Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT Oleh FADZLY IZAB IDRIS Haron (kanan) menunjukkan anak penyu karah yang baru menetas bersama Hasan Rahman (dua dari kanan) selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Melaka 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh, kelmarin. - UTUSAN/AZLI AHAD MELAKA 22 Sept. - Kerajaan negeri menyeru golongan peladang, penternak dan nelayan negeri ini membuat anjakan dalam sektor pertanian berasaskan inovasi, kreativiti serta mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk kekal relevan. Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, pelbagai kemudahan telah disediakan kerajaan termasuk jentera berat seperti traktor bagi memudahkan para petani. Menurutnya, golongan peladang, penternak dan nelayan perlu berani mencuba dan mengamalkan kaedah pertanian yang baik agar mampu melonjakkan hasil pertanian seterusnya menjana pendapatan lumayan. "Justeru, golongan petani di negeri ini diseru untuk mengamalkan kaedah pertanian baharu yang terbaik, berinovasi dan berteknologi tinggi supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka serta keluarga," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini semalam. Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Petanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman, Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Abu Pit dan Pengerusi Persatuan Nelayan negeri, Abdullah Yahya. Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri disambut setiap tahun merupakan bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap sumbangan golongan berkenaan dalam memaju dan meningkatkan sektor pertanian negeri. Seramai 100,000 pengunjung turut disasarkan sempena festival berkenaan yang bermula pada 20 September dan bakal berakhir esok. Idris berkata, kerajaan akan terus menjalankan usaha memberi kefahaman dan keyakinan pada umum bahawa sektor ini sebenarnya bidang yang menjana kekayaan dan menjamin masa depan cerah. "Jika sektor ini diusahakan secara bersungguh-sungguh, ia berpotensi menjadi satu bidang yang benar-benar menguntungkan selain menjamin masa depan petani serta negara," ujarnya. |
Kerjasama NGO perlu bangunkan belia Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT ZAIFULBAHRI Idris (kiri) bermain snooker sebagai simbolik ketika merasmikan pusat snooker di Kompleks Rakan Muda, Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. JEMPOL 22 Sept. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan negeri untuk membentuk program pembangunan belia di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, tanggungjawab untuk membentuk belia tidak boleh diserahkan kepada jabatan belia sahaja. "Hari ini saya merasmikan pusat snooker yang pertama di dalam kompleks Rakan Muda di negeri ini. Pusat Snooker yang terletak di Kompleks Rakan Muda Jempol ini adalah usaha sama Persatuan Kelab Belia Bistari India Jempol. "Mereka ada idea dan peruntukan, tetapi tiada lokasi yang sesuai. Jadi kita sediakan lokasi di kompleks ini dan mereka berpeluang membawa sukan ini untuk dikembangkan," katanya di sini kelmarin. Yang turut hadir, Pengarah Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin. Jelas Zaifulbahri, pihaknya amat tertarik dengan idea persatuan tersebut dan menyifatkannya mampu memberi ruang kepada belia beriadah. "Malah sukan ini tidak memerlukan pemain yang ramai dalam satu-satu masa. Jika mereka datang berdua sahaja, permainan boleh dimulakan. "Pusat snooker ini menawarkan harga yang sangat rendah dan berpatutan. Ia selaras dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk menyediakan kemudahan bagi belia mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan kos yang tidak membebankan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |