Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Kontraktor perlu penuhi syarat Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pasukan pemantau itu juga bertanggungjawab mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan bertindak terhadap kontraktor yang tidak mengikut piawaian termasuk dihalang daripada menerima tender pembinaan pada masa depan. "Banyak kemudahan di ibu kota tidak memenuhi standard yang dihasratkan dari segi ketahanan, material dan reka bentuk. "Sudah sampai masanya kita buat penekanan bersungguh-sungguh dalam memastikan kemudahan yang dibina tahan lasak dan berkualiti kerana masyarakat amat prihatin tentang kualiti kemudahan yang digunakan mereka," katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012 semalam yang memaklumkan empat daripada lima projek kemudahan rekreasi di sekitar bandar raya Kuala Lumpur gagal disiapkan mengikut jadual asal. Menurut laporan tersebut, bagi tempoh 2010 hingga 2012, sebanyak RM182.79 juta telah diperuntukkan bagi pengurusan projek kemudahan rekreasi dan hanya sejumlah RM123.32 juta atau 67.5 peratus dibelanjakan hingga Disember 2012. Pengauditan yang dijalankan, menurut laporan itu, mendapati prestasi fizikal empat daripada lima projek yang diaudit kurang memuaskan kerana gagal di siapkan mengikut jadual asal dan kontraktor terlibat telah diluluskan antara satu hingga tiga lanjutan masa, melibatkan tempoh antara 174 hingga 617 hari. "Selain itu, pengurusan lima projek ini juga kurang memuaskan kerana terdapat kelemahan seperti siasatan ataupun penilaian awal tapak projek tidak dilakukan. Projek yang telah disiapkan masih tidak dapat diguna atau dinikmati orang awam, selain pelaksanaan projek tidak mengikut terma, syarat dan spesifikasi kontrak. "Malah, JLR (Jabatan Landskap dan Rekreasi, DBKL) didapati tidak menggunakan sepenuhnya Garis Panduan Landskap, Jabatan Landskap Negara dan peraturan lain yang berkaitan sebagai panduan untuk mempraktikkan amalan terbaik. JLR tidak menyelenggarakan rekod inventori aset hidup dan tidak menguruskan penyenggaraan landskap serta kemudahan rekreasi dengan memuaskan," jelas laporan itu lagi. Mengulas lanjut, Ahmad Phesal berkata, peningkatan kualiti kerja akan dilaksanakan melalui Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) DBKL dengan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan SIRIM Berhad dalam proses untuk dimuktamadkan. "Semua langkah ini diyakini dapat menyelesaikan masalah projek DBKL yang tidak sempurna pada masa hadapan," katanya. |
Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI CYBERJAYA 3 Okt. - Tidak padan dengan namanya, kawasan NeoCyber di sini kelihatan lebih baik sedikit daripada kawasan setinggan. Hanya bangunan yang indah dan tersusun membezakannya dengan penempatan yang kebiasaannya sesak dan kotor itu. Sikap dan mentaliti sesetengah penghuninya tidak ubah dengan mereka yang menghuni setinggan atau berada di negara dunia ketiga. Masalah paling teruk berlaku di sekitar Avenue Biz 2, kerana sampah dibuang merata-rata dengan di sana sini sesuka hati. Sampah yang berlonggok dan mengeluarkan bau yang meloyakan sehingga menimbulkan pemandangan yang sangat menjijikkan. Ini menyebabkan mereka yang bekerja di beberapa premis perniagaan dan syarikat yang beroperasi di situ bukan sahaja terpaksa menanggung bau busuk sampah setiap hari tetapi menanggung malu setiap kali menerima kehadiran pelanggan atau pelawat. Pasti pengunjung kurang senang dan mempunyai pelbagai tanggapan buruk terhadap kawasan itu serta mereka yang bekerja di situ sebaik sahaja terpandang longgokan-longgokan sampah tersebut. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati longgokan sampah yang benar-benar mencacatkan pemandangan itu merupakan sampah lama dan baru yang terbiar, tidak dikutip dan tidak dibersihkan. Difahamkan sampah basah dan busuk ini merupakan sisa-sisa makanan yang dibuang begitu sahaja oleh pekerja restoran-restoran berdekatan. Terdapat hampir 10 buah restoran di situ dan tidak mustahil kebanyakan daripada pekerja-pekerja restoran itu membuang sisa-sisa makanan di kawasan itu. Ada juga yang dibuang oleh orang luar di kawasan itu. |
'Kami yang tanggung malu' - Pekerja Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT SEORANG lelaki yang disyaki pekerja sebuah restoran sedang membuang sampah di tepi jalan di NeoCyber, Cyberjaya yang dirakamkan baru-baru ini. CYBERJAYA 3 Okt. - Salah sebuah syarikat di NeoCyber, Prestariang Berhad adalah antara yang teruk menjadi mangsa terhadap pembuangan sampah secara sesuka hati oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan itu. Ketua Pegawai Kewangan Syarikat Prestariang Berhad, Abdul Razak Bakrun berkata, masalah itu tidak akan timbul sekiranya orang ramai mempunyai disiplin manakala pihak berkenaan mengutip sampah mengikut jadual dan tata kerja. "Masalahnya mereka tidak membuang sampah ke dalam tong-tong sampah yang disediakan. Tong sampah yang sudah penuh pula tidak diuruskan oleh pihak berkenaan. "Jadi kami yang berjiran dengan longgokan sampah ini yang jadi mangsa, tetapi soalnya sampai bila kami terpaksa menanggung bau busuk dan pemandangan yang sangat menjijikkan ini?," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui. Abdul Razak berkata, pada peringkat awal syarikatnya beroperasi di situ pada tahun 2009, tidak timbul masalah seperti yang berlaku pada hari ini kerana ketika itu belum banyak syarikat dan restoran yang beroperasi di situ. "Tetapi lama kelamaan apabila semakin banyak premis perniagaan beroperasi di sini, masalah sampah mula timbul, terutama sejak tahun lalu hingga hari ini," katanya. Menurutnya, pihaknya telah beberapa kali, iaitu dari Februari hingga Jun lalu mengadu kepada pihak berkuasa tempatan mengenai masalah itu, termasuk meminta kerjasama pihak pengurusan NeoCyber. "Walaupun telah menerima jawapan bertulis yang begitu positif tetapi semuanya tidak diterjemah dalam bentuk tindakan. "Pihak berkuasa tempatan pula hanya bersikap lepas tangan dengan memberitahu bahawa syarikat kontraktor mengutip sampah akan bertanggungjawab membersihkan sampah-sampah tersebut, tetapi sehingga hari ini satu bayang lori sampah pun tidak kelihatan," katanya. Tegas beliau, masalah itu sedikit sebanyak menjejaskan imej dan perniagaan syarikatnya pada mata pelanggan dan orang ramai. "Tetapi yang lebih teruk, masalah ini sangat menjejaskan reputasi Cyberjaya dan NeoCyber sendiri yang begitu dibanggakan kononnya sebagai hab ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) antarabangsa," katanya. Beliau sangat berharap agar pihak berkenaan segera mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah itu. "Semua kerja-kerja mengutip sampah dan membersihkan kawasan ini hendaklah dibuat sebelum 8 pagi setiap hari. Lebih baik lagi jika tempat pembuangan sampah ini dipindahkan sahaja ke tempat lain yang lebih sesuai, bukan di sini yang berdekatan dengan jalan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |