Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Enaknya Kaw Kaw Burger BakarKAW'D merupakan restoran khusus menjual burger pertama di negara ini. SESIAPAPUN yang melintas di kedai Kaw Kaw Burger Bakar pasti berasa bagai tergoda dengan aroma patti burger yang sedang dimasak. Maka tidak hairanlah restoran lot hujung itu sentiasa dipenuhi pelanggan. Menurut cakap-cakap di laman sosial, patti burger Kaw Kaw Burger lembut dan berjus. Di sebalik semua itu, burger yang dicipta oleh Nini Haznita Muhammad dan Mohd. Faizul Baharudin itu sebenarnya tidak terhasil dengan mudah. SETAKAT ini mereka menjual patti daging ayam, lembu dan kambing. Realitinya, mereka sendiri tidak menyangka perniagaan yang diusahakan bersama kurang dua tahun itu kini mampu menjana pendapatan jutaan ringgit. Selain itu, ibarat kata pepatah ada hikmah di sebalik kejadian 'kena' pada kedua-dua mereka yang gagal menamatkan pengajian peringkat diploma masing-masing. Kesempatan bertemu dengan Nita dan Zu pada Rabu minggu ini di Kaw'D, Jalan Ampang, Selangor menjadi saksi mereka bercerita kejayaan mereka. "Saya sebenarnya tidak menamatkan pengajian peringkat Diploma Instrumen Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. "Semasa itu, ayah sudah meninggal dunia manakala ibu sedang sakit. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar untuk menjaga ibu," terang Nita. Mohd. Faizul pula tidak berminat untuk menyambung pengajian Diploma Elektronik di universiti yang sama. "Kami kemudian bertemu di sebuah syarikat pusat panggilan di Kuala Lumpur. Oleh kerana sama-sama minat berniaga kami menjual burger secara sambilan di tempat kerja. "Empat tahun selepas itu inilah hasilnya Kaw Kaw Burger," cerita Nita.
Sepuluh tingkat Nita bercerita, perniagaan mereka bermula pada April 2011 dengan gerai kecil yang dibuka di Kafe Arena, Wangsa Maju, Selangor. "Syukur sambutan yang diterima agak baik kerana kami yang memperkenalkan kaedah burger dimasak secara bakar. "Malah, ada pelanggan yang sanggup beratur lebih tiga jam hanya untuk membeli burger kami," katanya. Tambahnya, perniagaan mereka meningkat maju sehingga kini mempunyai enam cawangan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Mengapa nama 'kaw kaw,' menurut Nita kerana jika dalam budaya negara ini, kaw kaw bermaksud satu benda atau makanan yang baik dan sedap. "Itu yang cuba saya terjemahkan dalam produk yang kami hasilkan," katanya.
Wanita ini juga tidak dapat melupakan pengalaman seorang pelanggan yang menikmati burger sebanyak 10 lapisan daging dalam tempoh masa sejam. "Berat burger itu lebih kurang tiga kilogram termasuk roti, sayur-sayuran dan keju. Lelaki itu sendiri terkejut dia boleh memakan burger sebanyak itu. "Pelanggan itu membayar lebih RM100 untuk burger itu tetapi selepas itu dia hanya bersandar di kerusi kerana terlalu kenyang," ujarnya sambil ketawa. Tutur Nita, setakat ini mereka memproses sendiri daging patti ayam, lembu dan kambing di kilang yang terletak di Gombak, Selangor. "Tidak lama lagi kami akan memperkenalkan patti ikan salmon," katanya. Harga Kaw Kaw Burger Bakar bermula RM8. PATTI daging yang dihasilkan sendiri lebih segar dan sedap berbanding yang dibeli di pasar raya. Lembut Menurut seorang pelanggan Eliza Ajis, dia teruja menikmati Kaw Kaw Burger kerana daging patti yang lembut selain limpahan keju yang membuatkan air liur memercik keluar. "Menikmati burger ini sudah cukup untuk makanan pagi dan tengah hari," katanya. Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pelanggan, Somsak yang mengakui daging dimasak sempurna dan tidak hanyir. "Ada masanya daging burger yang kita nikmati berbau hanyir tetapi mungkin diproses sendiri membuatkan daging Kaw Kaw Burger tidak sedemikian," ujarnya. Seorang guru, Norhafizah Salehuddin pula menyukai roti burger yang lembut sebaik sahaja dikunyah di dalam mulut. "Malah, sekiranya dibungkus dan dibiarkan selama berjam-jam ia masih lembut dan tidak keras," katanya. Mohd. Hairy Mat Usop pula berpendapat keju yang segar menjadi keutamaannya. "Mereka menawarkan pelbagai jenis keju selain sayur-sayuran yang segar," katanya. | ||
Posted: Angka 13 bawa malang?Oleh NOR IDAYU BOSRO
APABILA kerja-kerja pembinaan di 56 Leonard Street di Manhattan, New York, Amerika Syarikat (AS) siap sepenuhnya dua tahun lagi, bangunan pencakar langit itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang berkeluasan kira-kira 22.8 meter persegi dan ruang perpustakaan. Bagaimanapun, menurut portal berita The Wall Street Journal, apa yang tidak dimiliki oleh bangunan mewah setinggi 60 tingkat itu ialah tingkat 13. Situasi tersebut amat menghairankan tetapi itulah satu fenomena pelik yang terdapat di kebanyakan bangunan khususnya di negara-negara Eropah. Satu kajian mendapati hanya lima peratus daripada 1,500 buah kondominium di Manhattan dan Brooklyn mempunyai tingkat 13. Selebihnya menggelarkan tingkat dengan nombor 'berhantu' itu sebagai tingkat 14 supaya tiada penduduk yang terbeban kerana beralamatkan nombor malang itu. Kajian mengenai fobia terhadap angka 13 itu digelar 'Triskaidekaphobia' manakala fobia terhadap tarikh 13 hari bulan yang jatuh pada hari Jumaat pula dikenali sebagai 'paraskavedekatriaphobia' atau 'friggatriskaidekaphobia'. Satu penyelidikan dalam Jurnal Perubatan British yang diterbitkan pada 1993, mendapati kadar kemalangan jalan raya meningkat pada hari Jumaat bertarikh 13 hari bulan berbanding hari Jumaat lain. Menerusi jurnal tersebut, penulisnya membandingkan nisbah jumlah trafik kepada bilangan kemalangan kereta pada dua hari yang berbeza iaitu Jumaat keenam dan Jumaat ke-13 sepanjang tahun itu. Salah seorang penulisnya, Scanlon TJ mendakwa kadar kemasukan ke hospital meningkat sebanyak 52 peratus pada hari Jumaat ke-13 berbanding hari-hari Jumaat lain. "Jumaat ke-13 ialah hari malang bagi sesetengah individu. Risiko kemasukan ke hospital akibat kemalangan juga meningkat. Kami mengesyorkan adalah lebih baik untuk tinggal di rumah sahaja," katanya. LUKISAN pasukan The Knight Templars (dua kiri) bertemu Raja Baitulmuqaddis. Mitos Norse Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai nombor malang dikatakan berasal daripada mitos Norse yang bercerita tentang kisah 13 dewa menghadiri majlis santapan di Valhalla – sebuah tempat di mana roh pahlawan berani 'pergi' selepas mereka meninggal dunia. Dikisahkan bahawa ketika 12 dewa lain sedang makan, datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis berkenaan. Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Balder iaitu dewa kegembiraan. Kematian Balder dipercayai menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan terjadinya musim sejuk pertama di dunia. Fobia itu turut diperkuatkan lagi dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan hari Jumaat yang jatuh pada tarikh hari tersebut. Antaranya ialah penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam Perang Salib yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307 dan pemerintahan King Saxon Harold II berakhir selepas dia dibunuh oleh Duke of Normandy, William pada Jumaat, 13 Oktober 1066. Selain itu, ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menggunakan nombor 13 selain diterbangkan pada pukul 1.13 petang pada 11 April 1970. Malah, fobia terhadap angka berkenaan turut melanda golongan profesional dan intelektual. Akibatnya, ada pengusaha syarikat penerbangan yang tidak menyediakan kerusi penumpang bernombor 13, syarikat pembinaan yang tidak membina bangunan yang memiliki tingkat 13, pintu ke-13 atau premis bernombor 13. Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menyatakan bahawa pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 hingga AS$900 juta pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan berikutan ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu. | ||
Posted: Bertudung sembunyi janggut
SEORANG wanita menghabiskan sebahagian besar masanya di rumah selama 13 tahun gara-gara dia berjanggut lebat. Namun Agustina Dorman yang berumur 38 tahun bertegas tidak akan bersikap menyembunyikan diri seperti itu lagi. Cerita Agustina, dagunya mula ditumbuhi rerambut kasar sejak melahirkan anak sulung pada tahun 2000. Wanita malang yang menetap di Kampung Penaga, Kepulauan Riau, Indonesia, mula mempunyai janggut semasa berusia berumur 25 tahun. "Dahulu, saya menyembunyikan diri kerana takut anak-anak akan diperli dan dibuli rakan-rakan di sekolah mereka tetapi kini tidak lagi. "Saya kerap mencukur janggut berkenaan tetapi ia menjadi bertambah lebat dan kasar, akhirnya saya biarkan sahaja," ujarnya. Tambahnya, proses mencukur janggut dan jambang itu agak menyakitkan. Katanya, dia berharap melalui penerangan kesihatan penduduk kampung akan memahami situasinya dan menerima dia seadanya. Dia mempunyai dua orang anak berumur 19 dan tiga tahun. Awal tahun ini, seorang wanita Jerman juga mengalami nasib yang sama seperti Agustina tampil dalam satu rancangan televisyen Britain, This Morning. Hanya dikenali Mariam, wanita ini berasa seksi dengan janggut serta misai yang dimilikinya. Dia kini bekerja sebagai seorang ahli sarkas selain sering mengadakan program motivasi berkenaan fizikalnya itu. "Saya memberi peluang untuk orang ramai berbual dengan wanita berjanggut kerana kebiasaannya mereka akan takut untuk melakukannya," kata Mariam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |