Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Aidiladha disambut meriah di Kelantan
- Sambutan secara sederhana di Terengganu
- Universiti Teknologi Mara Kelantan rai penuntut cemerlang
| Aidiladha disambut meriah di Kelantan Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD.MUTALIB ![]() SULTAN Muhammad Ke-V bersama Tengku Muhammad Fa-Iz Petra yang juga adinda baginda bersalaman dengan rakyat selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 15 Okt. - Hari Raya Aidiladha disambut meriah oleh umat Islam di seluruh negeri ini hari ini, yang dimulakan dengan mengunjungi masjid-masjid bagi menunaikan solat sunat. Ini diikuti dengan penyembelihan haiwan iaitu ibadah korban yang dilaksanakan bagi menandakan umat Islam sentiasa 'tunduk dan patuh kepada Allah'. Dalam pada itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V bersama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra yang juga adinda baginda menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Muhammadi di sini. Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dan pembesar-pembesar negeri. Baginda yang segak berpakaian jubah putih bersama adindanya itu kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata sebaik sahaja selesai solat sunat di masjid berkenaan. Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu negeri ini hari ini agak lengang apabila umat Islam menggunakan ruang yang ada untuk bersama keluarga. Bagaimanapun beberapa jalan utama di luar bandar ini dilaporkan sesak dengan kenderaan terutama Jalan Kota Bharu - Kuala Krai dan Jalan Jeli - Machang. |
| Sambutan secara sederhana di Terengganu Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT ![]() MENTERI Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh mencuba bermain alat permainan muzik tradisional rebana asli semasa meraikan tetamu pada Sambutan Hari Raya Aidiladha Parlimen Besut di kawasan Desa Ukiran Kayu Kampung Raja di Besut, Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 15 Okt. - Perayaan Aidiladha disambut secara sederhana tetapi meriah di kebanyakan tempat di negeri ini. Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah atau dikenali sebagai Masjid Ladang di sini, ribuan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Yang turut menyertai jemaah tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd. Zubir Embong serta beberapa pembesar negeri yang lain. Para jemaah kemudian mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman sebaik sahaja khutbah hari raya selesai sebelum turut sama menjayakan ibadah korban yang menjadi rutin umat Islam setiap kali menjelangnya Aidiladha. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan atau daerah di negeri juga mengadakan ibadah korban secara berperingkat-peringkat. |
| Universiti Teknologi Mara Kelantan rai penuntut cemerlang Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT ![]() DR. MOHD. Shukri Omar (belakang, empat dari kanan) bersama sebahagian daripada 43 penerima anugerah pada Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Sesi Jun 2012 sehingga Oktober 2013 di Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 15 Okt. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan telah mengadakan Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Sesi Jun 2012 sehingga Oktober 2013 bagi meraikan penuntutnya yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum di sini baru-baru ini. Majlis yang berlangsung di Hotel Renaissance di sini menyaksikan sebanyak 43 anugerah disampaikan termasuk Anugerah Terbaik Keseluruhan iaitu setiap penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik mahupun penglibatan kokurikulum. Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Rektor UiTM cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd. Shukri Omar, Yang turut hadir Pengarah Urusan Tegas Venture Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Kaisan Abd. Rahman dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Muhammad Shukri Salleh. Mohd. Shukri dalam ucapannya menyeru penuntutnya bersama-sama menjadi aset terpenting bagi pembangunan bangsa dan negara, selain penyumbang utama kepada perkembangan UiTM. Katanya, setiap mahasiswa harus berfikir di luar kotak bagi melahirkan sesuatu yang lebih kreatif serta sentiasa menanam visi untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi. "Setelah berjaya menamatkan pengajian, pelajar haruslah terus cemerlang dalam apa jua perkara yang dilakukan dan tidak terhenti setakat tempoh itu kerana masa habis belajar adalah tempoh paling kritikal," ujarnya. Pada majlis itu, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dimenangi penuntut jurusan Diploma Pentadbiran Awam, Nik Munirah Nik Murzaini, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) 3.79. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, anak keempat daripada enam beradik itu berkata, kejayaannya adalah berkat doa dan sokongan ibu bapa serta pensyarah yang telah banyak memberi dorongan. "Ini adalah hadiah yang cukup bermakna untuk kedua-dua ibu bapa saya yang telah banyak berusaha menjaga sehingga sampai ke tahap ini. "Selain itu, saya turut berterima kasih kepada pihak UiTM yang banyak memberi tunjuk ajar selama saya menuntut ilmu di sini serta bantuan daripada pihak kerajaan yang memberi peluang kepada anak-anak bumiputera seperti saya untuk menyambung pelajaran di sini ,"katanya. Kegagalan sebelum ini telah membangkitkan semangatnya untuk menjadi seorang yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mengejar impian serta mencapai kejayaan. Tambah Nik Munirah, dia berharap agar kejayaannya itu dapat menjadi pembakar semangat kepada adiknya mahupun rakan-rakannya untuk mencapai kejayaan. Sementara itu, anugerah kecemerlangan turut diberi kepada persatuan terbaik kategori akademik yang dimenangi oleh persatuan IMAGE UiTM, selain 35 anugerah individu. Anugerah lain yang diterima ialah PEERS UiTM bagi kategori persatuan (bukan akademik), Siswa Pertahanan Awam (SISPA) untuk badan beruniform terbaik, Jawatankuasa Kolej Tun Hussein Onn (jawatankuasa perwakilan kolej terbaik), Kelab Dikir Barat Sri Arjuna (penggiat seni berkumpulan), Kelab Ko Siswa (Keusahawanan) serta Brassband UiTM bagi anugerah khas untuk kelab dan persatuan. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





