Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Bertaut kembali hadapi PRU - MB
- Lilah tidak merajuk gagal pertahan jawatan
- Tarik ramai Melayu jadi ahli UMNO agenda Abdul Ghafaar
Bertaut kembali hadapi PRU - MB Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL Mohamad Hasan Katanya, apa yang sudah dilalui pada 12 Oktober dan hari ini adalah satu proses mematangkan UMNO, malah apa yang berlaku itu tentulah mempertaruhkan kerja yang lebih kuat, semangat yang tinggi dan bersatu padu demi agama, bangsa dan tanah air. ''Selepas ini kita semua perlu bertaut kembali bagi merancang strategi menghadapi PRU-14. Bagi yang tewas, janganlah bersedih atau kecewa. ''Kita menawarkan perkhidmatan, pengalaman dan bakti. Ini merupakan proses pemilihan yang amat baik daripada yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar selepas berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, dekat sini malam semalam. Mohamad menang dalam pemilihan itu selepas memperoleh undian selesa sebanyak 679 undi daripada 799 perwakilan yang hadir pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau itu. Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menewaskan pencabarnya yang juga bekas Exco, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang mendapat, 108 undi. ''Buang persepsi jika tidak berjawatan, kita tidak boleh memberikan khidmat. Sebenarnya kita boleh melakukannya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja," jelasnya. Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada perwakilan UMNO Bahagian Rembau yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menerajui bahagian itu. |
Lilah tidak merajuk gagal pertahan jawatan Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT Lilah Yasin (kiri) bersalaman dengan Mohd. Salim (kanan) sambil diperhatikan Mustapha Nagoor (tengah) selepas pengumuman keputusan persidangan perwakilan UMNO bahagian dekat Dewan Pejabat Daerah Jempol, kelmarin. JEMPOL 20 Okt. - Datuk Lilah Yasin yang gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Jempol dalam pemilihan semalam tidak merajuk sebaliknya bertekad terus berjuang dan menabur bakti selagi terdaya. Pada masa yang sama, pemenang jawatan itu, Datuk Mohd. Salim Sharif tidak mahu menggunakan perkataan 'tewas' terhadap Lilah tetapi menganggap lawannya itu sebagai 'tidak terpilih' . Lilah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong berkata, beliau akur dengan keputusan yang dibuat oleh para perwakilan UMNO bahagian berkenaan malah sudah bersedia untuk menerima sebarang keputusan sejak mengumumkan mempertahankan jawatan tersebut sebelum ini. "Jangan bertanding jika kita takut dengan kekalahan, malah saya sudah bersedia sejak awal lagi. Saya akur dengan keputusan dan tidak kecewa. Meskipun tewas, ini tidak bermakna saya akan merajuk tetapi saya tetap akan berjuang dan menabur bakti dalam parti selagi terdaya. "Sudah lama saya dalam UMNO malah saya sangat sayangkan parti ini. Saya pilih UMNO kerana saya amat tertarik dengan agenda parti untuk orang Melayu. Pemilihan sudah berakhir dan sekarang adalah masa untuk semua ahli UMNO kembali bersatu di bawah ketua bahagian yang baharu," katanya. Sementara itu, Mohd. Salim berkata, perubahan kepimpinan dalam UMNO Jempol membuktikan ahli mahukan sesuatu yang baharu dan beliau kini menggalas tugas yang besar dalam membuat pembaharuan tersebut. "Antara perancangan ialah saya mahu golongan profesional muda menyertai UMNO dan seterusnya menyumbang tenaga dan idea dalam parti. Saya mahu UMNO menjadi sebuah parti yang bukan sekadar pandai bercakap tetapi kita mahu tunjukkan apa yang parti telah lakukan. "Saya juga mahu mengumpulkan golongan muda dari kawasan kampung dan Felda bersama pengundi muda di kawasan bandar. Golongan muda dari kampung dan Felda juga mempunyai jasa yang besar dalam UMNO dan mereka seharusnya diketengahkan," katanya kepada para pemberita selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jempol dekat dewan Pejabat Daerah Jempol semalam. Dalam persidangan tersebut, Mohd. Salim berjaya memperoleh 308 undi manakala Lilah hanya mendapat 192 undi. Bagi Timbalan Ketua UMNO, jawatan itu dimenangi oleh Datuk Shamsulkahar Md. Deli manakala Naib Ketua dimenangi oleh Mustapha Nagoor. |
Tarik ramai Melayu jadi ahli UMNO agenda Abdul Ghafaar Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT ABDUL Ghafaar Atan dijulang oleh perwakilan selepas diumum sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah di Institut Latihan Perindustrian, Selandar, Melaka, kelmarin. JASIN 20 Okt. - Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah yang baharu, Datuk Abdul Ghafaar Atan berazam menarik lebih ramai orang Melayu menyertai UMNO dan mendaftarkan mereka sebagai pemilih dalam usaha memperkuatkan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Katanya, sokongan daripada orang Melayu sangat penting supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menunjangi pentadbiran negara. ''Strategi awal saya ialah meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Gajah dengan melipatgandakan program parti bersama komuniti setempat," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Institut Latihan Perindustrian Selandar di sini malam tadi. Selain itu katanya, beliau akan menjalinkan kerjasama erat bersama barisan jawatankuasa yang baharu dan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda bahagian bagi mempergiatkan usaha mendekati orang Melayu dalam pembangkang khususnya Pas untuk 'memujuk' mereka menyertai UMNO. "Ini adalah strategi yang mesti kita kena buat jika masyarakat Cina tidak mahu balik semula kepada BN, India 50-50, kerana dengan kekuatan yang ada melalui usaha meningkatkan jumlah pengundi Melayu, tidak mustahil semua kerusi boleh ditandingi oleh UMNO," katanya. Dalam pemilihan itu, Abdul Ghafaar mengetepikan pencabarnya, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip dengan majoriti 135 undi. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri mendapat 362 undi manakala Ab. Wahab yang juga ADUN Durian Tunggal memperoleh 227 undi. Timbalan Pengerusi UMNO bahagian pula disandang oleh Rospandi Leman dengan undi sebanyak 307 dan Naib Pengerusi bahagian itu dimenangi oleh Ismail Ibrahim dengan mendapat undi sebanyak 344. Seramai 594 perwakilan dari 66 cawangan UMNO dalam bahagian itu hadir mengundi pada sesi pemilihan berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |