Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 14 Sep 2013 11:25 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Pasukan Harimau Muda meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 setelah mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI KUANTAN - Malaysia menjulang trofi Pestabola Merdeka Edisi Ke-41 buat kali ke-10 selepas mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur di sini, semalam. Jaringan daripada Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-29 dan gol pada penghujung permainan oleh Junior Eldstal cukup buat Malaysia memahat kemenangan kedua ke atas lawan mereka itu. Biarpun rentak anak-anak buah Ong Kim Swee mungkin tidak begitu garang, kekentalan barisan pertahanan yang diterajui Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta kecekapan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi memastikan Myanmar tunduk kepada Harimau Muda. Kejayaan itu juga membolehkan Malaysia membawa pulang RM164,500 dan mengulangi pencapaian pada 2007 dengan mengalahkan lawan sama 3-1 di Stadium Shah Alam. Kemenangan ini juga memberi isyarat jelas kepada pasukan-pasukan lain tentang keseriusan Harimau Muda memburu pingat emas hatrik pada Sukan SEA 2013, setelah mencatat kemenangan empat kali berturut-turut termasuk dua ke atas pencabar utama, Myanmar yang bakal menjadi tuan rumah pada temasya dwi tahunan itu. Tambah membanggakan, Wan Zack Haikal Wan Nor diumumkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan sementara Rozaimi mendapat Anugerah Penjaring Terbanyak Kejohanan. Kim Swee membuat sedikit kejutan dalam senarai kesebelasan utama apabila menyenaraikan Rozaimi buat kali pertama bergandingan bersama A. Thamil Arasu manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan D. Saarvindran di sayap kiri. Percaturan itu nampak jelas memberikan pulangan setimpal ekoran larian lincah Rozaimi kerap kali membuatkan pertahanan Myanmar kelam kabut, namun aksi Junior tampak kurang bertenaga di bahagian tengah selepas baru pulih daripada masalah keracunan makanan. Walaupun penguasaan bahagian tengah jelas kurang memihak kepada Harimau Muda, kerap kali serangan pantas yang digerakkan Mohd. Irfan Fazail hampir meletakkan Malaysia di hadapan lebih awal cuma Rozaimi gagal mengambil peluang terhidang pada minit ke-2 dan 7. Hasil gerakan pantas Wan Zack Haikal Wan Nor, dia masih mampu melepaskan percubaan dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas Pyaye Phyo Aung dan Rozaimi yang berada berdekatan, mudah menolak masuk ke dalam gawang yang ternganga. Rozaimi sepatutnya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-34, namun tandukannya yang berpunca daripada situasi sepakan sudut pantas ditepis keluar oleh Phyo Aung dan Kyi Lin hampir mencemaskan penyokong Harimau Muda sebelum babak pertama berakhir, mujur percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol. Momentum Harimau Muda sedikit menurun pada babak kedua dengan Myanmar bertali arus melancarkan serangan tetapi kecekapan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi menjadi penghalang apabila beberapa kali menyelamatkan pintu gol negara daripada ditembusi oleh David Htan pada minit ke-58 dan Kyaw Ko Ko, dua minit kemudian. Fadhli Shas terlepas peluang mengukuhkan kedudukan Harimau Muda pada minit ke-76 apabila tandukannya sekadar singgah di palang hasil hantaran menarik ketua pasukan, Irfan Fazail. Selepas acap kali diasak oleh Myanmar yang terdesak mendapatkan gol penyamaan, akhirnya Junior memastikan kelegaan seluruh rakyat Malaysia apabila larian solo pemain kacukan Sweden-Sabah itu memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum menewaskan Phyo Aung melalui rembatan leret, dua minit sebelum perlawanan ditamatkan. Jaringan itu memastikan suasana stadium bergema dengan sorakan Harimau Muda dan membunuh semangat perjuangan Myanmar sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pencabar utama yang perlu diberi perhatian di Sukan SEA, Disember ini. Dalam satu lagi perlawanan yang diadakan pada sebelah petang, Singapura memastikan mereka menamatkan kejohanan ini dengan bukan berada di tempat tercorot selepas menewaskan Thailand, 2-1. Gol pada minit terakhir masa kecederaan oleh Muhd. Faris Ramli berjaya mengecewakan Thailand yang beberapa minit sebelum itu menyamakan kedudukan melalui Hasan Maeroh pada minit ke-82 sementara gol pendahuluan Singapura dicipta Muhd. Shahfiq Ghani pada penghujung separuh masa pertama. |
Posted: 14 Sep 2013 11:25 AM PDT Rozaimi (kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol sulung Malaysia menentang Myanmar pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. - BERNAMA KUANTAN - Kemenangan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 adalah hadiah terbaik bagi menyambut Hari Malaysia pada hari esok dan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menyifatkan, kejuaraan ini adalah cukup bermakna kepada kariernya sebagai seorang jurulatih. Tidak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh penyokong setia negara yang hadir, dia berharap kejuaraan ini akan membangkitkan lagi moral pasukan sebelum bersiap sedia dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar. "Kejayaan ini cukup manis kerana kita baru sahaja melalui bulan kemerdekaan dan paling penting pada seluruh rakyat negara ini yang akan menyambut Hari Malaysia tidak lama lagi. "Tidak lupa saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada penyokong yang hadir terutama pada perlawanan akhir kerana memberikan semangat kepada semua pemain untuk beraksi dengan begitu baik," katanya. Kim Swee juga memuji semua pemain yang menunjukkan aksi yang cukup konsisten sambil berharap mereka tidak akan leka dengan kejayaan ini kerana perjuangan sebenar di Sukan SEA bakal menanti. Malah, dia memberikan amaran Myanmar pasti akan bertambah dendam kepada Malaysia selepas dua kali kalah di sini dan akan mempertingkatkan lagi prestasi serta memperbaiki kelemahan dalam masa beberapa bulan ini. "Semua pemain telah beraksi sebagai satu unit dan melakukan tugasan dengan baik, dua gol itu cukup berkualiti hasil pergerakan dan kerjasama sesama mereka. "Kita harapkan bukan pada hari ini sahaja mereka mempamerkan aksi bersungguh-sungguh sebaliknya pada kejohanan lain dan pada Sukan SEA nanti. "Jangan terlalu dibuai kejayaan ini kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan diharapkan apabila semua pemain berkumpul sekali lagi pada penghujung November nanti, kita akan dapat kumpulkan barisan terbaik," katanya. Sementara itu, ketua pasukan negara, Mohd. Irfan Fazail mengakui kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka sebagai satu pengalaman cukup manis dan berharap apa yang mereka lalui tidak akan berakhir setakat kejohanan ini. "Syukur, kemenangan yang dicapai ini bukan sesuatu yang mudah dan berasa gembira kerana mampu menggembirakan seluruh penyokong yang hadir ke stadium hari ini. "Walaupun kami berasa sedikit cemas pada mulanya selepas gagal mendapatkan gol kedua namun kami bertahan dengan sedaya upaya dan jaringan Junior memastikan kemenangan adalah milik kami," katanya yang ditemui selepas perlawanan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |