Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Kesetiakawanan pegangan Zahid
- Hishammuddin: 'Jangan buang semua di luar tingkap'
- Shafie jadi jambatan Sabah, Sarawak dan Semenanjung
Posted: Kesetiakawanan pegangan Zahid
PADA Pemilihan UMNO 2009, Datuk Seri menang jawatan Naib Presiden dengan mendapat undi tertinggi iaitu 1,592 undi diikuti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (1,515) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (1,445). Pada pandangan Datuk Seri, mengapakah perwakilan memberikan Datuk Seri undi tertinggi berbanding calon Naib Presiden UMNO lain ketika itu? AHMAD ZAHID: Saya telah diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 2009 bukan disebabkan sokongan daripada perwakilan UMNO dari negeri-negeri sahaja. Jawatan saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam ketika itu turut membantu. Mungkin perwakilan telah melihat beberapa perubahan yang saya lakukan khususnya dari aspek pengurusan organisasi agama seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Tabung Haji. Saya juga mengkoordinasikan sistem fatwa dan mempertahankan di Dewan Rakyat bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Jawatan Naib Presiden itu juga merupakan kesinambungan jawatan politik saya sebab saya pernah menjadi Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Ketua Pemuda. Selepas Pemuda, saya menjadi ahli Majlis Tertinggi pula dengan mendapat undi keempat dan kedua terbanyak dalam dua pemilihan. Saya tidak menanam budi, saya hanya menanam kesetiakawanan. Mungkin faktor keakraban dan falsafah saya ketika itu yang menyumbang kemenangan pada 2009. Betulkah ada pakatan untuk mengekalkan penyandang Naib Presiden sekarang? Sebenarnya ia bukan pakatan, sebaliknya satu kesefahaman antara calon penyandang. Pada pandangan saya, Presiden UMNO selesa dengan kami bertiga dan kebetulan kami lahir daripada 'kilang' Pemuda. Antara ketiga-tiganya, sayalah yang paling lama. Sejak tahun 1988 apabila UMNO diharamkan dan Najib menjadi Pemangku Ketua Pemuda ketika itu sehinggalah pada tahun 1993 semasa beliau memenangi jawatan Naib Presiden, kami telah bekerja bersama-sama dan mempunyai pola pemikiran yang sama. Bagaimana dengan keselesaan bekerja antara Datuk Seri dengan wajah baharu seperti Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan orang lama, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad andai kata mereka menang dalam pemilihan nanti? Bagi saya keselesaan itu merujuk kepada Presiden dan Timbalan Presiden. Pada pengamatan saya, selain Timbalan Presiden, Najib sering merujuk Naib-Naib Presiden walaupun sebenarnya beliau boleh membuat keputusan sendiri. Dengan kata lain, Naib Presiden harus mampu bekerja dalam persekitaran yang selesa dan harmoni bersama Presiden. Kali ini seramai kira-kira 146,500 perwakilan akan mengundi. Apakah istimewanya Datuk Seri berbanding lima calon yang lain itu? Tidak adil bagi saya untuk menganalisis diri saya begitu. Saya lihat terdapat kematangan dalam kalangan ahli-ahli yang menjadi perwakilan biarpun mereka itu pemimpin akar umbi. Mereka bukan saja melihat sama ada calon sudah melaksanakan tugas sebagai menteri atau menteri besar dengan baik, malah perwakilan mahukan pemimpin yang tidak bermusim. Ertinya, walaupun pemimpin ada program rasmi di kementerian, mereka harus mempunyai masa untuk bekerja dengan kepimpinan di peringkat akar umbi, bahagian ataupun negeri. Ia penting bagi mendapatkan maklum balas politik daripada peringkat bawahan demi kepentingan parti. Adakah sistem Electoral College yang diterapkan pada pemilihan UMNO kali ini akan memberi kelebihan kepada Datuk Seri? Sistem pemilihan yang baharu dan lama mempunyai kelebihan dan kelemahan yang pelbagai. Saya mungkin lebih selesa dengan sistem lama kerana telah terbiasa begitu sejak dahulu. Pemilihan kali ini menyaksikan jumlah perwakilan yang lebih ramai dan sebab itu saya timbulkan soal kematangan tadi. Maklumat-maklumat melalui media konvensional, sosial dan komunikasi bersemuka dapat membantu mereka memahami sistem itu dengan lebih baik. Cakap-cakap mengatakan kaedah baharu ini memberi kelebihan kepada calon yang bersuara lantang. Apakah komen Datuk Seri? Saya bukanlah pemimpin bermusim. Kelantangan saya juga tidak bermusim. Ketika saya jadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, nada yang sama saya lakukan. Saya berpendapat rakyat Malaysia lebih mahu melihat pemimpin memberi respons segera kepada sesuatu perkara sama ada dalam parti mahupun kerajaan. Itulah yang saya buat sekarang. Bagaimana Datuk Seri memandang isu berkaitan memperkasakan orang Melayu? Hutang negara kepada bangsa Melayu belum terbayar sepenuhnya. Kita lihat dalam Perlembagaan, kedudukan agama Islam, Raja-Raja Melayu, dan hak keistimewaan orang Melayu merupakan kompromi yang disebut sebagai kontrak sosial. Ia ibarat balasan kepada kesediaan orang Melayu memberi kelonggaran berhubung aspek kewarganegaraan kaum lain di negara ini. Daripada 27 juta rakyat Malaysia, 60 peratus ialah orang Melayu bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak. Kalau hendak diikutkan, kelebihan adalah kepada kaum Melayu yang sebahagian besar tinggal di Semenanjung tetapi tidak begitu. Semua bumiputera mempunyai hak yang sama rata. Jadi, disebabkan itu, negara sebenarnya telah berhutang kepada bangsa Melayu kerana bangsa ini telah banyak berkorban ketika sebelum merdeka dan sesudah merdeka. Apa yang saya perjuangkan ialah keadilan kepada bangsa Melayu yang merupakan bangsa saya. | |
Hishammuddin: 'Jangan buang semua di luar tingkap' Posted: Hishammuddin: 'Jangan buang semua di luar tingkap'
PEMILIHAN UMNO kali ini diadakan selepas beberapa bulan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berakhir pada Mei lalu yang menyaksikan sokongan pengundi bukan Melayu merosot. Bagaimana Datuk Seri melihat Pemilihan UMNO 2013 dalam menentukan survival parti? HISHAMMUDDIN: Memang benar Pemilihan UMNO 2013 adalah yang paling kritikal dalam sejarah parti berdasarkan keputusan PRU-13. Keputusan PRU-13 mendambakan UMNO melakukan sesuatu jika tidak mahu menerima nasib yang sama seperti parti Golkar di Indonesia dan Kuomintang di Taiwan. Justeru, pemilihan parti kali ini amat penting untuk memastikan pemimpin yang dipilih dapat memenuhi cita rasa golongan yang tidak senang dengan kepimpinan parti dan pada masa sama memastikan penyokong yang telah membawa kepada kemenangan UMNO dihargai. Adakah keputusan PRU-13 akan memberi kesan terhadap landskap pemilihan UMNO tahun ini? Saya menjangkakan kesan PRU-13 kepada pemilihan parti tahun ini bergantung kepada sejauh mana perwakilan memahami senario keputusan PRU-13. Keputusan PRU-13 sebenarnya menunjukkan UMNO masih kuat kerana berjaya merampas semula Kedah daripada pembangkang dan mempertahankan Perak daripada dirampas semula. Perwakilan perlu memahami bahawa semua pencapaian ini bukan datang bergolek dalam sekelip mata kerana ia sedikit sebanyak hasil daripada apa yang dilakukan oleh barisan kepimpinan UMNO. Mereka perlu juga memahami bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian serta tahap ekonomi negara masih kukuh selepas PRU-13. Apakah bentuk kepimpinan baharu yang diperlukan oleh UMNO untuk mengharungi pelbagai cabaran selepas ini? UMNO akan berhadapan beberapa cabaran antaranya Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, Pilihan Raya Negeri Sarawak dan PRU-14. Secara peribadi saya berharap pemimpin yang dipilih kali ini mempunyai pengalaman dan mampu bekerjasama supaya UMNO dapat mencapai sasaran. Justeru, perwakilan perlu memastikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sebuah pasukan yang mampu mengharungi cabaran itu. Apakah Datuk Seri yakin dapat mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO? Saya menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada perwakilan. Bagaimanapun, saya berharap mereka dapat menilai saya bukan hanya dalam tempoh pemilihan parti kali ini sebaliknya berdasarkan apa yang telah saya lakukan dalam parti dan beberapa kementerian selama ini. Ia satu perjalanan yang sukar dan ada jatuh bangunnya. Ia adalah kepimpinan yang telah diuji. Saya telah diuji dalam keadaan Pemuda UMNO berpecah satu waktu dahulu dan mengetuai Pemuda menghadapi cabaran gerakan demonstrasi jalanan oleh pembangkang. Begitu juga semasa menghadapi pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu sewaktu menjadi Menteri Pertahanan. Bukan satu perkara yang mudah kerana kita perlu bertindak sewajarnya. Apakah Datuk Seri berpandangan peristiwa pencerobohan pengganas Sulu yang mengorbankan 10 perajurit negara pada Mac lalu sedikit sebanyak memberi kesan ke atas sokongan perwakilan? Saya berharap mereka tidak buat keputusan bersandarkan kepada kejadian itu semata-mata. Tidak adil jika hanya melihat kepimpinan saya dengan bersandarkan kejadian itu. Siapa sangka sewaktu saya menjadi Menteri Dalam Negeri negara diceroboh oleh kumpulan bersenjata dari Sulu. Tiada siapa menyangka sewaktu saya memangku jawatan Menteri Pengangkutan berlaku kejadian bas terjunam di Genting Highlands. Saya harap insiden-insiden itu tidak menyekat perwakilan untuk membuat keputusan dengan baik. Ada yang mendakwa saya lambat bertindak di Lahad Datu sedangkan mereka tidak memahami saya perlu membuat banyak pertimbangan. Sebagai contoh saya perlu mempertimbangkan bilangan kaum Sulu yang ramai di Lahad Datu. Ini bukan menunjukkan saya terlalu berlembut atau takut. Adakah benar desas-desus sokongan terhadap Datuk Seri untuk memenangi jawatan Naib Presiden UMNO kononnya kurang meyakinkan? Yakin atau tidak, saya tidak pasti. Namun jika tahap keyakinan yang didakwa ini berdasarkan tinjauan menerusi media sosial, kita boleh lihat keputusannya berubah-ubah setiap jam. Sekejap saya diletakkan dalam kedudukan keenam dan kemudian di kedudukan kedua malah ada satu tinjauan saya di kedudukan pertama. Saya tawakal kepada Allah dan pasrah kepada perwakilan yang menentukan. Betulkah Datuk Seri dan dua lagi penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berada dalam satu pasukan pada pemilihan UMNO tahun ini? Saya tidak menafikan kami bertiga telah menjalin kerjasama yang erat selama beberapa tahun dalam barisan Naib Presiden parti. Kerjasama yang terbentuk ini mungkin memberi gambaran kepada orang ramai bahawa kami dalam satu pasukan. Saya juga tidak nafikan berapa tahun lalu kami bertiga telah melalui cabaran cukup getir dalam parti dan berharap untuk terus ke hadapan bersama-sama. Adakah benar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap ketiga-tiga penyandang Naib Presiden UMNO dikekalkan? Saya tidak pasti mengenai perkara itu kerana hanya Presiden UMNO yang tahu bentuk pasukan yang beliau perlukan untuk berdepan PRU-14. Bagaimanapun, jika ia benar, saya berpandangan perwakilan perlu menilai sendiri perkara itu kerana saya yakin apa jua harapan Presiden UMNO pastinya bergantung kepada keperluan teramai. Bagaimana pandangan Datuk Seri terhadap pandangan segelintir pihak bahawa transformasi dalam UMNO memerlukan perubahan pada pucuk kepimpinan? Janganlah kerana mahu perubahan kita membuang semuanya di luar tingkap. Perubahan sebenarnya telah pun dilakukan dalam UMNO jika kita perhatikan secara teliti. Persoalan sebenar adalah jenis perubahan yang kita perlukan. Golongan muda Mesir dan Syria juga didendangkan dengan seruan perubahan untuk kehidupan yang lebih baik sebelum ini. Namun apa yang kita lihat berlaku di negara itu adalah sebaliknya. Ini yang perlu dipertimbangkan golongan muda muda UMNO pada pemilihan parti kali ini. | |
Shafie jadi jambatan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Posted: Shafie jadi jambatan Sabah, Sarawak dan Semenanjung
KHABARNYA Datuk Seri mendapat tepukan gemuruh pada sesi pengenalan calon di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Nampaknya Datuk Seri mendapat sokongan padu daripada UMNO Sabah. Apakah perasaan Datuk? MOHD. SHAFIE: Saya berpendapat tepukan dalam sesi memperkenalkan calon bukan ukuran atau jaminan sokongan 100 peratus. Cuma ia sedikit sebanyak mencerminkan persepsi daripada perwakilan. Apatah lagi jumlah perwakilan UMNO yang memilih kali ini besar iaitu lebih 146,500 orang. Datuk Seri ialah pemimpin dari Semporna, Sabah, tapi pada masa yang sama Datuk Seri juga pemimpin nasional dengan menjadi menteri di Kuala Lumpur. Apakah pentingnya input Datuk Seri sebagai pemimpin dari Sabah dalam konteks politik nasional UMNO? Sebenarnya saya ialah pengasas UMNO dalam kalangan orang muda di Sabah pada tahun 1991. Kami menarik penyertaan orang muda ke dalam perjuangan UMNO. Kami membawa masuk golongan muda profesional dan kita dapat melihat hasilnya hari ini apabila ramai pimpinan peringkat pusat datang dari Sabah. Perkara ini berterusan dan bukannya bermusim. Saya pula jenis yang suka ke kampung-kampung bukan sahaja di Sabah bahkan di Sarawak dan Semenanjung. Semasa menjadi Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, saya banyak melawat kampung, maka orang kampung menilai gerak kerja saya. Saya bukan tunjuk muka semasa ada pemilihan Naib Presiden sahaja. Pada Pilihan Raya Umum lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sempat masuk ke kampung-kampung di Sarawak kerana terlalu sibuk di Semenanjung, mereka maklumkan kepada saya supaya membantu melawat Sarawak dan Sabah. Saya ambil tanggungjawab itu. Jadi, melalui jawatan Naib Presiden UMNO dan selaku menteri dalam kerajaan Persekutuan, saya telah membantu kepimpinan Presiden UMNO. Datuk Seri mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO untuk kali kedua. Biasanya kali pertama lebih susah berbanding kali kedua. Komen Datuk Seri? Sebelum ini saya bertanding banyak jawatan daripada peringkat Exco Pemuda, Majlis Tertinggi hinggalah Naib Presiden. Semasa mula-mula bertanding Naib Presiden ia agak kabur. Tetapi apabila bertanding untuk kali kedua, sambutan yang saya terima daripada pimpinan cawangan dan orang kampung semakin baik. Mereka kata jangan bimbang, mereka akan memberi sokongan kepada saya. Berdasarkan respons akar umbi, mereka ternyata mahukan supaya sekurang-kurangnya seorang wakil dari negeri Sabah yang mewakili bukan hanya Negeri Di Bawah Bayu bahkan Sarawak untuk menjadi jambatan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun keputusan PRU-13 menunjukkan UMNO masih lagi diterima oleh rakyat, tetapi kita lihat perjuangan membela nasib orang Melayu yang sebelum ini ditunjangi UMNO telah diambil alih oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Boleh Datuk Seri ulas perkara ini? Kalau kita lihat sokongan orang Melayu terhadap UMNO ia sebenarnya meningkat dan tidak pudar. Ini berdasarkan fakta pada PRU lalu iaitu kerusi UMNO jauh lebih besar berbanding PRU 2008 yang mana jumlah pengundi dalam kalangan orang Melayu yang kembali kepada UMNO juga semakin meningkat di kawasan tertentu. Cuma yang melemahkan kita ialah parti komponen BN yang lain. Selain itu, kita perlu lihat perubahan dalam UMNO. Sememangnya kali ini ramai anak muda mempunyai jawatan dalam UMNO. Mereka menjadi ketua cawangan, menawarkan diri untuk bertanding dan menang. Ini menunjukkan ada minat terhadap perjuangan UMNO. Keghairahan ini bukan hanya dari segi menyertai parti bahkan menawarkan diri untuk bertanding. Kalau parti tidak diminati, saya rasa perkara ini tidak berlaku. Bagaimanapun, itu tidak cukup untuk kita memastikan kekuatan UMNO. Jadi kita perlu melakukan pelbagai pendekatan untuk membolehkan kita menarik lebih ramai golongan muda menyertai UMNO bukan hanya dalam konteks pengisian jawatan tetapi dalam konteks kita menganjurkan landasan-landasan baharu. Contohnya di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kita perkenalkan Rural Business Challenge di mana kita galakkan belia-belia berkecimpung dalam perniagaan di peringkat luar bandar sama ada mereka mempunyai idea-idea baharu, rancangan baharu ataupun usahawan yang sedia ada. Bagaimana Pemilihan UMNO 2013 boleh dilihat positif pada mata rakyat dan bukan dinilai kepada perebutan jawatan semata-mata? Sebenarnya bukan mudah untuk sebuah parti yang memerintah negara selama 56 tahun mempertahankan kedudukan. Oleh kerana kita dah dikenali dari segi perkhidmatan dan kepimpinan, apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan ia sentiasa relevan. Sekarang kita perlu memberi sokongan kepada Najib menerusi idea dan gerak kerja yang lebih baik. Ketika Perdana Menteri memperkenalkan transformasi dalam UMNO, kita perlu menjana usaha ke arah itu. Apakah Datuk Seri melihat pemilihan kali ini akan mengembalikan pengaruh dan kegarangan UMNO terutamanya dalam menangani isu rakyat kerana peranan itu kini banyak dilakukan oleh NGO? Semua ahli parti perlu ambil beberapa langkah berbeza berbanding dahulu. Ia bukan semata-mata mengenai lantang bersuara. Tidak ada makna lantang bersuara kalau masalah rakyat tidak dapat diselesaikan. Rintihan rakyat perlu diatasi. Kita boleh lantang menyuarakan masalah ini dan itu, tetapi apa penyelesaiannya? Ia jauh lebih bermakna jika masalah yang disuarakan itu dapat diselesaikan segera. Pemuda UMNO walaupun tidak bersuara lantang, mereka dapat memberikan pekerjaan kepada beribu-ribu belia di negara ini dan ini lebih besar pengertiannya. Saya yakin mereka yang mendapat pekerjaan itu bersyukur kerana dapat mencari rezeki. Kepimpinan yang bagaimanakah menjadi impian Datuk Seri? Kepimpinan yang saya yakin adalah penyatuan dan perpaduan kerana dalam mana-mana organisasi jika tiada perpaduan dan kesatuan, perjuangan tidak akan ke mana-mana. Kalau dalam perniagaan, pihak pengurusan akan berfikir bersama dan mereka bekerja bersama-sama. Di Amerika Syarikat, masalah ideologi politik antara parti Republikan dan Demokrat akhirnya telah menyebabkan ekonomi negara itu lumpuh. Yang menerima akibatnya ialah rakyat. Ini pengajarannya jika tiada perpaduan. Perpecahan dalam UMNO sendiri mengakibatkan muncul parti Semangat 46 yang kemudian membawa kepada kekalahan UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan dan Terengganu. Itu satu sejarah yang amat pahit pada kita. Jadi dalam melahirkan kepimpinan pada hari ini, harus ada keserasian dan kesepaduan untuk membolehkan kita bergerak dalam satu pimpinan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |