{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Medan letak kereta bakal dihapus

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Medan atau kawasan letak kereta jenis terbuka, tidak akan wujud lagi di ibu negara menjelang 2016.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, keputusan untuk tidak membenarkan lagi perkhidmatan medan letak kereta bermula tahun itu adalah seiring dengan matlamat untuk menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki.

"Setelah bermesyuarat OSC (pusat setempat) pagi tadi, kami mengambil keputusan ke arah tersebut setelah kali terakhir kajian dilakukan pada tahun 1970 yang ketika itu meletakkan nisbah kenderaan di Kuala Lumpur adalah 40:60, iaitu 40 peratus kenderaan awam dan 60 peratus kenderaan persendirian.

"Tetapi menjelang tahun 2016 dan 2017, dengan siapnya semua stesen Projek MRT Hubungan Sungai Buloh-Kajang, dijangka Kuala Lumpur tidak memerlukan lagi sebarang medan dan petak letak kereta.

"Sebarang bangunan dan kawasan premis yang jaraknya hanya 200 meter dari mana-mana stesen MRT tersebut tidak perlu mengadakan medan letak kereta.

"Kita sangat menggalakkan budaya berjalan kaki kepada warga Kuala Lumpur dengan dijangka projek sambungan laluan pejalan kaki antara bangunan juga telah siap di samping kemudahan pengangkutan awam jenis lain juga adalah pada tahap maksimum ketika itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar antarabangsa kelima 'World Class Sustainable Cities 2013' (WCSC) yang bertemakan 'Liveable Cities Are Creative & Competitive Cities' di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Sime Darby Property Berhad bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Seminar itu dihadiri 600 peserta dari pelbagai sektor dan latar belakang.

Turut hadir Pengerusi REHDA Wilayah Persekutuan, Tan Ching Meng; Presiden MIP, Md. Nazri Mohd. Noordin; dan Presiden PAM, Ar. Chan Seong Aun.

Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Phesal berharap semua pihak akan belajar dan mengambil pengalaman dari bandar-bandar besar di dunia supaya segala yang menjadi amalan pembangunan dan kemajuan mereka dapat dipraktis dan diterapkan di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, Kuala Lumpur sendiri akan mempunyai keunikan tersendiri yang antaranya bakal mempunyai 14 jenis taman hijau dan rekreasi pelbagai tema yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

2,000 penduduk hidu asap sampah

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusangroup.com.my

Kebakaran kawasan pelupusan sampah berdekatan Kampung Sungai Lias di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor sukar dipadamkan kerana timbunan sampah yang tinggi dan cuaca berangin.

SABAK BERNAM 24 Sept. - Kira-kira 2,000 penduduk terjejas apabila sebuah tapak pelupusan sampah seluas dua hektar berdekatan Kampung Sungai Lias, Sungai Besar di sini terbakar sejak kelmarin.

Kejadian yang mula disedari pada pukul 4 petang itu pada awalnya hanya melibatkan sebahagian kecil kawasan namun kebakaran didapati semakin merebak hingga menyebabkan hampir keseluruhan tapak pelupusan sampah itu terbakar.

Seorang penduduk, Aishah Abd. Hamid, 71, berkata, pihak bomba sudah berusaha keras memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah itu namun sehingga semalam, api masih gagal dipadamkan sepenuhnya.

Dia yang tinggal berhadapan lokasi kebakaran memberitahu, kejadian itu menjejaskan kegiatan harian penduduk dan tahap kesihatan mereka terganggu.

"Saya sukar untuk bernafas kerana kepulan asap yang tebal dan terpaksa membataskan aktiviti luar rumah sejak hari pertama lagi.

"Saya mempunyai seorang anak saudara yang menghidap penyakit lelah dan kami terpaksa menjaganya dengan lebih rapi kerana keadaan berjerebu ini tidak baik untuk kesihatannya," katanya ketika ditemui.

Rata-rata penduduk berharap pihak bertanggungjawab mempercepatkan usaha bagi memadamkan kebakaran tersebut bagi mengelakkan penduduk daripada menghadapi masalah kesihatan akibat menyedut asap.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba, Rani Mat Hanafiah berkata, operasi memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah itu melibatkan 21 pegawai dan anggota bersama tiga buah jentera.

Menurut beliau, pihaknya turut mendapatkan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Sabak Bernam bagi memastikan sumber air mencukupi dan dapat disalirkan ke kawasan kebakaran.

"Api sukar untuk dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh singkat kerana keadaan timbunan sampah yang tinggi dan keadaan cuaca kering serta berangin," jelasnya.

Dahan pokok halang tempat letak kereta

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

PETALING JAYA 24 Sept. - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diminta mengarahkan kontraktor pembersihannya agar mengangkut dahan-dahan pokok yang yang ditinggalkan di kawasan letak kereta di Jalan PJU 10/10G, Saujana Damansara dekat sini.

Ini kerana dahan-dahan pokok yang telah dicantas itu bertaburan di sekitar kawasan tersebut sehingga menyukarkan orang ramai untuk meletak kenderaan masing-masing di situ.

Seorang pereka grafik, Hasrin Misran, 47, mendakwa, kerja-kerja mencantas dahan itu dilaksanakan pada Isnin lalu oleh kontraktor terbabit namun kawasan itu tidak dibersihkan dan dahan-dahan itu dibiarkan bertaburan di situ.

"Saya harap dahan-dahan pokok berkenaan dibersihkan segera demi memudahkan orang ramai meletak kenderaan di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi terbabit hari ini.

Dalam perkembangan sama, penulis turut sempat meninjau kawasan yang pernah didakwa oleh penduduk sebagai lubuk sampah di kawasan berdekatan itu.

Walaupun telah dibersihkan dan menurap jalan di situ tetapi masih terdapat sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Hasrin berkata, walaupun telah dibersihkan oleh MBPJ, sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di situ masih tidak berubah.

"Kami yang terpaksa menghidu bau sampah setiap hari di sini kerana pejabat kami paling hampir dengan kawasan itu. Mereka sewenang-wenangnya membuang sampah sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada persekitaran dan kesihatan penduduk sekitar," jelasnya.

Saiful Anuar Sitam, 31, pula berkata, keadaan tong sampah di hadapan pejabatnya juga diterbalikkan selain sisa domestik dan timbunan barang lusuh dibuang sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kontraktor sampah mengutip sampah di sini dua kali dalam sehari. Tetapi, selepas mereka beredar, sampah tidak dibuang ke dalam tong dan kembali bertaburan," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat