Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- 279 jemaah mulakan perjalanan
- Jangan terpengaruh pihak bantah PPPM
- Materialistik punca gejala sosial remaja - Abdul Rahim
Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT Oleh AZELI ALI SEBAHAGIAN daripada kumpulan pertama jemaah haji mengaminkan doa sebelum berlepas ke Mekah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN BAYAN LEPAS 17 Sept. - Seramai 830 jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini untuk menunaikan haji di Mekah pada tahun ini. Pengarah Operasi Haji Stesen Bayan Lepas, Amat Kassim Pait berkata, sebanyak lima penerbangan disediakan pada tahun ini dengan penerbangan pertama membawa 279 jemaah berlepas hari ini. "Selain itu kita juga ada empat lagi penerbangan iaitu pada 18, 19 dan 27 September manakala penerbangan terakhir pada 1 Oktober ini. "Penerbangan balik pertama dijangka tiba di Pulau Pinang pada 1 November ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434H di sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas hari ini. Yang turut hadir, Toh Puan Majimor Shariff dan Timbalan Pengarah Operasi Haji 1434h Lembaga Tabung, Haji Abdul Halim Jamil serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus. Amat Kassim menambah, perjalanan pengurusan haji di Stesen Bayan Lepas pada tahun ini berjalan lancar dan berharap semua jemaah berada dalam keadaan sihat sebelum penerbangan dan ketika berada di Tanah Suci serta kembali ke tanah air. |
Jangan terpengaruh pihak bantah PPPM Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT KUALA KANGSAR 17 Sept. - Rakyat dinasihat tidak terpengaruh dengan pendapat sesetengah pihak yang membantah pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diperkenalkan oleh kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria menegaskan, PPPM merupakan pelan pendidikan menyeluruh yang mengambil kira setiap aspek bagi memantapkan pendidikan di negara ini. Tambah beliau, rakyat harus menyokong pelan itu dan tidak tunduk dengan tuntutan tidak munasabah daripada pihak yang tidak faham sepenuhnya konsep pelan berkenaan. "Kerajaan telah melakukan beberapa proses dalam pembentukan PPPM dan juga melibatkan ramai pakar pendidikan untuk berkongsi idea termasuklah perkongsian idea dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "PPPM merupakan langkah yang baik untuk mengukuhkan pendidikan dan harus diteruskan untuk manfaat generasi akan datang," katanya selepas Makan Malam Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Perak, baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan PPPM bakal memberi kesan kepada bahasa lain yang terdapat di negara ini. "PPPM tidak akan sesekali menghakis bahasa tertentu kerana memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris kerana dalam masa yang sama, bahasa-bahasa lain tidak akan terjejas," ujarnya. Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kedudukan ranking universiti di Malaysia yang diumumkan baru-baru ini, Muhammad Amin menegaskan, pihak universiti tidak perlu terlalu fanatik dengan ranking tersebut. Katanya, dunia sudah menyaksikan ramai anak muda dari Malaysia cemerlang di peringkat antarabangsa meskipun ranking universiti di negara ini tidak hebat seperti negara Eropah. "Kita tidak boleh bergantung pada ranking tetapi menjadikannya sebagai panduan untuk universiti meningkatkan prestasi mereka. "Apa yang penting, universiti kini melahirkan modal insan yang berkualiti di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara," jelasnya. |
Materialistik punca gejala sosial remaja - Abdul Rahim Posted: 17 Sep 2013 11:50 AM PDT PULAU PINANG 17 Sept. - Suasana masyarakat masa kini yang lebih mengutamakan kebendaan menyebabkan semakin ramai remaja terlibat dengan jenayah. Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan gejala sosial yang kini semakin membimbangkan. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, perkara sedemikian merupakan cabaran yang perlu dilalui oleh ibu bapa. "Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh Allah S.W.T, antaranya mendidik mereka (anak-anak) menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat terutama dalam suasana masyarakat yang mempunyai fahaman kebendaan sangat menebal. "Ini memberikan cabaran kepada ibu bapa kerana Allah S.W.T. mengamanahkan mereka mendidik anak sehingga menjadi seorang mukmin," katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jamek Jelutong, di sini baru-baru ini. Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahim memberitahu, sepanjang tempoh lima tahun dari Januari 2009 hingga Ogos lalu, sebanyak 63,504 kes jenayah dengan 16,464 tangkapan dicatatkan di negeri ini. Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,563 tangkapan membabitkan remaja bawah umur. "Sebanyak 28 remaja bawah umur pula terlibat dengan pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," ujarnya dalam khutbah itu. Abdul Rahim ketika ditemui selepas itu menjelaskan, polis negeri mengambil pendekatan untuk bertemu masyarakat di tempat-tempat ibadat setiap bulan. Katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada rumah-rumah ibadat agama lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |