Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pesanan kepada wakil rakyat
- Mohd. Khalil seru rakyat terima PPPM
- Usia bukan penghalang untuk timba apa jua bidang ilmu - Mohd. Rahim
Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan memeriksa Barisan Kawalan Kehormat dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di Seremban, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID SEREMBAN 30 Sept. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mengingatkan semua Ahli Dewan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negeri dan negara. Titah baginda, Ahli Dewan perlu sentiasa memelihara, melindungi, menghayati dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. "Hormatilah Peraturan-Peraturan Tetap Dewan sepanjang persidangan berlangsung dan jadikanlah ia sebagai satu platform untuk mengemukakan hujah dan pandangan secara intelektual," titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13, di sini hari ini. Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat - Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin. Titah Tuanku Muhriz, setiap wakil rakyat hendaklah mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri berbanding kepentingan siasah dan ideologi parti yang dianggotai. "Adalah menjadi tanggungjawab Ahli Dewan yang telah diberikan amanah dan kepercayaan untuk sentiasa mengutamakan pembangunan masyarakat dan negeri, dengan bersama-sama menyumbang tenaga dan idea. Berkhidmatlah dengan ikhlas kepada rakyat, demi kebajikan dan kesejahteraan mereka," titah baginda. Baginda juga mengingatkan wakil rakyat tidak mempersia-siakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13. "Mandat tersebut adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan berkesan dan beta berharap semua wakil rakyat dapat bersama-sama menyumbang fikiran bagi memaju dan memakmurkan negeri ini. "Sebagai wakil rakyat, semua Ahli Dewan merupakan contoh ikutan kepada rakyat dan oleh itu, adalah penting untuk Ahli Dewan sekalian memelihara pekerti dan tutur kata supaya tidak menghiris perasaan rakyat yang telah memberikan mandat tersebut," titah baginda. Tuanku Muhriz bertitah, mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam negara yang mempunyai pelbagai agama dan adat budaya adalah satu tugas yang mencabar. Sehubugan itu, baginda mengingatkan semua pihak memelihara perpaduan, keamanan, keharmonian dan kesejahteraan dalam setiap tindakan. "Kecintaan kepada negara perlu terus disuburkan melalui tiga prinsip utama iaitu sikap penerimaan dan saling menghormati, penghayatan ke atas prinsip kenegaraan serta pembelaan terhadap golongan yang memerlukan. "Perpaduan perlu menjadi tonggak utama dalam menjayakan agenda pembangunan negeri," titah baginda. |
Mohd. Khalil seru rakyat terima PPPM Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT MELAKA 30 Sept. - Rakyat dinasihat menerima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 yang diperkenalkan kerajaan kerana pelan itu menjawab kepada segala kebimbangan pelbagai pihak dan ibu bapa terhadap keupayaan sistem pendidikan di negara ini. Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob (gambar) menegaskan, PPPM yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu merupakan pelan pendidikan yang telah dihasilkan begitu teliti, menyeluruh dan mencakupi semua aspek bagi memantapkan pendidikan sedia ada. Menurutnya, PPPM dirangka adalah untuk kepentingan rakyat yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan sistem pendidikan untuk mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran dan keperluan abad ke-21. "Saya menaruh harapan yang begitu tinggi agar PPPM ini menjadi tunjang kepada transformasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan di rantau Asia dan antarabangsa menjelang abad ke-21. "Sudah tentu pelan ini telah dihasilkan dengan begitu teliti dan menyeluruh serta mencakupi semua aspek yang dilaksanakan kementerian, universiti tempatan, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Negara dan suara rakyat di negara ini. "Pendekatan ini juga adalah satu usaha kerajaan bagi menarik pelajar asing ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dan seluruh Ahli DUN negeri. Sidang DUN yang dirasmikan hari ini akan berlangsung selama empat hari sehingga Khamis. Sebanyak 137 soalan bertulis dan 120 soalan lisan akan dikemukakan oleh ADUN untuk dijawab oleh pihak kerajaan. Sebanyak tiga usul pula akan dibentangkan pada persidangan kali ini termasuk usul terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri. Mengulas lanjut Mohd. Khalil menegaskan, PPPM adalah satu pelan yang komprehensif dengan pendekatan memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana sistem pendidikan terbaharu ini tidak lagi menekankan aspek pembelajaran semata-mata. |
Usia bukan penghalang untuk timba apa jua bidang ilmu - Mohd. Rahim Posted: 30 Sep 2013 11:46 AM PDT SEREMBAN 30 Sept. - Usia tidak sewajarnya dijadikan penghalang bagi seseorang individu untuk menimba ilmu demi memajukan diri dalam apa jua bidang yang diceburi. Pengarah Kolej Komuniti Jelebu (KKJ), Mohd. Rahim Mahmood berkata, tiada batasan umur ditetapkan bagi seseorang itu untuk menimba ilmu dan paling utama adalah minat, usaha serta komitmen yang diperlukan ke arah mencapai kejayaan. "Sebab itu, kita tidak menetapkan sebarang had umur dalam syarat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan di kolej ini. "Malah, kita mempunyai pelajar yang berusia mencecah 40 tahun mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di kolej ini, apa yang lebih penting sijil kemahiran yang diperoleh bakal diiktiraf untuk mencari pekerjaan bagi memenuhi pasaran kerja bagi pekerja berkemahiran yang amat tinggi masa kini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam raptai Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2013 di Hotel Royale Bintang, di sini hari ini. Sehubungan itu, Mohd. Rahim menyeru orang ramai yang berminat termasuk lepasan sekolah menengah untuk mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus di KKJ pada November ini. "Pada sesi pengambilan akan datang (November), kita menyasarkan 120 pelajar untuk mengikuti empat kursus yang ditawarkan di kolej ini. "Antaranya, sijil Pemprosesan Makanan, Teknologi Elektrik, Teknologi Pembinaan, serta Sistem Komputer dan Sokongan," katanya. Jelasnya lagi, selepas menamatkan kursus bagi tempoh 20 hingga 24 bulan, graduan mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat diploma. "Yuran yang dikenakan amat berpatutan iaitu hanya serendah RM200, malah KKJ turut menawarkan kemudahan yang kondusif termasuk asrama. "Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan ke arah melahirkan lebih ramai modal insan serta tenaga kerja berkemahiran di negara ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |