Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- UMK terima RM300,000 dari AS
- 37 pelajar bakal lakar sejarah kumpulan graduan pertama veterinar
- Pelajar PSMZA cipta Blocco Hub bantu mekanik
Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN Raduan Che Rose (barisan hadapan, berdiri empat dari kanan) bersama pegawai dan pelajar dalam Majlis Pelancaran Logo Pesta Konvokesyen UMK Ke-3 di Kota Bharu, malam kelmarin. - Utusan/Rosni Masri KOTA BHARU 22 Okt. - Meskipun bergelar universiti paling junior, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semakin melebarkan sayapnya di pentas pendidikan antarabangsa apabila mendapat tawaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan program keusahawanan belia antara kedua-dua negara. Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, tawaran tersebut dibuat pegawai kedutaan AS di Malaysia ketika beliau menyertai lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu bulan lalu. Menurut beliau, pejabat kedutaan AS turut menawarkan geran sebanyak RM300,000 untuk menjayakan program tersebut dan perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak akan diadakan di Eropah hujung tahun ini. "Perjanjian akan ditandatangani hujung tahun ini dan program kita adalah berfokus kepada keusahawanan belia, keusahawanan sosial iaitu bagaimana belia memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan menimbulkan kesedaran mengenai keusahawanan dalam kalangan belia. "Ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan walaupun UMK masih muda tetapi sudah ada bibit-bibit kejayaan, saya sendiri mendapat panggilan telefon dari Universiti Cambridge untuk menjalin kerjasama. "Saya percaya kualiti graduan yang kita keluarkan dari setahun ke setahun semakin meningkat, selain akademik mereka juga diterapkan dengan semangat keusahawanan yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Logo Pesta Konvokesyen UMK Ke-3 di sebuah hotel, di sini malam tadi. Sementara itu, Raduan berkata, Majlis Konvokesyen UMK pada Sabtu dan Ahad ini amat istimewa apabila universiti tersebut akan menawarkan jawatan pensyarah muda kepada semua graduannya yang mendapat ijazah kelas pertama. Katanya, UMK sedang melalui proses pengembangan pesat dan akan mempunyai 10,000 pelajar pada sesi pengambilan tahun depan dan jumlah tenaga pengajar juga perlu ditambah. Menurut beliau, tujuh graduan telah ditemuduga dan bersetuju menerima jawatan tersebut dan surat tawaran akan diserahkan ketika mereka mengambil ijazah pada hari konvokesyen nanti. "Mereka ini akan dididik dan diberikan mentor sebelum dihantar terus ke luar negara untuk mendapatkan ijazah doktor falsafah di bawah tajaan sepenuhnya oleh UMK," katanya. Sementara itu, sempena konvokesyen kali ini, UMK akan mengadakan Pesta Konvo selama tiga hari bermula Jumaat ini yang akan dirasmikan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini. |
37 pelajar bakal lakar sejarah kumpulan graduan pertama veterinar Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT Kumpulan pertama pelajar Fakulti Perubatan Veterinar bersama Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose (barisan kedua tengah) di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 22 Okt. - Seramai 37 pelajar yang merupakan kumpulan pertama penuntut Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang kini mengikuti pengajian tahun akhir semakin teruja untuk melakar sejarah sebagai graduan sulung universiti dalam jurusan itu tahun depan. FPV UMK yang juga fakulti kedua seumpamanya di negara ini selepas Universiti Putra Malaysia (UPM) memasuki usia lima tahun dengan bilangan penuntut dari tahun satu hingga lima iaitu sebanyak 200 orang. Menurut bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Perubatan Veterinar (Vetsa) UMK, Nur Hazlizan Sulaiman, 23, dia bersama rakan-rakan perintis yang lain semakin bersemangat untuk meraih ilmu dan pengalaman secukupnya sebelum tamat pengajian pada Jun 2014. Jelasnya, meskipun UMK adalah universiti yang jauh lebih muda berbanding UPM iaitu fakulti perubatan veterinarnya sudah sekian lama menjadi tanda aras di negara ini, namun input yang diperoleh pelajar UMK adalah setanding, malah mendapat lebih perhatian barisan pensyarah. "Lebih penting kami juga berpeluang membuat praktikal selama tempoh tertentu di luar negara untuk melihat bagaimana pengurusan haiwan dilaksanakan di sana. "Antara negara yang menjadi tempat rujukan setakat ini dalam program pengantarabangsaan adalah India, Indonesia, Thailand dan Taiwan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Sementara itu, rakannya, Mohd. Farhan Hanif Riduan, 23, yang juga pelajar tahun lima FPV berkata, pengalaman selama membuat latihan praktikal kira-kira sebulan di India mengajarnya bahawa bidang veterinar mempunyai prospek amat luas. "Kita boleh saksikan pengurusan haiwan besar seperti ternakan lembu dijalankan dan bagaimana teknologi terkini yang diguna pakai di India dalam penghasilan baka dan mengatasi ancaman penyakit. "Segala pengetahuan di bidang ini yang diperoleh di UMK membantu saya memahami apa yang menjadi amalan di peringkat antarabangsa, sekali gus dapat berkongsi maklumat apabila kembali ke universiti," katanya. Dalam pada itu, Presiden Vetsa UMK sesi baharu, Goh Soon Heng, 23, pula menegaskan, perubatan veterinar bukanlah satu bidang yang menjurus kepada haiwan peliharaan semata-semata sebagaimana anggapan sesetengah pihak tetapi meliputi banyak aspek penting terutama isu perbekalan makanan untuk negara. "Keperluan pakar dan pengamal dalam bidang ini penting kerana negara memerlukan kumpulan yang boleh bertindak untuk memastikan kesihatan dan keselamatan haiwan dan ternakan yang menjadi punca makanan utama, di samping mencari jalan untuk mengelak kebergantungan kepada sumber import sebagaimana berlaku hari ini," katanya. Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FPV UMK, Prof. Madya Nur Hardy Abu Daud berkata, pihaknya mempunyai 17 pakar dan tenaga akademik serta klinik veterinar termoden di Pantai Timur bernilai hampir RM7 juta yang berfungsi sebagai pusat rujukan dan pengajaran serta kerjasama dengan 63 institusi di seluruh negara sebagai Rakan FPV UMK. |
Pelajar PSMZA cipta Blocco Hub bantu mekanik Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT Ketua Unit Penyelidikan dan Inovasi PSMZA, Mohd. Rohaimi Yusof (tiga dari kiri) bersama pelajar menunjukkan Blocco Hub yang memenangi pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Projek Pelajar Sesi Jun 2013 di Dungun, Terengganu, baru-baru ini. DUNGUN 22 Okt. - Kesulitan untuk membuka nat secara manual ketika ingin menukar syaf pandu (driveshaft) kenderaan mencetuskan ilham kepada tiga pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mencipta peralatan istimewa yang diberi nama Blocco Hub untuk menyelesaikannya. Hasilnya ternyata dapat memudah dan mempercepatkan urusan mekanik di bengkel tanpa perlu mengunakan lebih banyak tenaga dan dapat dilakukan dalam keadaan lebih selamat. Dengan kreativiti dan inovasi sekumpulan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) itu, mereka menerima pingat emas, anugerah terbaik jabatan dan pemenang keseluruhan dalam Pertandingan Inovasi Projek Pelajar Sesi Jun 2013 yang diadakan baru-baru ini. Projek itu yang mengatasi 16 projek lain juga akan dicalonkan sebagai Anugerah Projek Terbaik dalam Majlis Konvokesyen ke-11 PSMZA tahun depan. Menurut ketua projek, Zulkiflee Darus, 25, hasil tinjauan secara rawak mendapati kebanyakan bengkel yang menggunakan kaedah konvensional untuk membuka syaf pandu dengan tenaga kerja lebih daripada seorang. "Keadaan ini agak sukar sehinggalah tercetusnya idea menghasilkan alatan yang bernama Blocco Hub yang memudahkan proses membuka dan memasang nat. "Blocco berasal bahasa Itali iaitu pengunci. Kami berharap alat itu akan dapat dimanfaatkan kelak," katanya. Penyelia projek berkenaan, Mohd. Noor Ismail memberitahu, produk yang diusahakan selama dua bulan itu, berpotensi untuk dikomersialkan ke pasaran dalam dan luar negara bagi kegunaan dalam memajukan industri automotif. "Mengikut kaedah biasa, kenderaan yang bermasalah di jalan terpaksa ditunda ke bengkel tetapi dengan peralatan ini, kerja-kerja penukaran boleh dilakukan di luar," katanya. Pertandingan yang diadakan di Pusat Sumber PSMZA disertai pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Kesemua projek yang dipertandingkan telah diadili panel daripada YTL Power Services Sdn Bhd., Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur dan SIRIM (Terengganu). Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ketua Unit Penyelidikan dan Inovasi PSMZA, Mohd. Rohaimi Yusof. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |