{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Wan Yean didakwa lagi di mahkamah

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Setelah didakwa dengan 19 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, wanita yang merupakan pengarah syarikat Ng Advantage Sdn. Bhd. (NASB) yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva (M) Sdn. Bhd. (GMSB) hari ini dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini atas 82 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM931.7 juta, dua tahun lalu.

Ng Wan Yean, 29, yang juga anak kepada penasihat perniagaan GMSB, Datuk Ng Poh Weng mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam, wanita itu didakwa atas 19 pertuduhan sama melibatkan RM1.1 juta.

Poh Weng, 63, bersama dua lagi anaknya yang masing-masing merupakan pengarah dan pengarah eksekutif syarikat NASB, Ng Wan Yee, 34 dan Ng Yee Yaw, 32, telah dihadapkan ke mahkamah pada hujung bulan lalu atas tuduhan serupa.

Pada prosiding hari ini, Wan Yean sebagai pengarah syarikat NASB didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima sejumlah RM931.7 juta hasil aktiviti haram melalui cek-cek daripada akaun GMSB di CIMB Islamic Bank Bhd. ke dalam akaun milik NASB di RHB Bank Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Bhd., Jalan Tun H.S. Lee, di sini antara Januari 2011 dan Ogos 2012.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun jika mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga memohon agar kes berkenaan dibicara bersama-sama kes yang melibatkan Wan Yean di Mahkamah Sesyen Shah Alam serta kes-kes yang melibatkan bapa, kakak dan abang tertuduh.

Peguam bela, A.S. Dhaliwal yang mewakili wanita itu pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja berikutan syarikat terlibat telah pun menutup operasi selain telah membayar wang jaminan RM80,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan serta membenarkan kes itu dibicara bersama-sama kes lain yang melibatkan ahli keluarga tertuduh.

Beliau turut menetapkan sebutan kes pada 27 November ini dan perbicaraan bermula 7 hingga 24 April tahun depan.

Pada 27 September lalu di Mahkamah Sesyen di sini, Poh Weng didakwa atas 155 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan memiliki, memindah, menerima dan memperoleh wang berjumlah RM1.5 billion hasil aktiviti haram dan menerima deposit tanpa lesen.

Pada 30 September pula, kakak dan abangnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam masing-masing atas 82 dan 19 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram yang berjumlah RM937 juta dan RM1.1 juta.

Perogol bersiri tidak sanggup lagi ditahan dalam lokap

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

IPOH 8 Okt. - Seorang perogol bersiri yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan cuba rogol, merayu dibebaskan dengan jaminan kerana sudah tidak sanggup lagi berada dalam lokap.

Sambil memandang seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan yang didakwa isterinya, tertuduh, Malek Ridzuan Asroll, 27, (gambar) menyatakan, dia akan memohon bantuan adiknya untuk menjaminnya keluar.

''Saya memohon supaya dibenarkan untuk diikat jamin. Saya sudah tidak sanggup lagi tinggal di sini (penjara).

''Isteri saya juga sedang mengandung dan akan bersalin tidak lama lagi,'' katanya sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Kamaludin memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Jelas Norhafizah, selain pertuduhan rogol dan cuba melakukan persetubuhan luar tabii di mahkamah itu, tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan lain iaitu dua cubaan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii di dua buah mahkamah sesyen lain.

''Pegawai penyiasat memaklumkan tertuduh merupakan perogol bersiri. Selain tuduhan berkenaan, dia juga akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah dan Kampar atas empat lagi pertuduhan iaitu melibatkan kesalahan menyamar polis, mencuri telefon bimbit serta melakukan ugutan terhadap mangsa.

''Lagipun tertuduh tidak mempunyai sebarang pengenalan diri serta surat beranak. Mohon jaminan tidak dibenarkan,'' ujar Norhafizah.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.

Keputusan sama turut dibuat oleh Hakim Madihah Harullah sementara Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Malek Ridzuan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 12 dan 15 November ini untuk sebutan semula semua kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang pekerja kedai kasut berusia 15 tahun kira-kira pukul 9.50 malam, 11 September lalu di tepi Jalan Tanah Adat Mandailing di belakang Kelab Clearwater Sanctuary dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, Malek Ridzuan didakwa cuba melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di antara pukul 10 pagi dan 10.05 pagi, 21 September lalu di ladang ternakan itik, Taman Alam Kinta, Kota Bahru di sini.

Dia juga didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar tingkatan lima kira-kira pukul 9.25 pagi dan 10.15 pagi, 25 September lalu, juga di Tanah Adat Mandailing di sini.

Pada 29 September lalu pula, dia didakwa cuba merogol seorang wanita berusia 30 tahun di kawasan hutan sebelah Taman Burung di Kampung Pisang dekat sini.

Semua pertuduhan tersebut di kemukakan oleh Norhafizah dan dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Yasser Mohd. Nasir serta Siti Nora Sharif mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Sementara di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Malek Ridzuan turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon milik mangsa berusia 30 tahun itu di tempat sama kira-kira pukul 9 malam, 29 September lalu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat