{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Infiniti

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Infiniti


Peluang meneroka planet marikh

Posted:

Peluang meneroka planet marikh

Peluang meneroka planet marikh

Oleh HAFIZ AHMAD


PELAJAR tekun mendengar soalan ketika berlangsungnya pertandingan akhir NSC 2013.


SUASANA di Bangunan Mikrosatelit, Planetarium Negara hingar-bingar dengan kehadiran pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Kuala Lumpur. Perasaan teruja terpancar pada wajah masing-masing dengan mulut mereka kelihatan terkumat-kamit seperti sedang menghafal sesuatu.

Kumpulan pelajar seramai 20 orang itu merupakan insan yang bertuah kerana berpeluang berinteraksi secara langsung dengan seorang angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Komunikasi antara pelajar berusia sembilan hingga 11 tahun itu dengan angkasawan Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), Luca Parmitano berlangsung selama 11 minit. Jangka masa singkat itu memaksa para pelajar berkenaan bersiap sedia dengan soalan yang hendak dikemukakan.

"Ia pengalaman yang sangat bermakna dan menyeronokkan dalam hidup saya. Tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman sebegini," ujar Alvindren Alfred, 11, ketika ditanya mengenai perasaan berinteraksi bersama angkasawan tersebut.

Waktu berinteraksi yang singkat disebabkan oleh kedudukan ISS yang menghampiri orbit Malaysia. Saluran komunikasi antara ISS dan bumi hanya boleh dicapai selepas ia betul-betul berada pada sesuatu orbit.

Disebabkan itu, penerima siaran perlu menunggu ISS berada dalam kedudukan yang tepat bagi mengadakan komunikasi.

Kebenaran

Menurut Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad, siaran komunikasi tersebut perlu mendapat kebenaran daripada ISS terlebih dulu yang prosesnya memakan masa selama setahun.

"Pihak Planetarium Negara sangat bertuah kerana setiap tahun kita diberi peluang untuk berinteraksi bersama ISS," ujarnya ketika ditemui pada program sempena Minggu Angkasa Sedunia 2013 di Planetarium Negara baru-baru ini.

SISTEM radio amatur digunakan untuk berkomunikasi bersama angkasawan yang berada di ISS.


Lebih istimewa, pada tahun ini, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mendapat slot pada waktu petang berbanding negara lain yang sebahagiannya perlu menunggu hingga lewat malam.

"Dahulu, ketika Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berada di ISS, kami hanya dapat menghubungi beliau pada awal pagi," imbasnya.

Bagi Muhd. Arshad Muhd. Syamem, 9, dia telah menghafal soalan yang hendak ditanyakan kepada Parmitano.

"Sebelum dapat bercakap dengan angkasawan itu, kami perlu menunggu lama membuatkan saya penat dan bosan.

"Namun begitu, saya tetap teruja kerana ia peluang sekali dalam seumur hidup," katanya.

Bagi menjimatkan masa dan mengelakkan gangguan ketika berinteraksi, soalan para pelajar itu telah diberikan lebih awal kepada pihak ISS.

Antara soalan yang ditanyakan pelajar termasuk bagaimana seorang angkasawan merawat diri jika jatuh sakit di angkasa lepas? Parmitano menjawab, ISS mempunyai doktor yang akan merawat mereka.

Radio amatur

Komunikasi tersebut dilakukan dengan menggunakan fasiliti radio amatur yang terdapat di Bangunan Mikrosatelit. Ia dikendalikan oleh pemegang lesen radio amatur di bangunan itu, Sangat Singh.

Pada masa sama, para pelajar berpeluang berinteraksi bersama saintis di Pusat Misi Kawalan (MCC) di Innsbruck, Austria menggunakan aplikasi Google Hangout di Google Plus.

MCC merupakan pusat yang mengawal Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh di Utah, Amerika Syarikat. Ia merupakan satu pusat uji kaji yang meletakkan beberapa orang saintis dalam satu kren dan menjalani kehidupan seperti berada di Planet Marikh.

Melalui perbualan itu, pelajar berpeluang menanyakan soalan kepada salah seorang saintis MCC iaitu Joshua Nelson. Beliau bukan sahaja menjawab soalan daripada pelajar, malah sempat bergurau senda bersama mereka.


AKSI Parmitano ketika berada dalam kapal angkasa di ISS.


Acara lain

Salah satu soalan yang mencuit hati diberikan oleh Muhd. Arshad yang bertanyakan kesahihan kewujudan makhluk asing di angkasa lepas.

Nelson menjawab, dia sendiri turut mencari jawapan tersebut. Justeru itu, dia mengajak pelajar-pelajar untuk mencari jawapannya dengan meneroka angkasa lepas.

Sempena Minggu Angkasa Sedunia yang dianjurkan oleh Angkasa, beberapa acara lain turut diadakan selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 Oktober lalu.

Antaranya, Cabaran Angkasa Peringkat Kebangsaan Piala Perdana Menteri dan telesidang bersama Stesen Penyelidikan Padang Pasir Marikh.

Bagi Hairun Fatini Roslan, 11, dia lebih seronok ketika berkomunikasi dengan Nelson kerana dapat melihat secara visual dan melihat pejabat MCC melalui video.

"Walaupun sekejap, saya dapat melihat wajah Nelson dan berinteraksi dengan beliau secara maya," katanya.

Guru pengiring, Sabrina Safarrudin, 32, berpendapat aktiviti di Angkasa itu memberi banyak manfaat kepada para pelajar kerana mereka dapat mempelajari subjek sains secara lebih menyeronokkan.

"Mereka sangat teruja apabila diberitahu bakal berinteraksi bersama seorang angkasawan. Malah, para pelajar bersungguh-sungguh menyediakan soalan termasuk bertanyak kepada guru subjek sains," ujarnya.

Tambahnya, ketika dalam kelas lagi, para pelajar terbabit menunjukkan rasa seronok dengan bertanya beberapa soalan mengenai angkasa lepas.

"Selain itu, semua pelajar membawa buku nota dengan inisiatif sendiri ke Planetarium Negara. Menurut mereka, buku nota itu untuk ditulis maklumat yang bakal dijadikan jurnal," kata Sabrina.

Ribut Karen ancam AS

Posted:

Ribut Karen ancam AS

Ribut Karen ancam AS


IMEJ satelit yang diambil pada 4 Oktober lalu menunjukkan pergerakan ribut Karen yang dijangka melanda beberapa tempat di AS.


PIHAK berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan arahan berpindah mandatori kepada penduduk di kawasan-kawasan rendah di selatan New Orleans, Jumaat lalu sebagai amaran ancaman Ribut Tropika Karen.

Ancaman ribut itu, sebelum ini memaksa pihak berkuasa menutup pantai Louisiana daripada sebarang aktiviti pantai.

Kadar angin Karen juga jatuh kepada 72 kilometer sejam (kmj) berbanding 104 kmj sebelum ini, walaupun ramalan Pusat Taufan Kebangsaan, Miami mengeluarkan kenyataan, ribut dijangka berlaku sehingga menjadi ribut tropika.

Pengeluaran minyak AS di Teluk Mexico berkurangan kepada separuh selepas kebanyakan syarikat gas dan minyak menghentikan operasi mereka.

Malah, para pekerja juga dinasihatkan untuk bersedia menghadapi ribut. Teluk Mexico mengeluarkan sebanyak 19 peratus minyak dan enam peratus gas asli kepada negara berkenaan.

Datuk Bandar Grand Isle, David Camardelle melarang keras orang ramai mengunjungi ke destinasi percutian dan memancing popular di pulau selatan New Orleans.

Pemindahan keluar juga diperintahkan di selatan Lafourche dan Plaquemines Parish, Tenggara New Orleans. Mereka telah diarahkan untuk keluar dari rumah sebelum matahari terbenam.

Di kebanyakan tempat antaranya, The Sand Dollar Motel and Marina di Grand Isle mula memindahkan kapal layar mereka ke kawasan lebih selamat sambil pekerja turut membantu menyelamatkan premis tersebut.

"Air laut mula naik mencurah-curah ke marina dan angin pula sangat kuat," ujar pemilik marina, Susan Gaspard.

Ribut Karen dijangka beralih sedikit ke arah barat dan kemudian menuju ke darat Louisiana pada malam Sabtu lepas. Selepas itu, ia bergerak ke Mississippi dan Alabama pada keesokan harinya.

Lewat petang Jumaat lalu, ribut bergerak selaju 235 kmj di selatan-barat daya muara Sungai Mississippi. Ia telah bergerak ke utara-barat laut tetapi dijangka kembali ke timur laut kerana melintasi arus pantai.


AHLI meteorologi di Pusat Taufan Kebangsaan, Miami memerhatikan skrin komputer bagi melihat pergerakan ribut Karen.


Ditangguhkan

Di Pelabuhan New Orleans, operasi kargo terus berjalan seperti biasa tetapi kapal-kapal melalui muara Mississippi telah menghentikan operasi.

"Tiada kapal-kapal yang datang dari dalam atau luar muara sungai," kata jurucakap pelabuhan, Matt Gresham.

Syarikat kapal layar, Carnival Cruise Line mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kedua-dua kapal persiaran, Elation Carnival dan Carnival Conquest yang dijangka tiba di New Orleans pada hujung minggu lalu telah ditangguhkan.

Menurut jurucakapnya, tetamu kapal telah dimaklumkan mengenai penangguhan itu dan ia belayar pada jarak yang selamat dan jauh dari ribut.

Gabenor Louisiana, Mississippi, Florida dan Alabama telah mengisytiharkan untuk mempercepatkan persiapan menghadapi ribut manakala Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan memanggil beberapa pekerja yang bercuti bagi membantu persiapan.

Pada tahun ini, hanya terdapat 11 ribut telah berlaku tetapi kesemuanya hanya dalam kategori sederhana, termasuklah Taufan Sandy yang terjadi pada tahun lalu.

Pensyarah Sains Atmosfera di Universiti A&M, Texas, Prof. Madya Robert Korty memberitahu, bulan Ogos dan September adalah jangka masa aktif kejadian ribut tropika.

"Namun begitu, tahun ini kejadian taufan sedikit berkurangan akibat wujudnya udara kering. Ia datang merentasi Lautan Atlantik dari Afrika dan menghalang berlakunya taufan pada bulan Ogos. Kalau ada yang berlaku, ia tidak terlalu kuat.

"Hasilnya, musim ribut ini adalah normal dan kebanyakannya adalah lemah," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat