Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR WAKIL Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd. Razali Ibrahim (dua dari kanan) menyerahkan surat bantahan terhadap proses pengundian pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru kepada Bachok Nohong di Johor Bahru, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 14 Okt. - Dua calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru tampil membuat bantahan berhubung keputusan jawatan tersebut pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lalu, di sini semalam. Bantahan itu dikemukakan oleh Nornekman Osman dan Musbah Yusof melalui wakil mereka selepas tidak berpuas hati terhadap perkara yang berlaku sepanjang proses tersebut berlangsung yang dilihat tidak mengikut peraturan ditetapkan. Wakil Nornekman, Mohd. Syirazi Kamaludin berkata, antara perkara yang didapati tidak mengikut prosedur operasi standard adalah termasuk tiada ruang mengundi yang tertutup disediakan untuk para perwakilan membuang undi. Selain itu, katanya, terdapat juga beberapa individu bukan petugas rasmi berkeliaran di kawasan mengundi. "Ada juga perwakilan yang menerima gangguan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada calon-calon yang bertanding dan perkara ini menimbulkan keraguan kerana ia mampu mempengaruhi mereka yang sedang menjalankan proses pengundian. "Selain itu, bilik pengiraan undi juga tidak dikawal dengan baik kerana ada individu tidak berkenaan ke situ sepanjang tempoh pengiraan undi berlangsung," katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini semalam. Surat bantahan tersebut diserahkan kepada Pegawai Khas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Bachok Nohong. Pada pemilihan itu, Syaiful Rizal Abdul Ghani diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru yang baharu selepas memperoleh sebanyak 160 undi, menewaskan Nornekman (88), Musbah (61) dan Mohd. Tom Ghadafi Anwary (10). Sementara itu, wakil kepada Musbah, Mohd. Razali Ibrahim berkata, terdapat juga calon yang bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda bahagian itu menerima undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir. "Jumlah undi yang diterima calon berkenaan adalah sebanyak 353 undi sedangkan jumlah perwakilan yang hadir adalah 336 orang. Justeru, kami berharap agar Badan Perhubungan UMNO negeri dapat menyiasat perkara ini secara terperinci dan memberikan jalan penyelesaian terbaik," katanya. |
Kerajaan negeri kaji semula caj menyelam Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT TEE Siew Kiong (lima dari kiri) dan Siegfried Boerst (tiga dari kanan) bersama anak-anak yatim pada Majlis Sumbangan Tiket Legoland di Nusajaya, Johor, baru-baru ini. NUSAJAYA 15 Okt. - Kerajaan negeri bercadang mengkaji semula kadar yuran aktiviti menyelam sebanyak RM200 sehari yang dikenakan terhadap kepada seorang penyelam bermula 1 September lalu kerana disifatkan oleh segelintir pihak sebagai membebankan dan boleh membantutkan aktiviti tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di sini telah menerima lebih 20 aduan menerusi e-mel serta surat daripada pemain industri menyelam dan ejen pelancongan tempatan dan Singapura tentang perkara tersebut. Beliau berkata, rentetan aduan berkenaan, dua mesyuarat bagi membincangkannya telah diadakan dengan melibatkan beberapa pihak termasuk wakil agensi pelancongan, Persatuan Pengusaha Bot Mersing serta beberapa wakil agensi lain. "Pada sesi tersebut, pihak industri dan masyarakat setempat telah sebulat suara untuk memohon agar kerajaan negeri menimbang bagi mengurangkan kadar yuran aktiviti menyelam kepada hanya RM20 seorang bagi tempoh sepanjang lawatan ke pulau yang terlibat. "Hasil perbincangan tersebut, kita kini sedang mengumpulkan segala cadangan mengenai kadar yuran berkenaan dan akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk diputuskan," katanya selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Legoland Malaysia, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Legoland Malaysia, Siegfried Boerst; Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland, M. Thila; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Johor, Mohammad Isa Abdul Halim dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Hafiz Ahmad. Siew Kiong berkata, tindakan mengenakan yuran untuk memasuki taman-taman negara di negeri ini iaitu sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung tempatan dan RM25 kepada warga asing adalah merupakan salah satu usaha untuk memulihara warisan alam semula jadi dasar laut termasuk terumbu karang. Beliau berkata, usaha memelihara hidupan laut itu turut menggariskan bahawa sebarang aktiviti seperti kelas menyelam tidak digalakkan di kawasan laut kerana boleh merosakkan terumbu karang sedia ada yang memerlukan 100 tahun untuk tumbesaran. Mengenai program CSR Legoland Malaysia, Siew Kiong berkata, sebanyak 15,000 tiket yang keseluruhan bernilai RM1.5 juta akan diedarkan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim dan masyarakat kurang berkemampuan di negeri ini sekali gus memberi ruang kepada mereka merasai keseronokan di taman tema itu. "Program CSR itu akan dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula Oktober hingga 15 November dan fasa kedua mulai Januari hingga Februari depan. Kerajaan negeri melalui kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti seramai 13,423 golongan yang memerlukan terpilih untuk program ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |