Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Myanmar hormati kemampuan Harimau Muda Posted: 08 Sep 2013 06:20 PM PDT KUANTAN 9 Sept. - Rekod pertemuan terakhir mungkin memihak kepada Myanmar namun pengurus, Tim Myint Aung seolah-olah bermain psikologi dengan melabelkan Harimau Muda buat masa ini adalah sebuah skuad yang jauh lebih baik berbanding pasukannya. Sambil memuji kehebatan aksi Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas dan A. Thamil Arasu yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan pasukan, Tim Myint melihat Harimau Muda berpeluang cerah untuk muncul sebagai pemenang kepada pertemuan malam ini di Stadium Darul Makmur. ``Kedua-dua pasukan adalah pasukan yang bagus tetapi pada situasi sekarang saya dapati Malaysia sebuah pasukan yang jauh lebih berbanding Myanmar daripada segi aspek fizikal, teknik dan segalanya. ``Tambahan anda menjadi tuan rumah, sudah tentu Malaysia mendapat kelebihan berkenaan dan para pemain saya akan cuba sedaya upaya memberikan saingan esok (hari ini). ``Pemain yang berjersi nombor sepuluh (Wan Zack) adalah seorang pemain yang bahaya, selain nombor sembilan (Thamil), manakala pemain utama dalam pasukan Malaysia adalah nombor empat (Fadhli) dan nombor 21 (Nazmi Faiz Mansor)," katanya pada sidang akhbar. Dalam pada itu, Tim Myint tahu para pemain Harimau Muda pasti akan lebih bersemangat untuk menjadikan perlawanan itu sebagai medan membalas dendam atas kekalahan 1-2 di Yangon pada tahun lalu, namun itu tidak menggentarkan dirinya. ``Mana-mana pemain atau jurulatih pasti akan menjadikan perkara itu (dendam) sebagai motivasi untuk mendapatkan kemenangan. ``Saya faham akan hakikat tersebut dan itu adalah normal kepada sesiapa cuma kami akan bermain seperti biasa esok(hari ini) apabila berdepan Malaysia," katanya. |
Posted: 08 Sep 2013 12:00 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Pasukan Malaysia menjalani latihan di padang Akademi Bola Sepak Malaysia dekat Gambang, semalam sebagai persiapan menentang Myanmar pada aksi kedua Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN - Selepas membaham Singa, Harimau Muda semakin garang mahu menjadikan Myanmar sebagai mangsa seterusnya dalam saingan Pestabola Merdeka 2013 malam ini. Biarpun kesan kekalahan pada pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22, tahun lalu di tangan Myanmar masih terbayang oleh para pemain, Ong Kim Swee tidak mahu dendam dijadikan sebagai motivasi mencari kemenangan sambil menyifatkan pasukan Myanmar yang tiba di kejohanan ini bukanlah sebuah pasukan yang asing pada pandangannya. Menyenaraikan Kyi Lin, Kyaw Ko Ko dan ketua pasukan, Kyaw Zayar Win sebagai tiga pemain Myanmar yang perlu diberi perhatian, dia mengetahui segala kekuatan dan kelemahan pasukan yang dilabel White Angels. "Seperti mana kejohanan lalu (kelayakan Piala AFC Bawah 22), majoriti pemain mereka masih sama dan berdasarkan apa yang saya lihat semasa berdepan Thailand, pasukan ini cukup laju dalam melakukan serangan. "Saya tidak percaya pada dendam kerana jika kita fikirkan mengenai dendam, itu akan memberikan satu perasaan yang tidak elok kepada kami. Apa yang penting kami telah mempelajari sesuatu daripada kekalahan dulu untuk menewaskan Myanmar selepas ini. "Myanmar merupakan sebuah skuad yang sentiasa menggunakan pemain-pemain yang sama untuk perlawanan antarabangsa dan mereka dilihat semakin bertambah baik. "Pemain nombor tujuh iaitu ketua pasukan (Zayar Win) merupakan perancang utama, pemain nombor lapan (Kyi Lin) cukup pantas dan mempunyai skil menggelecek yang hebat dan pemain nombor sepuluh (Kyaw Ko Ko) sering kali mampu memberikan banyak masalah kepada pertahanan lawan," katanya pada sidang akhbar pengurus pasukan di sini, semalam. Pada 3 Julai lalu, Myanmar yang layak ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 22 dengan cara kontroversi kerana menggunakan pemain yang lebih umur berjaya menundukkan Malaysia 2-1 di Yangon sekali gus meranapkan impian negara yang sekadar berada di tempat ketiga Kumpulan G di belakang Korea Selatan dan Myanmar. Tiga lagi mata akan membawa Malaysia semakin pasti ke perlawanan akhir pada 14 September dan itu yang mahu dicari oleh Kim Swee apabila melakukan perhitungan penting berdepan Myanmar. "Tugas kami adalah mahu mendapatkan tiga lagi mata supaya dapat ke perlawanan akhir. Pemain jangan terlalu fikir aksi di perlawanan akhir, sebaliknya fikirkan dari satu ke satu perlawanan supaya boleh fokus pada pertemuan esok (hari ini) kerana pertemuan dengan Myanmar ini pasti sengit," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |