{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


28,000 rumah mampu milik

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

MOHAMED Khaled Nordin diberi penerangan mengenai projek perumahan oleh Lukman Abu Bakar (kiri) mengenai model rumah mampu milik sambil diperhatikan oleh Obet Tawil (kanan) dan Kamaruzzaman Abu Kassim (tengah) di Persada, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 3 Sept. - Kerajaan negeri akan membina sebanyak 28,000 unit rumah mampu milik dengan harga tidak melebihi RM150,000 dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus komited menyediakan rumah seumpama itu untuk rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina di dalam kawasan Iskandar Malaysia manakala selebihnya dibina di kawasan-kawasan lain.

Menurutnya, kajian Suara Hati Johor juga mendapati aspek perumahan merupakan antara fokus utama yang mendapat maklum balas tertinggi berikutan isu kenaikan harga dan pemilikan rumah dihadapi rakyat negeri ini.

"Apabila menyentuh soal perumahan di kawasan bandar, kerajaan negeri menyedari pemilikan kos rumah adalah begitu tinggi dan wujudnya ketidakseimbangan harga tanah yang melambung ke paras tidak sepatutnya.

"Malah, untuk menyewa seunit rumah di kawasan bandar pun memakan belanja besar dan jelas hal ini sudah tentu berat untuk ditanggung oleh keluarga besar, mereka yang baru berkahwin dan yang baru menceburi alam pekerjaan.

"Menyedari hakikat itu, kita mengenal pasti untuk membina 28,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Perumahan Kos Rendah dan Mampu Milik antara Johor Corporation (JCorp) dan kerajaan negeri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil; Pengarah Urusan Johor Land Berhad, Lukman Abu Bakar; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Eksekutif ISI, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad.

Dalam majlis sama, anak syarikat JCorp, Johor Land Bhd., turut menandatangani MoA dengan Institute Sultan Iskandar of Urban Habitat & Highrise bagi mengkaji ketidakseimbangan pemilikan hartanah bumiputera dan kewajaran membangunkan projek rumah mampu milik di Iskandar Malaysia untuk digunakan kerajaan negeri dan agensi terlibat.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif bagi menangani isu perumahan antaranya dengan memperkasa Dasar Perumahan Negeri (DPN) yang menetapkan kuota 40 peratus untuk pembangunan rumah mampu milik bagi perumahan baharu.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang gagal membina unit rumah mampu milik walaupun telah mendapat kebenaran merancang.

"Beberapa syarikat pemaju perumahan sudah bersetuju membina rumah mampu milik antaranya JCorp akan membinan 3,600 unit rumah di beberapa kawasan dikenal pasti di sini, UEM Sunrise juga akan membina 10,000 unit di Nusajaya," katanya.

RM10j bina kawasan rekreasi, kolam mandi

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

LEDANG 3 Sept. - Kawasan rekreasi dan kolam mandi baharu akan dibina di Taman Hutan Lagenda di sini, dengan kos lebih RM10 juta bagi menambah kemudahan menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Suhairi Hashim berkata, kelulusan melakukan kerja-kerja berkenaan di kawasan kaki Gunung Ledang itu telah diperoleh dan diharap dapat dimulakan awal tahun depan.

"Kerja-kerja ini akan dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan alam semula jadi di kawasan sekitarnya tidak terjejas atau mengalami kerosakan. Projek ini sudah dirancang sejak 2009 tetapi terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

"Kita hadkan pembangunan di Taman Hutan Lagenda. Sebarang bentuk pembangunan di Gunung Ledang akan dilakukan pada tahap minimum," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik 2013 di taman berkenaan, dekat sini hari ini.

Seminar tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar.

Turut dilancarkan dalam majlis itu ialah tiga buah buku hasil kajian dan penyelidikan saintifik UiTM Shah Alam dan PTNJ di Taman Hutan Lagenda bertajuk 'Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity', 'Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment' dan 'A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks'.

Dalam majlis itu, turut ditandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM Shah Alam yang diwakili Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat dan pihak kerajaan negeri diwakili Ayub bertujuan meneruskan kerjasama yang dipelopori sebelum ini.

Suhairi berkata, dengan adanya kawasan rekreasi dan kolam mandi buatan itu akan mempelbagai kemudahan selepas pihaknya menaik taraf jalan utama dari pekan Sagil ke pintu masuk Taman Hutan Lagenda yang siap Februari tahun lalu.

Beliau berkata, perbelanjaan untuk membina jalan tersebut kira-kira RM3 juta termasuk kos pengambilan tanah penduduk dan laluan itu kini terbukti meningkatkan lagi imej kawasan itu.

Sementara itu, Ayub menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap kerjasama dan sebarang usaha membangunkan bidang kajian dan penyelidikan di negeri ini.

"Hal ini selaras dengan matlamat penubuhan PTNJ dalam meneraju bidang pembangunan di Johor khasnya dan melalui usaha ini dapat memartabatkan nama negara di mata dunia setanding dengan negara-negara lain.

"Saya berharap PTNJ akan terus meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk terus meneroka kekayaan khazanah dan kepelbagaian biologi yang kita miliki di negeri ini supaya dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat