Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 15 tan sehari ke Singapura
- 8 ahli sindiket curi kereta ditahan
- Mohd. Zairul-Shaifuldin juara Badminton Media 2013
Posted: 14 Sep 2013 11:25 AM PDT Oleh IFQDAR RAHMAN PARA pengunjung pasar tani tidak melepaskan peluang memborong buah-buahan berharga rendah di Pasar Tani Larkin, Johor Bahru, Johor, semalam. JOHOR BAHRU 14 Sept. - Purata kira-kira 10 hingga 15 tan metrik komoditi buah-buahan tempatan dieksport dari negeri ini ke Singapura setiap hari, sekali gus menunjukkan impak positif sambutan produk tani tempatan. Pengurus Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Selatan 1, Mohd. Syafiee Mohd. Sait berkata, buah durian, pulasan dan manggis antara tiga jenis yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di negara itu. "Pelbagai program dilakukan FAMA dalam mempromosikan produk buah-buahan tempatan bagi pasaran luar terutamanya Singapura dan FAMA turut menyertai ekspo di Singapura yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bagi memperkenalkan produk buah-buahan dari negeri ini. "Setiap minggu, secara purata para petani negeri ini mampu meraih pendapatan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 hasil jualan komoditi bagi pasaran tempatan dan eksport," katanya selepas melancarkan Program Buah-buahan Tempatan 2013 di Pasar Tani Larkin di sini hari ini. Menurutnya, hampir 20 hingga 30 tan metrik berjaya dihasilkan menerusi teknologi terkini bagi setiap jenis komoditi mengikut musim buah-buahan tersebut. Dalam pada itu, Mohd. Syafiee berkata, program berkenaan bertujuan menggalakkan orang ramai mengamalkan pengambilan buah-buahan tempatan yang jauh lebih segar berbanding buah-buahan import. "Kesegaran buah-buahan tempatan lebih terjamin kerana berada di pasaran dalam tempoh kurang 24 jam selepas dituai. Program ini juga bertujuan mempromosi komoditi negara untuk menjana ekonomi petani tempatan selain menjalankan jualan langsung ke kilang-kilang dan agensi kerajaan," katanya. Di samping itu katanya, program tersebut turut dianjurkan di tujuh lokasi berlainan sepanjang tahun ini dan membabitkan penyertaan 50 petani dari seluruh negeri iaitu Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Batu Pahat. "Sepanjang program ini berlangsung, kita turut menyediakan kira-kira dua tan metrik buah-buahan yang dijual pada harga lelong kepada pengunjung. Setakat ini program yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan dan akan diteruskan ke peringkat institusi pengajian tinggi serta kawasan tumpuan ramai," katanya. |
8 ahli sindiket curi kereta ditahan Posted: 14 Sep 2013 11:25 AM PDT HARUN Idris menunjukkan dua kereta curi dilapor hilang di Selangor yang dirampas daripada lapan penjenayah pada sidang akhbar di IPPD Ledang, Johor, semalam. LEDANG 14 Sept. - Lapan orang, termasuk dua wanita yang merupakan ahli kumpulan sindiket mencuri kenderaan ditahan bersama dua buah kereta curi bernilai lebih RM200,000 di Jalan Sialang, Tangkak di sini Selasa lalu. Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun berasal dari daerah ini, Muar, Kluang dan Melaka ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 6 petang. "Mereka yang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah ditangkap dalam sebuah premis. Kumpulan ini dipercayai terlibat mencuri dalam jenayah curi kenderaan berdasarkan penemuan dua kereta curi, nombor pendaftaran dan cukai jalan yang dipalsukan. "Polis turut merampas kereta Honda Accord dan Perodua Myvi yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor akhir bulan lalu. Kita berjaya menyelesaikan kes curi dua kereta itu dalam masa dua minggu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini. Katanya, kesemua suspek merupakan penagih tegar serta tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menjadikan kegiatan jenayah mencuri kenderaan sebagai sumber pendapatan utama. Idris memberitahu, dua kereta berkenaan yang dicuri di sebuah tempat letak kereta yang sama itu akan diserahkan kepada IPD Kajang untuk tindakan lanjut. Beliau berkata, suspek pertama yang berusia 26 tahun memiliki 16 rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah serta jenayah sejak 2011. "Polis menemukan enam peket kecil dipercayai dadah jenis syabu ketika menahan suspek dan dia dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan itu," katanya. Menurutnya, suspek kedua pula berusia 37 tahun turut memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah curi motosikal, curi dalam bangunan serta menceroboh sejak 2011. "Hasil semakan mendapati seorang lagi rakan mereka memiliki 16 rekod lampau termasuk satu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tiga jenayah sejak 2005," katanya. Sementara itu, dua wanita yang berusia 24 tahun itu juga mempunyai rekod lampau dengan salah seorang daripadanya pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. "Wanita berkenaan dipercayai penagih tegar dan memiliki 13 rekod berkaitan penyalahgunaan dadah sejak 2009 hingga tahun ini," katanya. |
Mohd. Zairul-Shaifuldin juara Badminton Media 2013 Posted: 14 Sep 2013 11:25 AM PDT SEBAHAGIAN daripada ahli Kelab Media Johor bersaing dalam Pertandingan Badminton Media 2013 di Dewan Sri Tebrau, Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 14 Sept. - Pasangan beregu lelaki, Mohd. Zairul Effendy Musa dan Shaifuldin Ahmad muncul juara Pertandingan Badminton Media 2013 selepas menewaskan Mohd. Radzi Ab. Wahab dan Azizi Harun dalam perlawanan akhir di Dewan Sri Tebrau di sini baru-baru ini. Mohd. Zairul dari Unit Media dan Komunikasi (Medkom), Pejabat Menteri Besar dan Shaifuldin mewakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi RM400. Mohd. Radzi yang merupakan Pegawai Khas Menteri Besar dan Azizi dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula membawa pulang wang tunai RM300. Bagi tempat ketiga dan keempat pula masing-masing menerima RM150. Kategori beregu campuran pula, juara dimenangi oleh Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak dari Astro Awani dan Noor Shamsiah Mohamed dari Bernama yang membawa pulang wang tunai RM400. Tempat kedua pula dimenangi oleh Zulkarnain Akil dari Medkom dan Yee Xiang Yun dari The Star yang membawa pulang wang tunai RM300. Tempat ketiga dan keempat pula, setiap pasukan menerima RM100, manakala tempat kelima dan keenam masing-masing RM50. Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, pertandingan badminton tersebut merupakan aktiviti tahunan Kelab Media Johor dan mendapat sokongan dan tajaan daripada Johor Corporation (JCorp) dan syarikat penerbangan komuniti, Firefly. "Kalah dan menang itu adat pertandingan kerana apa yang lebih penting adalah semangat kesukanan yang telah ditunjukkan oleh para peserta. "Selain itu, pertandingan tersebut diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan akan diteruskan pada masa akan datang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |