Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT Oleh Azman Anuar UMNO telah melepasi ujian peringkat pertama selepas menempa sejarah dalam sistem pemilihan sayap parti itu pada 12 Oktober (Sabtu) lalu. Peringkat kedua pula pada 19 Oktober ini. Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian yang membabitkan 183 calon telah menunjukkan UMNO bukan sekadar kuasa di tangan segelintir perwakilan sahaja. Lebih 230,000 perwakilan daripada ketiga-tiga sayap UMNO telah memilih pemimpin mereka dalam pelbagai peringkat - pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan ahli jawatankuasa. Pertandingan Pergerakan Wanita menyaksikan 52 calon bertanding bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap (2 calon), Ketua Pergerakan (3), Naib Ketua (3) dan ahli exco (44). Pertandingan Pergerakan Pemuda pula menyaksikan 94 calon merebut jawatan Pengerusi Tetap (3 calon), Timbalan Pengerusi Tetap (5), Ketua Pergerakan (5), Naib Ketua (4) dan ahli exco (77). Pergerakan Puteri, 37 calon bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Pengerusi Tetap (2), Ketua Pergerakan (2), Naib Ketua (3) dan ahli exco (30). Untuk pertama kali pemilihan UMNO mengguna pakai sistem electoral college. Sistem ini dilihat lebih adil berbanding sistem undi popular - satu ahli, satu undi - kerana jumlah ahli dalam bahagian tidak semuanya sama. Ada bahagian yang bilangan cawangannya banyak sudah tentu perwakilan yang layak membuang undi lebih ramai. Ini memberi kelebihan kepada bahagian berkenaan. Malah dibimbangi bahagian sedemikian jadi tumpuan kegiatan rasuah. Jadi sistem electoral college lebih baik digunakan di mana satu bahagian memiliki satu undi, dan ia lebih mencerminkan pandangan ahli mengikut bahagian secara menyeluruh. Syukur, setakat ini belum kedengaran aduan berlaku amalan rasuah. Ada atau tidak berlaku politik wang hanya diketahui oleh pelakunya sahaja. Banyak pihak terutama Presiden UMNO yang berusaha mentransformasikan politik parti itu berharap UMNO mampu mengekang budaya politik wang melalui mekanisme pemilihan ini. Jelas, setiap perwakilan sayap UMNO memanfaatkan peluang yang diberikan oleh parti dengan sebaik-baiknya untuk memilih individu yang benar-benar layak memimpin parti dan sekali gus UMNO dapat membendung gejala politik wang. Mereka bukan memilih calon tertentu disebabkan sogokan wang tetapi berdasarkan kewibawaan seseorang itu untuk menjadi pemimpin. Transformasi politik yang dilakukan pada 2009 dilihat berjaya mengekang politik wang dalam memilih pemimpin UMNO. Banyak ahli UMNO di peringkat akar umbi melihat pemilihan parti menggunakan kaedah baharu ini lebih demokratik. Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam, Zakaria Dullah, 3.5 juta ahli UMNO amat menghargai usaha Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengiktiraf dan membuka jalan seluas-luasnya terhadap tujuh perkara penting pada 2009 iaitu: 1. Perluasan jumlah perwakilan; 2.Penghapusan kuota untuk bertanding; 3. Penambahan bilangan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan lantikan; 4. Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO; 5. Penghapusan yuran tahunan; 6. Pendaftaran keahlian dipermudahkan; dan 7. Pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian. Zakaria yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berpendapat tujuh perkara yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Khas Pindaan Perlembagaan pada 2009 itu membolehkan lebih ramai terlibat memilih pemimpin serta proses yang cukup bebas untuk perwakilan membuat keputusan dan mengundi. "Pindaan itu selaras dengan hasrat meremajakan parti agar sentiasa segar dan lebih tersusun," jelas Zakaria. Pemerhati pemilihan UMNO, Mohamad Ghazali Zainal Abidin pula mengucapkan syabas kepada kepimpinan tertinggi UMNO kerana berani melakukan transformasi terutamanya terhadap sistem pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti baik di peringkat pusat mahupun di peringkat bahagian. "Perubahan drastik (pemilihan parti) yang dilakukan ini amat-amat bermakna bagi ahli UMNO seluruh negara kerana selama ini hanya beberapa ratus perwakilan sahaja yang dibenarkan untuk memilih pucuk pimpinan sayap UMNO. "Namun, kali ini hampir 230,000 ahli UMNO dari tiga sayap itu dapat memilih pucuk pimpinan dan pelapis yang akan menerajui negara," katanya yang merupakan ahli UMNO Tanjung Karang, Selangor. Beliau bagaimanapun mencadang agar transformasi yang dilaksanakan ini diperbaiki, terutama tempoh masa pengundian dijalankan dan ketika pengumuman keputusan yang mengambil masa terlalu lama untuk diumumkan. "Bagi saya, walaupun transformasi baru ini baik dan ia telah dilaksanakan bagi memberikan peluang kepada semua ahli UMNO memilih pemimpin yang terbaik, namun sistem 'Chai' iaitu senarai nama orang yang kena undi oleh perwakilan masih lagi digunakan untuk mengatur kepimpinan yang dikehendaki oleh segolongan kecil. "Ini kerana, peluang untuk perwakilan mengenali calon-calon yang bertanding adalah terhad dan ada sebahagian besar ahli masih tidak mengenali calon yang bertanding walaupun calon itu dilihat berwibawa. "Calon-calon juga tidak dapat menunjukkan kewibawaan masing-masing terutama 'ketika berhujah', kerana terhadnya peluang untuk mendekati perwakilan. Inilah antara perkara yang perlu dimasukkan untuk penambahbaikan pemilihan akan datang," kata Mohamad Ghazali . Apa pun pemilihan secara terbuka itu juga bukti UMNO adalah parti yang berlandaskan demokrasi dan bukan sekadar cakap kosong. Bukan seperti parti pembangkang yang gembar-gembur tentang reformasi partinya, tetapi tidak diaplikasikan. Satu lagi parti konon demokratik, namun kira undi pun boleh silap. Bila diadakan pemilihan semula, disekat pihak yang hendak bertanding dan tidak memanggil ahli hadir mesyuarat. Apabila ada pertandingan, sudah pasti akan ada yang kecewa dan tidak terima keputusan majoriti perwakilan UMNO. Maka akan ada kawan menjadi lawan. Kini adalah tugas Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Mas Ermieyati Samsudin bersama exco sayap Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing untuk mentautkan kembali hubungan dan elakkan permusuhan sesama ahli parti. |
Teladani madrasah pengembaraan rohani Posted: 13 Oct 2013 12:21 PM PDT Pandangan IKIM HARI ini (9 Zulhijjah) semua umat Islam yang mengerjakan ibadah haji berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum mabit di Muzdalifah dan bersedia untuk melontar. Beruntunglah kepada mereka yang berpeluang menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Bahkan ibadah haji ini merupakan antara amalan yang paling utama dalam Islam sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim: Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah ditanya, amalan manakah yang lebih utama? Baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan juga kepada Rasul-Nya. Kemudian baginda ditanya lagi. Selepas itu apa lagi? Baginda berkata, berjihad dijalan yang diredai Allah. Kemudian apa lagi? Baginda menjawab, mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur). Haji yang mabrur yakni haji yang mendapat kebaikan daripada Allah mendorong menjadikan manusia seperti dilahirkan semula hanya untuk membuat kebaikan. Bahkan mencipta kerinduan yang mendalam kepada Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam. Maka yang demikian itulah membezakan antara pangkat haji di pangkal nama dengan sahsiah diri yang terbina daripada ibadah khusus ini. Benarlah panggilan ke Tanah Suci merupakan jemputan Allah semata-mata. Namun sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha menzahirkan keinginan untuk meraih jemputan ini di sebalik segala halangan dan kesukaran. Halangan tidak hanya wujud dalam bentuk konflik diri sendiri, akan tetapi boleh wujud dalam bentuk kekangan zahir seperti bilangan jemaah haji yang dibenarkan setiap tahun yang jauh daripada kemampuan kita untuk mengatasinya. Ibadah haji adalah pengajaran kepada semua umat Islam merentasi umur, kemampuan mahupun peluang. Oleh yang demikian, bagi yang belum berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji sebenarnya boleh mengambil iktibar akan pengembaraan rohani ini dengan melihat konteks ibadah haji dengan lebih meluas. Pertama, ibadah haji mengikat manusia kepada fitrah yakni asal kejadian sebagai makhluk berakal yang berpegang kepada agama. Hal ini diterjemahkan dengan terbitnya rasa dan keinginan untuk menunaikan ibadah haji sekalipun tidak mengetahui sama ada berpeluang menunaikannya. Niat ini hadir setelah kita reda bahawa Islam sebagai cara hidup, Islam sebagai matlamat hidup dan bersedia melafazkan ikrar taat setia kepada Tuhan melalui ibadah yang khusus. Keinginan kepada kebaikan boleh tercetus kepada sesiapa walaupun kanak-kanak. Di sinilah peranan ibu bapa sebagai madrasah pertama untuk memberi kefahaman kepada anak-anak kecil tentang keindahan ibadah haji agar mereka dapat mempersiapkan diri seumur hidup untuk mencapai matlamat tersebut. Dalam perspektif yang berbeza, niat juga boleh diterjemah sebagai pengikat iman dan takwa kepada Allah. Iman manusia boleh meningkat dan menurun disebabkan oleh pengaruh sekeliling. Bahkan sebagai manusia yang hidup pada akhir zaman, iman kita tidak mungkin sekuat Nabi Ibrahim, setabah Siti Hajar mahupun seteguh Nabi Ismail. Iman kita ibarat pasir di pantai, andai dibiar ditarik ke laut, andai dilupa terdampar di pantai. Iman manusia yang lemah boleh membawa kepada kemaksiatan dan kemurkaan Allah. Begitu juga ilmu yang lemah dan tidak benar boleh mengakibatkan nafsu untuk merajai jiwa manusia. Begitulah juga ibadah haji yang bukan semata-mata melaksanakan rukun namun membawa manusia menyusuri satu perjalanan mencari keagungan Tuhan melalui ilmu yang benar dan keimanan yang tinggi. Kedua, melalui niat yang dizahirkan untuk menunaikan haji, manusia belajar bagaimana untuk mengetepi keinginan material yang sedia ada. Dalam konteks semasa, perjalanan ke Tanah Suci memerlukan manusia berkemampuan bukan dari segi fizikal dan rohani bahkan turut meliputi kemampuan material. Rangkuman material yang diperlukan juga bukan semata-mata ke atas perbelanjaan diri akan tetapi turut mengambil kira waris dan komitmen lain sepanjang ketidakberadaan diri bersama keluarga. Justeru dedikasi untuk menyimpan sebahagian wang secara konsisten amat penting bagi memenuhi hasrat ini seterusnya memujuk diri menolak kemahuan material lain yang boleh diperolehi andainya wang tersebut dibelanjakan. Ketiga, pengembaraan rohani ini membawa makna pengorbanan yang tinggi kepada manusia. Pengorbanan bukan semata-mata haiwan yang disembelih bermula pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik. Akan tetapi pengorbanan yang membawa kepada perubahan diri manusia. Hal demikian termasuklah pengorbanan untuk berusaha memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar, pengorbanan untuk menghargai insan yang menyumbang dalam kehidupan kita dan yang paling utama pengorbanan untuk memaafkan orang lain, juga memaafkan diri sendiri. Ibadah haji mengajar manusia untuk bergantung kepada Allah, menyerahkan segala-gala kepada-Nya dan bersedia menerima apa jua yang telah ditentukan. Sekalipun kita belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci hakikatnya kita tidak pernah terlepas untuk mengikuti madrasah pengembaraan rohani ini andainya bersedia untuk kita mengambil iktibar daripadanya. PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |