Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Memacu UMT ke kelompok ternama
- Kastam Kelantan isytihar perang kegiatan seludup
- Pemilihan untuk survival UMNO di Kelantan
Memacu UMT ke kelompok ternama Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengadakan Majlis Konvokesyen Ke-11 selama dua hari mulai esok dengan 1,962 lagi graduan bakal dilahirkan untuk mengisi keperluan tenaga kerja negara. Sejak diwujudkan kira-kira sedekad lalu, UMT telah memberi tempat kepada 16,345 penuntut untuk menimba ilmu akademik dan kemahiran. UMT dalam satu kenyataan memberitahu, mengikut peringkat pengajian, sebanyak 15 graduan peringkat doktor falsafah akan menerima skrol, 89 sarjana sains, 25 sarjana pengurusan, 1,727 sarjana muda dan 106 diploma. Kali ini, ketika UMT melangkah ke era baharu, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains oleh Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah. Dr. Zakri baharu sahaja dilantik menganggotai Lembaga Penasihat Sains kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon. Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor pula akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan. UMT yang mempunyai 400 orang ahli akademik kini sedang melalui proses transformasi bagi menjadi sebuah universiti ternama setanding dengan universiti terbaik tempatan dan Asia. Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, usaha itu menjurus ke arah peningkatan kualiti akademik dalam kalangan warganya melalui pengurusan bakat secara terancang dengan sistem sokongan pengajaran dan pembelajaran berkesan dan menepati keperluan kelompok sasaran. "Ia dimulakan dengan usaha memperkukuhkan program akademik sedia ada dengan mengkaji semula dan mengolahnya supaya lebih berwawasan serta sentiasa menepati keperluan pasaran negara. "Program akademik baharu berasaskan ilmu sains fundamental akan dibangunkan dalam jangka masa terdekat bagi mengukuhkan ilmu asas bidang biologi, kimia, fizik dan matematik," ujarnya. Di samping itu, program akademik multi disiplin juga akan merentasi bidang yang menjurus kepada tujahan dan kekuatan UMT iaitu sains kelautan dan akuatik agar terus dibangun dan menjadikannya lebih fokus kepada dua bidang berkenaan. UMT juga akan berusaha mendapatkan pelajar terbaik bagi setiap enrolmen baharunya dan pelajar yang cemerlang berpeluang mengikuti masa pengajian lebih pendek menerusi program kontinum diploma-sarjana muda-sarjana. Pada masa sama, katanya, bagi memberikan lebih makna kepada usaha mengangkat UMT ke peringkat antarabangsa, pihaknya akan memulakan beberapa program akademik baharu peringkat prasiswazah dan pascasiswazah khas untuk pelajar yang akan dikendalikan oleh pensyarah tempatan dan luar negara. |
Kastam Kelantan isytihar perang kegiatan seludup Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT AZIS Yacub bersama sebahagian peserta mini Pesta Sukan Jabatan Kastam di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 18 Okt. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengisytiharkan perang terhadap kegiatan penyeludupan di negeri ini dengan menumpukan 90 peratus kekuatan dan operasinya di tiga pintu masuk utama Malaysia-Thailand iaitu Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Jeli. Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, kawalan ketat di sempadan telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu terutama untuk membendung kemasukan senjata api, pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram dan penyeludupan barangan bersubsidi. Katanya, semua agensi penguat kuasa turut terlibat dalam operasi itu yang juga bertujuan menangkis tohmahan kononnya kawalan di sempadan negara longgar sehingga menyebabkan penyeludup mudah melakukan aktiviti mereka. "Kastam Kelantan pada masa ini menumpukan lebih kepada kawalan sempadan kerana keselamatan kita akhir-akhir ini dengan senjata api, dadah, dengan itu dan ini yang dibawa masuk, maka kita fokuskan 90 peratus kekuatan di sepanjang sempadan dari Pengkalan Kubor hingga Bukit Bunga. "Kita isytihar perang dengan penyeludup tidak kira penyeludup apa sekalipun, sama ada dia memperdagang manusia atau melakukan kesalahan penggubahan wang haram, penyeludupan biasa atau apa sahaja relevan dengan kastam, kita akan laksanakan dan kita takkan berhenti operasi," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mini Pesta Sukan JKDM 2013 yang melibatkan anggota-anggota JKDM seluruh Malaysia di Arena Futsal, Pengkalan Chepa di sini hari ini. Azis berkata, pihaknya cukup berwaspada terhadap aktiviti penyeludupan termasuk senjata api, bukan seperti tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan pihak berkuasa hanya menumpukan perihal penyeludupan beras dan mercun. "Sempadan Kelantan tidak kira di mana-mana kami cukup berjaga-jaga. Ada tohmahan yang mengatakan kami sekadar kejar beras, mercun, bunga api, itu sahaja tetapi senjata api buat tak tahu. Itu saya nafikan kerana dalam tindakan dan perisikan, kita akan pastikan tidak akan berlaku kerana pegawai-pegawai kita buat pemeriksaan yang rapi setiap masa terutama di tempat kemasukan yang sah. "Tapi yang jelasnya Kastam Kelantan tidak dapat menjaga kesemua kawasan untuk membanteras penyeludupan kerana boleh berlaku di mana-mana sahaja contohnya di sepanjang Sungai Golok. "Jeti haram di Kelantan ini bukan satu, bukan 10 atau 40, di mana ada gigi air di sepanjang Sungai Golok di situlah wujudnya jeti-jeti haram, di mana perahu boleh dikayuh dengan membawa komoditi itulah pangkalan haram," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Azis berkata, sepanjang tahun ini pihaknya telah berjaya menyelesaikan 552 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM5.6 juta melibatkan penyeludupan beras, rokok, minyak petrol atau diesel, mercun, bunga api dan pakaian. Menurutnya, rampasan terbesar melibatkan rokok pelbagai jenama pada 17 Jun lalu di Kampung Lemal, Pasir Mas melibatkan nilai rampasan sebanyak RM307,455 dan seorang lelaki telah ditahan dalam operasi tersebut. "Kita juga setakat ini mengutip hasil sebanyak RM154 juta dan akan berusaha mencapai sasaran RM207 juta untuk menggenapkan sasaran seluruh negara RM34 bilion bagi kutipan hasil yang diperoleh antaranya dari cukai jualan dan perkhidmatan," katanya. |
Pemilihan untuk survival UMNO di Kelantan Posted: 18 Oct 2013 11:08 AM PDT Oleh YULPISMAN ASLI "MACAM ini baru meriah pemilihan UMNO." Itulah kata seorang calon ketua UMNO bahagian di Kelantan sejurus mengambil borang pencalonannya tidak lama dulu. Amat jelas beliau yang hanya ketua di peringkat cawangan, begitu teruja dapat bertanding pada pemilihan parti esok, yang julung kalinya akan ditentukan oleh perwakilan di peringkat bahagian sendiri. Pemilihan UMNO kali ini menyaksikan 12 daripada 14 bahagian di Kelantan bakal menghadapi pertandingan, sehingga ada yang menyifatkan ia lebih sengit berbanding pilihan raya umum lalu. Dua bahagian yang tidak menyaksikan pertandingan jawatan Ketua Bahagian ialah Jeli yang kekal diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketereh di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa. Sementara lain-lain bahagian menyaksikan pertarungan ada yang lima penjuru, empat penjuru dan sebagainya. Antara yang menarik perhatian ialah Rantau Panjang, Pasir Mas, Kubang Kerian, Kota Bharu, Tanah Merah dan Gua Musang. Bukan setakat jawatan ketua bahagian, malah lain-lain jawatan turut menjadi rebutan, hatta Ahli Jawatankuasa dengan ada bahagian menyaksikan senarai 85 calon. Pastinya perwakilan 'rambang mata' untuk memilih senarai calon yang begitu panjang. Dalam konteks Kelantan, selaku parti pembangkang sejak 23 tahun lalu, pemilihan UMNO kali ini amat penting untuk ahli-ahli UMNO memilih barisan kepimpinan di peringkat bahagian yang berkeupayaan menerajui parti bagi mendepani cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang. Ini kerana, setelah pelbagai usaha dilakukan sejak 23 tahun lalu, UMNO masih gagal meyakinkan rakyat Kelantan untuk memberikan sokongan padu kepada mereka pada pilihan raya umum lalu. Kegagalan merampas Kelantan pada PRU-13 lalu seharusnya dijadikan sebagai 'garis panduan' oleh ahli-ahli UMNO dalam menyediakan saf kepimpinan di peringkat bahagian yang dapat diterima oleh rakyat kerana ia penting dalam merangka persiapan parti menghadapi PRU-14 dalam tempoh empat atau lima tahun mendatang. Justeru barisan pemimpin yang bakal dipilih nanti, mestilah dalam kalangan mereka yang komited, dedikasi, berwawasan, bersih serta mampu mengemudi UMNO menghadapi parti Pas, selaku kerajaan negeri. Ahli-ahli UMNO perlu sedar dan insaf, pemilihan parti bukan untuk suka-suka atau sekadar untuk meriah kerana boleh bertanding, sebaliknya, ia melibatkan survival UMNO di Kelantan. Maka, ahli-ahli UMNO perlu memastikan saf kepimpinan yang bakal dipilih kelak merupakan mereka yang diterima oleh rakyat, bukannya calon-calon yang hanya 'cantik dan indah' pada kaca mata ahli-ahli UMNO tetapi 'serba tak kena' pada mata rakyat. Ibarat 'kalah membeli menang memakai', begitulah juga pemilihan UMNO kali ini. Sekiranya ahli-ahli UMNO bijak memilih, maka habuannya UMNO berkemungkinan dapat melakukan kebangkitan pada PRU-14 dan begitu juga sebaliknya, silap percaturan, terkubur teruslah harapan UMNO untuk merampas tampuk pemerintahan negeri ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |