Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Almy berkongsi rahsia kecantikan Posted: 22 Sep 2013 06:15 AM PDT Oleh RABITUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH Almy kini sibuk dengan rancangan Super Spontan untuk musim yang kedua. JIKA orang lain mengikat perut untuk menjaga bentuk badan, lain pula caranya dengan pelakon , Almy Nadia atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah. Si cantik manis yang menyertai dunia seni selepas terpilih sebagai peserta akhir Dewi Remaja ini lebih suka bersenam dan melakukan kerja-kerja rumah. Apatah lagi tinggal berseorangan, Almy lebih suka melakukannya sendiri dan mahu sentiasa melihat rumahnya dalam keadaan bersih dan teratur. Menurut Almy , itu antara pesanan yang sering diingatkan ibu, iaitu buang semua benda kotor dari dalam rumah setiap hari. "Saya memang tak boleh duduk diam di rumah, ada saja kerja yang ingin dilakukan. Saya menyapu sampah, membuang habuk, mengelap lantai dan cermin, semua tu membuatkan saya berpeluh. "Tambahan lagi kalau menggosok baju, memang saya suka. Biasanya saya akan menggosok dengan tidak membuka kipas, biar panas kemudian berpeluh. Macam kita buat sauna, tapi ini percuma," katanya sambil ketawa kecil. Almy yang kini sibuk dengan rancangan Super Spontan untuk musim yang kedua mengakui, penglibatannya dalam industri ini memerlukan dia sentiasa menjaga penampilan dan juga bentuk badan. "Saya perasan berat badan saya naik dua tahun kebelakangan ini, berat badan antara 54 hingga 55 kilogram. Saya mula sedar tentang perlunya menjaga berat badan demi memiliki penampilan yang baik. Dalam seminggu antara tiga hingga lima kali saya akan ke gimnasium," ujarnya. Pun begitu, Almy masih tidak berpuas hati kerana bahagian paha dan lengannya masih menampakkan kulit yang tidak anjal dan sedikit berlemak walaupun berat badannya sudah turun. Sebagai penguna produk baru, sudah tentunya timbul sedikit keraguan tetapi setelah membaca dengan teliti cara penggunaan dan bahan produk ini, Almy memberanikan diri mencubanya. "Secara jujurnya saya sukakan produk ini kerana mudah diguna. Contohnya, saya hanya perlu sembur di bahagian perut, kemudian menyapunya. Kebiasaannya saya akan menggunakan semburan ini ketika melakukan senaman di gim. "Jika kita berpeluh, lemak lebih mudah pecah dan dibantu dengan produk ini. Melalui pemerhatian saya, semburan ini membantu menganjalkan kulit yang mengelebeh, mempercepatkan proses pembakaran lemak, dan menjadikan kulit lebih anjal serta mencerahkan kulit," katanya yang kini mempunyai berat badan 45 kilogram. "Kadang-kadang teruja juga, apabila ternampak lain macam sahaja lauk, sambal belacan atau kari, wah saya sudah berselera, jawabnya 'terbabas' juga diet saya pada ketika itu. Tapi bila memikirkan susahnya untuk menurunkan berat badan, saya akan memberi motivasi pada diri sendiri, untuk mengawal pemakanan," ujarnya. Macam orang lain juga ada stres , Almy lebih suka bersenam untuk mengatasinya. Sebabnya pada masa itu fokus hanya pada apa yang sedang dilakukan dan tanpa disedari segala stres itu dapat diatasi. Selain memberi ketenangan, senaman juga baik untuk kesihatan dan mengisi masa cuti ketika tiada penggambaran. "Malah Almy akan berasa selesa apabila semuanya terkawal. Kalau berat badan naik boleh stres juga sebab tidak selesa. Maklum sahaja, sebagai pelakon, Almy perlu berasa selesa dengan badan sendiri. Kesihatan itu adalah harta yang tidak ternilai," ujarnya. "Saya tidak pernah rasa diri lawak selama ini. Sebabnya saya sedar bukan mudah untuk buat orang ketawa. Namun, Alhamdulillah ramai yang memuji lakonan komedi saya sebelum ini," ujarnya. Kata Almy , peralihan watak daripada air mata kepada komedi bukan disebabkan kebanjiran artis baharu masa kini.Sebaliknya, tutur pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak itu lagi, mungkin ini peluang terbaik untuk dirinya meneroka watak komedi memandangkan pelawak wanita di Malaysia tidak ramai. "Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pelawak. Mana yang datang (tawaran) saya ambil. Mungkin kini tawaran komedi banyak yang datang. Saya terima. Lagipun pelawak wanita tidak ramai di Malaysia. Paling menonjol ialah Didie Alias, Noorkhiriah dan Sharifah Shahira. Mungkin ini peluang baik untuk saya sertai pula," ujarnya yang mengakui sebagai pelawak wanita, mereka juga harus mengawal lawak agar tidak nampak berlebihan. |
Posted: 22 Sep 2013 06:15 AM PDT SOALAN SAYA baru melahirkan anak sulung. Saya harap doktor dapat memberi penerangan cara-cara merawat baki tali pusat bayi. Berapa lamakah baki tali pusat bayi saya terlekat padanya? Bagaimanakah untuk merawat tunggul tali pusat bayi saya? Berapa lamakah pusat itu akan pulih? l Rokiah, Pahang Jawapan Setelah bayi anda dilahirkan, doktor akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda. Bayi anda tidak akan terasa sakit apabila ini dilakukan. Di tempat tali pusat melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang tertinggal sepanjang dua ke tiga sentimeter.Tunggul itu akan mengecut, menjadi hitam dan akhirnya gugur lebih kurang seminggu selepas kelahiran. Akan terdapat luka kecil yang akan pulih dan menjadi pusat bayi anda. Anda boleh mencuci tunggul bayi dengan air biasa atau sabun lembut tanpa wangian atau sedikit pencuci bayi pH neutral yang dicampurkan ke dalam air mandi. Selepas dimandi atau dicuci, tepuk-tepukkan tunggul itu dengan tuala atau kain lembut. Pastikan bayi anda tidak sejuk dan biarkan tunggul kering sebelum memakaikan lampin. Anda tidak perlu menggunakan antiseptik untuk baki tali pusat itu. Cukup setakat memastikan ianya bersih. Menggunakan antiseptik bermakna tunggul itu akan mengambil masa lebih lama masa untuk tanggal. Bagaimanapun, jika bayi anda dilahirkan pramatang atau telah menghabiskan masa di bawah rawatan khusus, elok juga dipastikan tunggul dicuci bersih dengan antiseptik. Kakitangan unit neonatal akan menasihati anda bagaimana memastikannya bersih. Beberapa lagi tip yang boleh ikuti untuk merawat tunggul bayi anda adalah; Pastikan anda mencuci tangan, sebelum dan selepas pertukaran lampin dan cucian; biarkan tunggul itu gugur dengan sendirinya; jangan tarik tunggul tersebut; jangan biarkan tunggul itu bergelimun dengan air kencing atau najis. Anda boleh lakukan ini dengan melipat pinggang lampin bayi ke bawah. Sesetengah lampin mempunyai lubang di depan untuk membiarkan tunggul itu terdedah. Jika tunggul itu terkena air kencing atau najis, basuh dengan pencuci bayi pH neutral. Setelah tunggul itu gugur, tunggu antara tujuh hingga 10 hari bagi tempat di kelilingnya pulih sepenuhnya. Anda mungkin ternampak sedikit darah di lampin bayi anda. Ini normal. Kadang-kala baki tali pusat itu mengambil lebih masa untuk pulih dan cebisan daging berketul akan muncul di tempat luka. Ini bukan sesuatu yang membimbangkan kerana ketulan ini akan hilang dalam sedikit masa. Bagaimanapun, jika bayi anda demam panas, menjadi lesu, tidak mahu makan seperti biasa, kelihatan tidak sihat dan pusat serta kawasan sekeliling menjadi bengkak atau busuk atau berair, bermakna baki tali pusat itu telah dijangkiti kuman. Minta doktor anda memeriksa tunggul itu. Doktor anda barangkali mahu menutup tunggul itu. Penutupan diberi nama pengkauterian. Ia prosedur mudah. Doktor akan menggunakan batang kecil diberi nama batang perak nitrat. Ia adalah prosedur biasa dan tidak akan menyakitkan bayi anda sama sekali. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |