Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR IPOH - Selepas pasukan Seladang dihambat kontroversi bersabit tuduhan rasuah dan sabotaj, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak semalam tampil memberi teguran kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Semua pihak termasuk barisan pengurusan PAFA dinasihatkan supaya tidak lagi memberi sebarang kenyataan terbuka berhubung tuduhan rasuah melibatkan skuad Kejor Yob Kejor itu. Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abd. Manaf berkata, langkah itu perlu bagi mengelak sebarang persepsi negatif dilemparkan terhadap jurulatih, pegawai dan pemain pasukan. "Pengurusan persatuan (PAFA) sewajarnya tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan tuduhan rasuah selepas membuat aduan. "Kita terima aduan, biarkan kita buat kerja dan selepas siasatan selesai, kita akan maklumkan. Selepas itu, bolehlah (PAFA) buat (kenyataan) semula. Kita tidak mahu pandangan negatif masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Isnin lalu, PAFA menggantung kesemua pegawai dan petugas, termasuk ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah selama dua minggu selepas mengesyaki wujudnya rasuah dan sabotaj dalam skuad itu. PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia. Pada perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia, Perak mencatatkan tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 Disember, kalah kepada LionsXII 1-2 (31 Ogos) dan dibelasah 6-1 oleh Sarawak, Sabtu lepas. Kelmarin, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha hadir memberi keterangan kira-kira empat jam di pejabat SPRM di Meru Raya. Turut membantu siasatan, pengendali pasukan, Mohd. Azraai Khor. Selain mereka, kesemua pemain juga tampil memberi keterangan kepada SPRM secara berperingkat-peringkat sejak Selasa lalu. Mereka turut dikehendaki melapor diri serta menjalani latihan di bawah pengendali sementara, Marshall Soper sebagai mematuhi syarat kontrak biarpun saingan Piala Malaysia buat skuad Seladang telah pun berakhir. Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status siasatan sama ada terdapat jurulatih, pegawai mahupun pemain yang belum tampil ke SPRM, Nooraziah enggan mengulas lanjut. "Biarlah SPRM siasat dulu. Kami masih menyiasat," katanya. Sementara itu, satu jawatankuasa khas dalaman yang ditubuhkan oleh PAFA bagi menyiasat wujudnya unsur sabotaj dan rasuah dalam pasukan itu telah pun memulakan siasatan. Jawatankuasa yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA, Datuk Ismail Saffian itu telah pun mengambil keterangan daripada jurulatih, pegawai dan beberapa orang pemain. |
Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI LEE Chong Wei (kanan) tidak akan menggunakan pengaruhnya untuk memaksa Rashid Sidek kembali ke pangkuan skuad badminton kebangsaan. KUALA LUMPUR - Pengaruh Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton Malaysia memang tidak boleh disangkal, namun jaguh No. 1 dunia itu tidak mahu memaksa individu yang sangat penting dalam kariernya, Rashid Sidek untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Menurut Chong Wei, selepas pulang dari Kejohanan Siri Super Terbuka Jepun, Selasa lalu, dia sepatutnya berjumpa Rashid untuk mengadakan perbincangan dan bertanya khabar lanjut tentang isu peletakan jawatan jurulatih tersebut. "Biarlah dia fikir dengan sedalamnya dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Saya tidak boleh buat apa (paksa), saya hanya buat kerja saya sahaja (bermain). "Saya tidak sempat lagi berjumpa dengannya sehingga hari ini (semalam), kerana esok (hari ini) saya sudah bertolak ke China bagi menyertai Liga Badminton China, tetapi kami ada berbual melalui telefon," kata Chong Wei. Pada 19 September lalu, Rashid menghantar surat peletakkan jawatan kepada BAM kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan baharu badan itu. Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan kerana BAM telah mengubah sistem kejurulatihan yang mirip sistem lama. Malah difahamkan BAM telah menghantar surat tawaran kepada Rashid untuk berkhidmat semula, tatkala mereka memang kekurangan jurulatih sekarang ini. Dalam perkembangan lain, hanya beregu campuran, Ong Jian Guo-Lim Yin Loo meneruskan kemaraan di Grand Prix Emas Terbuka Indonesia 2013, semalam selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Yodhi Satrio-Mahadewi Istirani Ni Ketut 21-10, 21-12 di pusingan kedua. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |