Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Filem Tanda Putera tidak rasis
- Kampung Jalan Datuk Nawar jadi Kampung Warisan
- 260 ibu tunggal terima kad diskaun
Filem Tanda Putera tidak rasis Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Oleh NOOR HANIS HARUN Kiri U. Rajasegaran, Nur Adila Musa, M. Angeladevi SEREMBAN 17 Sept. - Orang ramai yang menonton filem Tanda Putera tidak melabelkannya sebagai rasis sebaliknya lebih memahami sejarah negara dan perjuangan tokoh negara terdahulu. Pengawal keselamatan, U. Rajasegaran, 49, berkata, dia menonton filem yang ditayangkan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban sempena sambutan Hari Malaysia itu kerana mahu memahami lebih dekat sejarah dipaparkan. Saya tidak mahu mendengar apa orang lain kata. Saya datang sendiri kerana mahu tahu apa yang berlaku pada 13 Mei, satu peristiwa yang kononnya dianggap rasis setengah pihak. Selepas menonton, saya lihat filem ini tidak pula menunjukkan sifat perkauman yang didakwa melampau. Ia adalah fakta sejarah dan sepatutnya ditonton seluruh rakyat. Kenapa perlu membenci atau tidak menonton Tanda Putera," katanya ketika ditemui di sini semalam. Dia berkata, dalam filem berkenaan memang ada babak pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina tetapi hakikat tersebut perlu diterima kerana perkara itu adalah sejarah yang telah berlaku. Apabila kita menonton Tanda Putera, fikiran hendaklah terbuka. Malah, apa yang berlaku seperti peristiwa 13 Mei itu, sepatutnya dielakkan pada hari ini dan jadikanlah ia sebagai pengajaran," katanya lagi. Sementara itu seorang pelajar, Nur Adila Musa, 19, menyifatkan, Tanda Putera sebagai pendedahan berani untuk memastikan generasi muda memahami erti sejarah dan menolak apa juga cubaan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di antara kaum di negara ini. Bila kita menonton filem ini, kita dapat melihat betapa sukarnya pemimpin dahulu mengekalkan keamanan negara ini. Saya harap generasi muda tonton dahulu filem ini dan jangan buat sebarang kenyataan negatif mengenainya. Kalau kita tidak menonton, bagaimana kita boleh mengatakan filem ini rasis. Fahami mesej yang hendak disampaikan kerana ia bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi untuk kaum Cina, India dan sebagainya," ujarnya. Surirumah, M. Angeladevi, 43, pula berkata, adegan tragedi 13 Mei dalam filem Tanda Putera itu cuma secebis daripada keseluruhan penceritaan yang dipaparkan. Apa yang berlaku itu adalah fakta dan ia perlu ditunjukkan kepada orang ramai dalam bentuk filem ini. Biar kita semua sedar dan menjadikan ia iktibar untuk tidak melakukannya lagi. Tidak salah sekiranya kita ambil tahu tentang sejarah negara, bagaimana pejuang dan tokoh lampau menentang musuh untuk mendapatkan kemerdekaan kerana cara ini dapat menanamkan semangat patriotik dalam jiwa rakyat," ujarnya. |
Kampung Jalan Datuk Nawar jadi Kampung Warisan Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT HASAN Rahman (tengah) bergambar bersama pemenang KRT pertandingan Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Kemerdekaan ke-56 peringkat DUN Sungai Rambai 2013 di Sungai Rambai, Melaka semalam. JASIN 17 Sept. - Kampung Jalan Datuk Nawar dekat sini akan dinaik taraf menjadi Kampung Warisan sekali gus menjadi salah satu produk pelancongan tambahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, pemilihan Kampung Jalan Datuk Nawar sebagai Kampung Warisan kerana penduduk di situ masih mengekalkan rumah tradisi yang sesuai menjadi tarikan pelancong. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, kerjasama penduduk dalam menjayakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Pelita Raya dan Kibar Jalur Gemilang membuktikan mereka bersedia untuk menerima perubahan baharu. Menurutnya, dengan pemilihan kampung berkenaan secara tidak langsung menambah satu lagi produk pelancongan sedia ada seperti Kampung Parit Penghulu yang terkenal dalam kalangan pelancong luar negara dengan inap desa dan Kampung Parit Sidang Seman. ''Beberapa perkara lagi perlu kajian menyeluruh di Kampung Jalan Datuk Nawar sebelum saya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk dinaik taraf sebagai Kampung Warisan. ''Kampung ini jika sudah diisytihar sebagai Kampung Warisan sebarang bentuk pembinaan rumah asal kepada bentuk moden tidak boleh kerana ia perlu mengekalkan rumah tradisi," katanya. Beliau berucap merasmikan penyampaian hadiah pertandingan Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat DUN Sungai Rambai di Dataran Kubu Jalan Datuk Nawar, Ayer Tawar di sini semalam. Juara pertandingan itu dimenangi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jalan Datuk Nawar, naib juara (KRT Seri Mendapat) dan tempat ketiga pula dimenangi oleh KRT Sungai Rambai Barat. |
260 ibu tunggal terima kad diskaun Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT ALOR GAJAH 17 Sept. - Seramai 260 ibu tunggal yang bernaung di bawah Persatuan Ibu Tunggal Seri Mastana (PITSM) menerima Kad Diskaun Ibu Tunggal yang membolehkan mereka menikmati diskaun sehingga lima peratus bagi setiap pembelian di pusat beli belah terpilih. Kad diskaun yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu diberikan kepada golongan ibu tunggal yang didaftarkan dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara. Pengasas PITSM, Syed Aliwi AlQudri berkata, dengan kad diskaun itu beban perbelanjaan ibu tunggal dapat diringankan khususnya yang berpendapatan rendah dan tidak tetap. Menurutnya, bagi fasa pertama seramai 260 daripada 380 ibu tunggal yang berdaftar dengan PITSM menerima kad berkenaan manakala bakinya akan menerima kad itu dalam tempoh terdekat. "Ini merupakan inisiatif kerajaan melalui kementerian bagi membantu mengurangkan belanja keperluan harian ibu tunggal dan ia selaras dengan matlamat persatuan untuk membantu golongan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kad Diskaun Ibu Tunggal di Masjid Tanah, di sini semalam. Hadir merasmikan majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Sulaiman Md. Ali. Sementara itu Syed Aliwi berkata, PITSM sentiasa mengorak langkah merangka pelbagai program dan aktiviti kepada ibu tunggal yang bermatlamat untuk mengeluarkan golongan itu dari kepompong kemiskinan. Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan persatuan itu sejak ditubuhkan pada 2004 termasuk kursus menjahit, membuat kuih tradisional dan moden, urutan serta kosmetik dan salon. Katanya, PITSM mahukan seluruh ahlinya mampu untuk berdikari dan menyara hidup sendiri setelah ditinggalkan suami akibat penceraian atau kematian. "Matlamat utama kita adalah bagi membasmi kemiskinan golongan ibu tunggal, memulihkan emosi golongan itu akibat daripada kehilangan punca pendapatan dan membantu membendung ibu tunggal khususnya ibu-ibu muda dari terjebak dalam gejala sosial," katanya. Bagaimanapun katanya, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi terutamanya faktor kekangan kewangan bagi menjayakan lebih banyak program bagi meningkatkan kemahiran ibu tunggal supaya mampu menyara hidup sendiri dan anak-anak yang ditinggalkan suami. Katanya, penglibatan agensi kerajaan dalam menjalankan program usahasama dengan PITSM adalah amat diharapkan supaya nasib golongan itu dapat dibela. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |