Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Lupakan soal menang, kalah
- 'Kekalkan momentum hingga PRU-14'
- Pemilihan UMNO kali ini satu kejayaan - Hassan
Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI KEMAMAN 20 Okt. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu kepemimpinan bahagian dan sayap-sayap yang baharu terus merencana agenda bagi mengukuhkan UMNO negeri itu. Katanya, semua perlu berhenti bercakap soal kekalahan atau kemenangan pada pemilihan UMNO dan sebarang pergeseran berbangkit perlu diketepikan agar dapat bersama-sama menyusun dan mengerakkan strategi bagi merampas semula kawasan yang dikuasai pembangkang. Beliau yang juga Menteri Besar berkata, barisan kepemimpinan UMNO negeri yang terdiri daripada muka baharu serta lama merupakan satu gandingan mantap untuk meneruskan misi parti selain mengharapkan kewibawaan dan pengalaman calon yang tewas dapat digembeling bersama. "Saya tahu pada pemilihan kali ini banyak muka baharu yang menerajui Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang merupakan suara dan kehendak akar umbi, maka kita akan sebaik mungkin untuk bersama-sama dalam satu barisan mengukuhkan parti ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan UMNO Bahagian Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman dekat sini semalam. Pada pemilihan itu, Ahmad berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman apabila beliau memperoleh 757 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Mat Dalam Awang yang sekadar memperoleh 41 undi. Pemilihan UMNO semalam menyaksikan enam daripada lapan Ketua UMNO Bahagian di negeri ini diterajui muka baharu iaitu Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu serta Besut manakala dua lagi bahagian, penyandangnya berjaya mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Setiu dan Kemaman. Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim sebagai Pegawai Khas Menteri Besar bagi kawasan Cukai manakala Naib Ketua UMNO Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dilantik Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai. |
'Kekalkan momentum hingga PRU-14' Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT KOTA BHARU 20 Okt. - Para pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini diminta mengekalkan momentum mereka dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana ada di antara calon terbabit dilihat bekerja lebih keras berbanding ketika pilihan raya umum yang lalu. "Saya selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berharap supaya kerja kuat yang mereka tunjukkan semasa pemilihan parti akan berterusan sehingga pilihan raya, jangan pemilihan parti kita kerja kuat tetapi ketika pilihan raya umum kita tidak kerja kuat, ini kita harus sedar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pemilihan UMNO yang berlangsung semalam. Pada pemilihan tersebut, 12 Ketua UMNO Bahagian di negeri ini mengekalkan jawatan masing-masing biarpun ada di antara mereka dicabar hebat dan dua bahagian menyaksikan muka baharu iaitu di Bahagian Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa selepas penyandangnya dikenakan tindakan disiplin. Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau yakin kesemua Ketua UMNO Bahagian tersebut mampu membawa transformasi sejajar dengan seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Muka lama harus melakukan transformasi, kalau tidak kita tidak akan ke mana tetapi saya yakin mereka berkemampuan membawa transformasi termasuk proses peremajaan UMNO, membawa golongan agama ke arus perdana dan pendekatan mesra dengan pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya. Beliau bagaimanapun berkata, perubahan yang ketara berlaku di peringkat sayap parti dengan hampir kesemuanya dipimpin oleh muka baharu dan mereka diyakini dapat membantu proses transformasi dilakukan dengan baik. Katanya, UMNO masih mempunyai peluang untuk membawa masuk muka baharu ke dalam kepemimpinan parti itu melalui jawatan lantikan untuk diketengahkan bagi mengimbangi muka lama yang sedia ada. "Jika ada kumpulan yang kurang diwakili umpamanya orang agama dan muda, maka ini adalah ruang untuk Ketua Bahagian mengambil tindakan bagi memastikan orang tertentu dibawa bersama menyumbang kepada parti," katanya. Sementara itu, beliau berkata, UMNO Kelantan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghantar jentera terutama penceramah agama bagi membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau. |
Pemilihan UMNO kali ini satu kejayaan - Hassan Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT KOTA BHARU 20 Okt. - Kehadiran sehingga 11,212 perwakilan di Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Kelantan yang diadakan semalam dianggap satu kejayaan cukup tinggi ke arah kesinambungan parti berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Kelantan, Datuk Hassan Harun (gambar) berkata, kehadiran perwakilan pada pemilihan kali ini bukan sahaja membuktikan kejayaan untuk UMNO Kelantan malah seluruh negara. "Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya cukup berpuas hati dengan proses pemilihan peringkat bahagian yang berlangsung semalam dengan segala penambahbaikan yang telah dibuat berbanding sebelum ini. "Untuk pemilihan kali ini, setiap masalah teknikal yang timbul telah berjaya kita atasi dan kita telah berjaya menguruskan pemilihan dengan baik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Hassan berkata, pemilihan kali ini juga menyaksikan perubahan yang sangat ketara terutamanya melibatkan golongan muda. "Pemilihan bagi sayap parti sebelum ini menunjukkan transformasi telah berlaku dengan kemunculan ramai muka baharu bagi menerajui sayap parti berkenaan dan di peringkat bahagian, majoritinya masih mengekalkan jawatan masing-masing walaupun pemilihan pada awalnya dijangka sengit dengan adanya pencabar," katanya. Katanya, setakat ini aduan yang diterima adalah berkaitan masalah teknikal namun tidak kritikal sehingga memerlukan penilaian dibuat. Sementara itu, beliau turut menyerahkan kepada UMNO Pusat untuk pemilihan semula bagi jawatan Exco Pemuda Bahagian Bachok yang dijadual berlangsung Rabu ini. "Saya sudah bersiap sedia untuk pemilihan semula itu dan persiapan sedia ada sudah mencukupi kerana melibatkan satu sayap sahaja,'' katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |