Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH Ahli akar umbi DAP Kedah bersama beberapa bekas pemimpin parti itu (depan, dari kiri) Tan Yen Chai, Law Theng Hooi dan Zainol Endut mengadakan bantahan berhubung tindak-tanduk kepemimpinan pusat parti berkenaan di Alor Setar, semalam. ALOR SETAR 11 Okt. - Ahli akar umbi DAP Kedah mendesak pucuk kepemimpinan tertinggi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu memberi penjelasan tentang tindakannya membubarkan jawatankuasa DAP negeri yang dilantik pada 2010 dan membentuk jawatan kuasa interim. Bekas Bendahari DAP negeri, Law Theng Hooi berkata, jawatan penyandang organisasi asal DAP negeri diambil alih begitu sahaja oleh Jawatankuasa Interim DAP Kedah dan sehingga kini ahli akar umbinya belum menerima sebarang penjelasan tentang tindakan berkenaan. Berikutan itu katanya, mereka menganggap Jawatankuasa DAP Kedah dipengerusikan oleh Lee Guan Aik masih mewakili organisasi kepimpinan parti tersebut yang sah di negeri ini. Selain itu, menurutnya, pemilihan semula CEC DAP yang diadakan bulan lepas belum disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) manakala ramai ahli di cawangan-cawangan DAP negeri tidak berpuas hati kerana pucuk kepemimpinan CEC tidak mengikut perlembagaan dalam parti. "Perlembagaan DAP mengatakan CEC berhak untuk membubar dan mengambil alih jawatankuasa negeri jika merosakkan nama baik atau kepentingan parti. "Setakat hari ini, kita belum menerima penjelasan mengapakah Jawatankuasa DAP Kedah dibubarkan. Mana boleh diubah tanpa sebab?" katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sidang akhbar itu turut dihadiri kira-kira 30 ahli akar umbi DAP di negeri ini bagi menyatakan sokongan kepada jawatankuasa asal DAP negeri yang turut berhimpun secara aman sebagai bantahan. Mereka memegang sepanduk, antaranya tertera tulisan CEC Tidak Hormat Perlembagaan Parti, Kami Tolak Jawatankuasa Interim, ROS Masih Tidak Mengesahkan Kesahihan CEC dan Kami Tetap Sokong Saudara Lim Guan Aik Sebagai Pengerusi DAP Kedah Yang Sah. Sebelum ini, DAP negeri dilaporkan dilanda kemelut apabila wujud dua kepemimpinan susulan pelantikan jawatankuasa interim yang dipilih oleh CEC parti itu. Theng Hooi yang juga Naib Pengerusi DAP Cawangan Taman Kristal di sini berkata, pihaknya mahu ROS menyiasat dan menentukan siapakah Jawatankuasa DAP Kedah yang sah, sama ada dilantik semasa mesyuarat agung tahunan parti itu pada 2010 atau yang dipilih oleh CEC. Sementara itu, bekas Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kedah, Tan Yen Chai mendakwa, terdapat pemimpin pusat parti itu yang menyalahgunakan kuasa dengan menipu dan mengelirukan ahli-ahli CEC untuk mengambil alih suruhanjaya DAP negeri tanpa sebarang surat tunjuk sebab. Katanya, CEC juga tidak mengikut prosedur yang ditetapkan perlembagaan parti itu untuk memulakan siasatan terlebih dahulu. "Ini adalah satu konspirasi politik, kita pasti mempunyai seorang pemimpin Pusat yang berniat untuk mengembangkan wilayah politik peribadi bagi membuka jalan untuk sesi pilihan raya parti (AGM 17) akan datang," katanya. Yen Chai yang mempersoalkan sama ada DAP masih mengamalkan demokrasi turut mendakwa, lebih 30 permohonan penubuhan cawangan baharu diserahkan kepada Pejabat Organisasi DAP Pusat oleh jawatankuasa DAP negeri, namun lebih 10 permohonan ditolak dengan pelbagai sebab. Dakwanya, salah satu permohonan cawangan baharu di sini yang terdiri daripada semua ahli Melayu telah diserahkan kepada Pejabat Organisasi DAP Pusat tetapi lebih daripada setahun tidak dibalas. "Kami terkejut dengan jawapan yang diberikan iaitu sudah lupa dan menyimpan fail itu di dalam laci," katanya. Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi DAP Kedah, Zainol Endut berkata, pelantikan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menerajui Jawatankuasa Interim DAP Kedah bertujuan mengeliru dan menarik sokongan orang Melayu di negeri ini. Katanya, jika pengurusan tertinggi DAP mahu memberikan jawatan itu kepada orang Melayu, dia merupakan antara calon paling layak kerana dia ialah orang Melayu tulen, mempunyai jawatan dalam parti dan dilantik oleh akar umbi. "'Mengapakah hendak membawa Zairil Khir dari Pulau Pinang ke negeri ini? Kita hendak pimpin rakyat kenalah orang tempatan, itu yang terbaik," katanya. |
Soi Lek minta Tiong Lai tidak tanding Presiden MCA Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT KUALA LUMPUR 11 Okt. - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menasihati timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk tidak bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti bagi memberi peluang kepada generasi baharu untuk menerajui kepemimpinan parti. Beliau yang sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding menyifatkan Tiong Lai sebagai seorang yang lemah dan tidak sesuai untuk memimpin parti. "Beliau perlu bersama-sama dengan saya untuk tidak bertanding kerana beliau tidak ada pendirian dalam membuat keputusan. Beliau hanya tahu mengelak dan mudah dipengaruhi oleh kata-kata daripada orang luar parti. "Saya tahu, sebab saya sudah bersama dengannya selama empat tahun dan amat memahami keperibadiannya," katanya dalam sidang media di Wisma MCA di sini hari ini. Soi Lek berkata, Tiong Lai sepatutnya memberi laluan kepada generasi muda untuk memimpin parti jika beliau sayangkan parti. "Kami semua sayangkan parti lebih daripada jawatan parti. Jika beliau juga sayangkan parti dan mahukan masa depan parti yang lebih cerah, beliau harus tidak bertanding jawatan Presiden. "Lagipun saya yakin orang muda tidak akan membawa budaya berpuak-puak dalam parti sehinggakan menyebabkan konflik dalaman yang berpanjangan," katanya. Katanya, pucuk pimpinan MCA seharusnya 'dimudakan' supaya dapat berinteraksi dengan pengundi muda yang dijangka akan semakin bertambah sebanyak tiga juta orang menjelang 2014. "Oleh itu, perlunya kami memberi laluan kepada orang muda untuk menerajui parti untuk mendapat sokongan lebih daripada pengundi muda yang semakin ramai," katanya. Beliau juga turut menyebut beberapa pemimpin muda yang berpotensi untuk memudakan kepimpinan parti antaranya Naib Presiden, Gan Ping Sieu; Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan anggota Jawatankuasa Pusat, Datuk Chua Tee Yong. Sementara itu, Soi Lek turut menggesa semua anggota untuk menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 20 Oktober ini bagi mengubah resolusi parti sebelum ini yang tidak menerima jawatan dalam kerajaan. Katanya, resolusi itu perlu diubah dengan segera memandangkan jawatan di peringkat negeri seperti Ketua Kampung, Anggota Lembaga Hospital serta Anggota Majlis Daerah masih kosong. "Hal ini kerana selama ini anggota kami yang memegang jawatan ini banyak membantu masyarakat Cina setempat menyelesaikan masalah mereka sama ada dari segi bantuan pinjaman buku teks anak-anak sehingga ke urusan pembelian tanah yang perlukan tandatangan daripada mereka. "Oleh itu jawatan-jawatan di peringkat itu perlu diisikan segera dalam satu tempoh tertentu dan jika tidak, jawatan-jawatan itu akan diisikan oleh orang lain maka anggota kami tidak ada peluang untuk menjawatnya seterusnya tidak dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk kaum Cina," katanya. - BERNAMA MCA akan mengadakan EGM bagi memutuskan sama ada anggota parti dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan juga untuk menegur sikap Liow. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |