Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST Oleh SITI AISHAH YUSOFF Membaca dalam suasana santai di bawah replika pokok besar Reading Tree. Jika anda memiliki sebuah taman dan perpustakaan, anda memiliki semua yang anda perlukan. Ungkapan ini sangat jelas menggambarkan kepentingan perpustakaan dalam menyediakan bahan bacaan dan maklumat kepada masyarakat. Perpustakaan bukan terhad sebagai sebuah tempat untuk menimba ilmu dan pusat rujukan, malah ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat khususnya kepada kanak-kanak. Oleh itu, sepanjang cuti sekolah yang hampir ke penghujungnya ini, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menghabiskan masa bersantai sambil menimba ilmu di gedung bacaan terutamanya perpustakaan yang disediakan berdekatan dengan tempat tinggal. Salah satu perpustakaan yang menawarkan pengalaman menarik dan tenang adalah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS). Pembinaan bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda , Shah Alam, itu dimulakan pada September 2007 di lokasi yang strategik, aman dan hijau iaitu bersesuaian dengan konsep 'perpustakaan dalam taman'. Selain memberi kelainan kepada peranan perpustakaan iaitu sebagai gedung bacaan untuk para pelajar, penyelidik, dan pendidik, perpustakaan tersebut turut dilihat menjadi tempat beriadah seisi keluarga bahkan tempat mencari ilham kepada pencinta seni. Pembantu Perpustakaan, Juliana Es Mohamed Munawir berkata, bangunan perpustakaan ini berkeluasan 18,992 meter persegi dan setinggi 6 tingkat dengan kapasiti kira-kira 2,500 orang pengunjung pada satu-satu masa, serta mengandungi 400,000 naskhah buku. "Perpustakaan RATU merupakan ibu pejabat kepada 96 perpustakaan lain yang terdapat di Selangor. Dibahagikan kepada enam bahagian merangkumi ruang santai, bahagain bacaan kanak-kanak, koleksi remaja dan dewasa, koleksi pinjaman dewasa, bahan rujukan dan penyelidikan serta bahagian ensiklopedia. "Selain menyediakan bahan ilmiah, PPAS juga menyediakan beberapa aktiviti santai yang digemari oleh golongan remaja dan kanak-kanak yang berkunjung ke sini. "Sebagai contoh, di bahagian ruang legar, disediakan tempat untuk aktiviti santai dan ekstrem seperti teater xd, 6d dan 3d. Aktiviti permainan lasak ini mendapat sambutan golongan remaja dan pelajar terutama selepas mereka penat menghadap buku. "Sekali permainan akan dikenakan bayaran sebanyak RM 1O, mereka akan dapat rasai pengalaman tersebut dengan kelajuan empat gegaran per saat dan dengan had ketinggian tidak melebihi 1.4 meter," jelasnya. Juliana berkata, bahagian kanak-kanak yang terletak di sayap kanan tingkat bawah dikhaskan untuk pengguna di bawah umur 10 tahun. "Selain pilihan luas buku kanak-kanak yang boleh dipinjam dengan koleksinya hampir 47,000 naskah, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pelbagai sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif. "Zon Kreatif dibangunkan untuk memudahkan penganjuran pelbagai aktiviti minda. Kemudahan pentas pula membolehkan kanak-kanak menyertai aktiviti setiap hujung minggu dan juga musim cuti sekolah seperti pertandingan mewarna, bercerita, senamria dan pertunjukan boneka. "Reading Tree pula merupakan ruang berkonsep taman dalam perpustakaan untuk kanak-kanak membaca dalam suasana yang santai dan konsepnya diambil dari sebuah perpustakaan di Singapura. "Sebatang replika pokok besar dibina untuk menggamit kanak-kanak berehat dan membaca di bawahny tanpa mengira apa juga cuaca di luar sana dengan dikelilingi bahan bacaan di rak buku yang berwarna-warni," katanya. Tidak terhenti setakat itu, keseronokan berterusan di Zon Interaktif dengan permainan i-Step yang berupaya membangkitkan mood ceria kanak-kanak, manakala On Location Reporter pula merupakan aplikasi permainan yang melatih kanak-kanak membuat pengucapan awam gaya seorang wartawan. Tidak ketinggalan Zon Siber yang menyediakan lapan komputer peribadi berasaskan Windows dan lapang komputer iMac yang mengajak kanak-kanak menerokai dunia siber dengan penggunaan hanya RM1 sejam sahaja. Dalam pada itu, kata Juliana lagi, sepanjang cuti sekolah pihak perpustakaan juga mengadakan aktiviti-aktiviti istimewa seperti seni kreatif, pertunjukan boneka burung, pertandingan membaca buku cerita, pertandingan x-bow bowling, melawat ke setiap tingkat dan banyak lagi. Apa kata pengunjung Sementara salah seorang pengunjun, Siti Nor Aishah Mohd. Yunus, 10, mengakui sering berkunjung Perpustakaan Raja Tun Uda terutama pada setiap hujung minggu bersama keluarganya walaupun mereka menetap di Bukit Uda, Klang. "Setiap hujung minggu ayah akan membawa saya dan adik beradik untuk menghabiskan masa di sini.Sekarang musim cuti sekolah, jadi memang banyak masa akan dihabiskan di sini dari pagi hingga petang. "Saya suka datang perpustakaan di sini kerana banyak pilihan buku dan bahan bacaan yang disediakan. Selepas penat membaca buku, saya juga boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang di sediakan di zon kreatif kanak-kanak," katanya. Berlainan pula dengan adik, Afif Firdaus Mohd. Tahir, 8 , yang dihantar oleh ibu bapanya untuk menghabiskan masa cuti dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. "Ibu dan ayah hantar saya ke sini dari pagi dan akan mengambil saya pada sebelah petang. Selalunya kami akan habiskan masa di sini pada cuti hujung minggu. "Di sini saya suka membaca buku cerita. Banyak pilihan buku cerita yang menarik dan bagus. "Selain membaca, saya juga dapat kenal ramai kawan dan mencuba pelbagai permainan dan aktiviti yang disediakan sepanjang musim cuti ini," jelasnya. |
Di sebalik kesusahan ada kesenangan Posted: 25 Dec 2013 09:06 PM PST Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID MOHD. Salleh Zahari selesa mengusahakan ternakan ayam itik sebagi sumber pendapatan utamanya. KENANGAN silam adakalanya terlalu kelam untuk dirakam. Namun, membiarkan diri terus diulit kenangan tanpa usaha merubah keadaan, bukanlah satu pilihan. Itulah kalimah yang meluncur laju daripada lidahnya, saat penulis memboncengi motorsikalnya membelah jalan yang sempit menuju ke rumahnya. Itulah Mohd. Salleh Zahari, 57 yang bakal berkongsi kisah perjuangannya kali ini. Bersama pasangannya, Norsima Mohd. Nor, 56, penulis ingin mengajak semua pembaca untuk mencicipi getir dan gigihnya mereka membanting tulang demi menyara keluarga tersayang. "Kami sudah lama menetap di Lembah Klang. Dahulu pada 1980, mula-mula bas mini diperkenalkan, sayalah antara pemandu terawal yang membawa bas berkenaan. Kemudian, pada1995 selepas perkhdimatan bas mini dihentikan di Kuala Lumpur, saya beralih angin memandu bas metro sehinggalah 1996." Demikianlah permulaan kisah kehidupan Salleh dan dia tidak segan berkongsi bagaimana dahulu dia hanya dibayar gaji RM8 sehari memandu bas mini dan kemudiannya dibayar RM70 sehari apabila memandu bas metro. Namun, faktor usia tidak membetahkannya berlama-lama untuk terus memandu, sehinggalah dia akhirnya mengambil kata putus berhenti dan mencari rezeki membaiki motorsikal, kereta ataupun bas buat mengisi pendapatan. "Sehabis belajar sekolah menengah dulu, saya pernah dimasukkan ke institut kemahiran selama dua tahun. Sebab itu, saya boleh membaiki kerosakan kenderaan jika tidak serius keadaannya." Mungkin wajar dikongsikan, kehidupan pasangan ini telah diserikan dengan kehadiran 11 orang anak. Namun dua daripadanya telah meninggal dunia dan kini hanya tinggal sembilan orang yang berusia di antara 10 hingga 36 tahun. Di samping itu, mereka turut memelihara enam orang cucu yang kematian ibu dan ayah. Beberapa orang anaknya yang dewasa telahpun mendirikan rumah tangga, namun keadaan mereka yang sederhana menyebabkan Salleh tetap perlu bekerja demi keluarga. Menjual pisang goreng "Alhamdulillah, di samping suami mengambil upah membaiki kenderaan, saya pula mencari rezeki dengan menjual goreng pisang. Syukur, hasil jualan berkenaanlah yang telah mampu menampung keperluan kami sekeluarga," tambah Norsima pula. Ternyata Norsima memang jujur membantu keluarganya. Dengan bantuan dan bimbingan Amanah Ikhtiar, dia menjual pisang goreng di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Pusu, Gombak. Namun, beberapa kali juga dia telah didatangi pihak berkuasa tempatan dan akhirnya kini lebih selesa menjalankan perniagaan di tapak baharu, iaitu di hadapan Sekolah Menengah Intergrasi Gombak. "Dahulu gerai saya dibuka mengikut waktu persekolahan. Bila cuti sekolah, saya tiada pendapatan. Kini, di lokasi baharu setiap hari saya akan berniaga, hanya hari Rabu sahaja saya bercuti, kerana perlu menghadiri bengkel niaga yang diwajibkan Amanah Ikhtiar. Syukur, pendapatan berniaga itulah yang menyangga kami sekeluarga walau tidak seberapa," jelas Norsima. Tahun 2011 adalah tahun yang paling getir bagi mereka sekeluarga. Kisahnya, rumah mereka di Pangsapuri Mutiara Gombak, telah tertunggak bayaran bulanannya melebihi setahun. Norsima dan Salleh tidak menyedarinya, kerana selama ini mereka menyangka ia telah dilangsaikan oleh salah seorang anak mereka. Tambahan, Norsima sendiri mencari rezeki di Shah Alam. "Pihak bank telah meminta kami menjelaskan tunggakan, minimumnya RM3,000. Dalam keadaan terdesak seperti itu, mustahil saya dapat menyediakannya," kata Salleh. Lebih mendukacitakan, apabila mereka terpaksa menerima hakikat yang lima orang cucu mereka turut tidak bersekolah. Apabila ditambah dengan anak mereka sendiri, maka jumlahnya menjadi besar dan hampir tidak terjangkau dek kudrat mereka untuk menyekolahkannya. Disantuni jiran "Jujurnya, saya tidak akan dapat melupakan saatnya kami harus keluar dari rumah yang telah kami beli itu, tanpa kami sendiri ke mana arah hendak dituju," ujar Norsima terharu dan di kelopak matanya, tergenang air menanti masa untuk berlenang. Namun, Allah SWT mentakdirkan mereka dikelilingi oleh jiran tetangga yang baik. Demi mengetahui keadaan diri mereka, derma kilat langsung dikutip. Akhirnya, berbekalkan wang sejumlah RM7,000 mereka mencari tapak baharu untuk meneruskan kehidupan. Malah, salah seorang Ahli Jawatankuasa Surau juga turut meminta mereka agar berpindah sementara waktu di sebuah kawasan tanah rizab jalan di belakang sekolah yang berdekatan. "Kami pun menggunakan wang berkenaan untuk membina sebuah rumah. Mujurlah kami tidak ada banyak barangan, tidak perlulah kami menyewa lori, cukup mengangkutnya sedikit demi sedikit ke rumah baharu kami," tambah Norsima. Menurut Salleh pula, tanah yang bakal mereka diami kala itu memang hutan banat sepenuhnya. Dia tidak akan lupa, saat membersihkannya mereka bertemu dengan ular, biawak malah pelbagai jenis haiwan berbisa. Andai dibandingkan dengan kondisi terkini, pasti kita tidak akan menyangka bagaimana rupa asalnya. "Tidak sekadar itu, pihak AJK surau juga meminta kami menghubungi Lembaga Zakat Selangor (LZS). Dalam keadaan tidak tahu apa yang bakal dibantu, kami mencuba nasib mendatangi LZS di Taman Melawati. Tidak disangka, itulah rupanya pembuka jalan yang lebih bermakna bagi kami menjamin kehidupan," kata Salleh seterusnya. LZS pula segera menghantar seorang pegawai untuk menyiasat kehidupan mereka sekeluarga. Lalu, menjelang 2012, bantuan pun dihulur dengan teratur. "Kami menerima bantuan persekolahan bagi anak-anak dan cucu, bantuan Ramadan dan raya, juga bantuan makanan bulanan dan kewangan bulanan." PENULIS ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |