. Keputusan dibuat supaya abang sulung terus simpan duit tersebut bagi pihak kami adik-beradik, setelah dikeluarkan zakat, sedekah serta dibuatkan haji untuk emak dan ayah. ''Tentang rumah banglo kami putuskan tidak mahu jual atau tinggal di rumah tersebut, tetapi disewakan, duitnya kami kumpul untuk disedekahkan atas nama ayah dan emak. Pendek kata semua kami lakukan untuk amal jariah mereka. ''Kami sangat sedih kerana ayah dan emak tidak sempat merasa senang semasa membesarkan kami di tanah rancangan Felda ini dahulu. ''Kami bersyukur diberikan kehidupan yang senang oleh Allah, walaupun tidak kaya raya. Bagi kami apa yang lebih penting boleh hidup aman tidak berbalah apatah lagi bergaduh berebut harta yang akan lebih menyusahkan kehidupan emak dan ayah 'di alam sana'. ''Kami gembira kerana adik-beradik tidak berebut harta sebaliknya hidup harmoni dalam satu keluarga besar bersama anak cucu masing-masing. Pada kami itu lebih penting daripada wang ringgit dan harta yang banyak. ''Walaupun abang sulung simpan duit kami, tetapi dia sentiasa minta izin dan pandangan jika mahu menggunakannya untuk tujuan bersedekah yang telah dinamakan atas nama kami adik-beradik. ''Kini anak-anak kami juga berbudi kepada kami dengan menghulurkan wang setiap bulan bagi mencari keberkatan dalam hidup mereka. Kami bersyukur mereka mengikut didikan kami selain tidak lupakan Allah. ''Keeratan hubungan kami adik-beradik menjadi buah mulut jiran tetangga di kampung. Mereka kagum kerana kami adik-beradik boleh berpakat ketika keluarga lain berbalah pasal harta pusaka,'' demikian cerita Sara panjang lebar. Dalam pada itu, jutaan terima kasih buat Jabatan Hal Ehwal Veteran Kementerian Pertahanan yang telah memberikan pencen mulai bulan ini kepada Noraini Zakaria, balu anggota tentera udara yang kisahnya dipaparkan di ruangan ini pada 10 Jun 2012 berjudul 'Derita ke akhir hayat'. |
Posted: 15 Sep 2013 05:42 AM PDT KANAK-KANAK perempuan dan anak patung sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ketika kecil, anak patung menjadi rakan karib sehinggakan ada yang mengusungnya ke mana saja. Audrey yang berasal dari Los Angeles juga mempunyai seorang 'rakan karib' berupa anak patung bebiri berwarna biru muda yang dianggapnya teman setia. Bezanya, Audrey bukanlah kanak-kanak. Audrey ialah wanita berusia 27 tahun namun dia begitu obses dengan anak patung bebiri miliknya mengalahkan budak kecil! Sejak Audrey menerima hadiah berupa anak patung bebiri itu lima tahun lalu, dia tidak dapat menjalani hidup seperti biasa tanpa kehadirannya. Bukan saja membawa merata-rata di dalam rumah ketika menonton televisyen mahupun makan tengah hari, Audrey turut membawanya keluar bermain di taman permainan, berjalan-jalan di tepi pantai dan membawanya ke gim ketika bersenam. Audrey mendakwa rakan karibnya itu gemar beriadah di luar. Setiap malam, dia akan membaca cerita dongeng untuk anak patung bebiri miliknya sebelum tidur. Audrey juga sering berpura-pura menyuapkan makanan kepada bebiri birunya. Cerita Audrey, dia ada bermain dengan anak patung lain ketika kecil tetapi perasaannya tidak sama dan setanding dengan anak patung bebiri miliknya itu. Anak patung lembut itu ujarnya seperti berkomunikasi dengannya dengan cara sendiri, tidak seperti anak patung miliknya yang lain. Apabila Audrey melihat ke mata anak patung kesayangannya itu, dia dapat merasakan satu perasaan yang menenangkan. Malah, dia turut berasa semua tekanan dalam hidupnya hilang begitu saja. Audrey pernah berjumpa dengan pakar psikologi untuk merawat obsesi anehnya itu tetapi dia masih tidak dapat berpisah dengan anak patung bebiri tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |