{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Politik

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Politik


Pasukan pemacu kejayaan

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua ahli parti dan rakyat memberi peluang kepada barisan kepemimpinan parti yang dipilih untuk bersama-sama berganding bahu dengannya serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pasukan yang mantap ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Sambil menganggap barisan itu terhasil daripada pemilihan yang cukup matang oleh 146,000 perwakilan, beliau turut meminta setiap pemimpin dipilih akan memenuhi amanah dan tanggungjawab seperti diharapkan oleh para perwakilan.

Beliau juga mengingatkan pemilihan UMNO hanyalah sekadar pertandingan dalam keluarga yang diharapkan tiada istilah kalah atau menang.

Berikut adalah transkrip penuh sidang akhbar Najib yang dihadiri oleh wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD dan MOHD. ASRON MUSTAPHA bersama 50 wartawan lain di IOI Golf Resort, Putrajaya, semalam.

SYUKUR alhamdulillah UMNO telah menyelesaikan proses pemilihan dengan baik dan sempurna lewat malam semalam.

Seperti mana kita ketahui, proses transformasi dalam UMNO telah kita mulakan perjalanannya pada 2009 dengan hasrat untuk memberi suara yang lebih kepada pemimpin di peringkat akar umbi dan suara yang lebih itu telah dimanifestasikan melalui proses pemilihan melibatkan hampir 150,000 ahli UMNO. Mereka diberi hak untuk memilih pemimpin-pemimpin tertinggi dalam parti.

Saya anggap proses ini telah berjaya sebab ahli UMNO secara menyeluruh telah menunjukkan sifat yang begitu matang dalam proses pemilihan ini dan telah berlaku dalam suasana yang begitu terkawal. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh dan juga telah mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan.

Saya ingin ucapkan tahniah kepada mereka yang menang iaitu bagi jawatan Naib Presiden dan juga jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT). Kita sudah ketahui siapa mereka dan saya percaya semua pemimpin ini sama ada Naib Presiden atau MT dapat membantu saya dan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dalam kami melunaskan tanggungjawab bersama sebagai satu pasukan yang mantap, sebagai satu pasukan yang telah dipilih oleh suara parti, suara teramai.

Kita sepatutnya menerima pemimpin ini sebagai pilihan ahli parti di peringkat akar umbi dan seterusnya kita mesti menunjukkan bahawa kita mampu untuk pertama, memenuhi amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan atas bahu kita sebagai pemimpin.

Kedua, mengingatkan bahawa UMNO adalah sebuah parti bukan sahaja untuk ahli UMNO tetapi untuk rakyat keseluruhannya dan kita beriltizam menjayakan agenda induk kita bukan sahaja mengukuhkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menjayakan matlamat perjuangan UMNO tetapi agenda nasional juga yakni bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Kepada yang tidak berjaya, saya harap mereka akan meneruskan perjuangan. Kepada yang berjaya, hulurlah tangan persahabatan kepada semua dan saya berharap tidak ada istilah kalah menang. Pada hakikatnya kita perlu meneruskan perjuangan kita mengikut kemampuan masing-masing.

WARTAWAN: Sebelum ini UMNO telah dilihat sebagai sebuah parti yang sedang melalui proses transformasi, antaranya mahu memberi peluang kepada muka-muka baharu namun, pada pemilihan kali ini didapati pemimpin yang sama menjadi pilihan perwakilan, antaranya jawatan Naib Presiden. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Proses transformasi telah pun kita mulakan dengan pindaan Perlembagaan parti. Transformasi juga bererti kita ada agenda transformasi untuk negara. Soal utamanya sama ada pasukan yang dipilih oleh akar umbi ini mampu melaksanakan agenda ini. Jawapannya mereka komited dan saya percaya pasukan ini mampu menterjemahkan agenda transformasi ke arah negara maju. Insya-Allah kita mampu lakukan perkara ini.

Soal pemimpin yang ada dan yang baharu dan sebagainya, kita ada pilihan. Misalnya sebagai Presiden parti, saya ada kuasa untuk melantik ahli-ahli tambahan dalam MT dan sebahagian daripada mereka yang akan dilantik nanti akan mencerminkan apa yang dikehendaki oleh rakyat dan ahli parti.

Mengenai saingan sengit antara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Itu sudah dijangkakan sebab dalam proses pemilihan kali ini begitu terbuka. Oleh itu, apabila diserahkan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi sudah tentu akan ada tokoh yang popular dan sudah tentu akan ada persaingan. Saya anggap Datuk Mukhriz telah menunjukkan prestasi yang begitu menggalakkan walaupun baharu. Beliau mengumumkan hasrat untuk bertanding agak lewat tetapi telah menunjukkan yang beliau mempunyai sokongan yang baik di dalam parti.

Ada mesej tertentu yang cuba disampaikan oleh perwakilan melihat kepada kesukaran Hishammuddin mempertahankan jawatan?

NAJIB: Ya, itu persaingan antara tokoh yang popular. Jadi bila ada tokoh popular, ada pihak yang sokong Hishammuddin dan ada yang sokong Mukhriz. Itu kita anggap satu persaingan yang sihat dalam parti iaitu sebagai satu pertandingan dalam keluarga parti UMNO.

Memandangkan jumlah undi popular Mukhriz lebih tinggi daripada Hishammuddin. Apa yang Datuk Seri boleh lihat dalam perkara ini?

NAJIB: Sistem kita adalah sistem electoral college yang bertujuan mengimbangi bahagian yang besar dan bahagian yang kecil. Sebab itu kita gunakan electoral college. Itu sistem yang telah kita pilih. Jadi kita perlu patuh pada sistem ini yang kita fikir sistem ini merupakan sistem yang seadil mungkin.

Adakah Mukhriz akan dilantik sebagai MT?

NAJIB: Soal pelantikan itu diberitahu kemudian.

Adakah barisan kepimpinan ini merupakan pasukan yang berkemampuan untuk berhadapan dengan cabaran Pilihan Raya Umum Ke-14?

NAJIB: Mereka yang menang ini telah dipilih oleh kira-kira 150,000 perwakilan. Kita perlu menghormati pilihan tersebut. Pemilihan mereka bukan seperti yang berlaku sebelum ini yang hanya melibatkan 2,500 perwakilan. Walau apa pun, saya akan mengukuhkan lagi barisan kepimpinan dengan melantik beberapa pemimpin menganggotai MT dan diharap akan memberi kesan dalam usaha kita untuk mengukuhkan parti.

Ada juga yang menyatakan pemilihan kali ini tidak mencerminkan proses transformasi parti yang sebenar?

NAJIB: Sebab itu saya kata paling penting sekali ialah agenda transformasi untuk negara kita. Itu yang paling pokok. Bukan semestinya kita ganti pemimpin sedia ada dengan pemimpin baharu. Persoalannya sekarang ialah kemampuan pasukan ini untuk melaksanakan agenda transformasi bagi negara. Berilah peluang kepada pasukan ini membuktikan kewibawaan.

Ada dakwaan yang mengatakan Datuk Seri campur tangan di dalam pemilihan kali ini?

NAJIB: Tidak ada. Ini melibatkan 150,000 perwakilan. Bagaimana hendak saya campur tangan. Dalam bahagian saya, perwakilan berjumlah 950 orang. Kita tidak boleh paksa mereka. Lagi pun undi itu sulit. Apa pun pandangan, semua orang boleh beri pandangan di semua peringkat tetapi akhirnya undi itu undi sulit. Undi itu hak setiap perwakilan.

Adakah selepas ini akan ada rombakan Kabinet?

NAJIB: Belum ada.

Kemenangan calon wanita di dalam MT dilihat begitu kurang. Komen Datuk Seri?

NAJIB: Kita tidak boleh dapat keputusan yang mampu memuaskan hati semua pihak. Sebab itu Perlembagaan memberi kuasa kepada Presiden parti untuk melantik anggota tambahan. Saya akan berbincang dengan Timbalan Presiden supaya kita dapat melihat cara mana kita boleh mengukuhkan parti kita melalui pelantikan tambahan ini.

Sehingga lewat malam tadi kita lihat suara UMNO Selangor tiada di dalam MT. Reaksi Datuk Seri?

NAJIB: Bagaimana hendak kita kira. Perwakilan yang mengundi itu datangnya dari Perlis sehingga Semporna (Sabah). Dia akan fikir siapa calon yang dia hendak. Dia tidak dapat pilih ikut negeri. Dia pilih mengikut pemimpin yang dia suka atau pemimpin yang dianggap sebagai layak.

Mungkin juga ada kaitan dengan keputusan pada PRU-13 di Selangor?

NAJIB: Banyak faktor dalam soal pemilihan ini. Lagipun, Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor tidak bertanding.

EGM tolak resolusi cela Tiong Lai

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, KAMIL MASLIH dan ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Chua Soi Lek (kiri) dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha (dua dari kiri) dan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai (dua dari kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA menolak resolusi mencela Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekali gus memberi tamparan hebat kepada 'kem' Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

EGM yang dihadiri sebanyak 2,199 perwakilan itu menolak resolusi yang menyatakan Tiong Lai gagal menghormati keputusan bersama Majlis Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC) selain gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik selaku Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya Umum.

Dalam undian bagi resolusi pertama itu, sebanyak 1,190 perwakilan mengundi 'menguburkan' resolusi berkenaan manakala 965 perwakilan bersetuju.

Selain resolusi pertama, EGM itu juga menolak resolusi kedua membatalkan sepenuhnya resolusi yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2011 dan 2012.

Dengan keputusan itu, ahli MCA kekal dilarang menerima jawatan menteri, timbalan menteri dan sebarang jawatan Kabinet lain ekoran prestasi buruk parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Walau bagaimanapun, perwakilan meluluskan dua resolusi lain iaitu:

n Ahli parti boleh menerima pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara atau sebarang jawatan dalam kerajaan seperti Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan syarikat milik kerajaan (GLC).

n Ahli parti boleh menerima pelantikan jawatan di peringkat kerajaan negeri, Exco, Ahli Majlis, Ketua Masyarakat atau sebarang jawatan bersesuaian.

Pengumuman keputusan resolusi berkenaan dibuat Pengerusi EGM, Datuk Yip Phooi Hong.

Sementara itu, Soi Lek dalam kenyataannya mengharapkan semua pihak menghormati keputusan perwakilan dalam EGM tersebut.

"Saya menyeru semua pemimpin merapatkan kerjasama dan mengetepikan serangan peribadi sesama ahli parti.

"Saya juga berharap semua pemimpin parti berhenti menggunakan media sebagai platform menyerang sesama sendiri sehingga menjejaskan imej parti," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat