Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Petani hilang punca pendapatan
- Prestasi anak syarikat kerajaan Kelantan hambar
- Kencing tikus: Air Terjun Jeram Pasu lengang
Petani hilang punca pendapatan Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB Munah Jusoh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada rakannya berlatarbelakangkan kebun getah yang ditenggelami lumpur di Lubok Stol, Rantau Panjang, kelmarin. RANTAU PANJANG 2 Okt. - Hampir 50 petani dan pemilik tanah di kawasan Lubok Stol di sini hilang punca pendapatan ekoran tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian selepas tanah kebun milik mereka ditenggelami air lumpur bercampur bijih besi. Lebih menyedihkan, situasi berkenaan berlarutan sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh tersebut tidak ada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab walaupun beberapa aduan mengenainya telah dibuat. Situasi yang berlaku itu berpunca akibat limpahan air dari sebuah tapak perlombongan bijih besi yang terletak di atas sebuah bukit berhampiran tanah mereka menyebabkan kawasan pertanian yang berkeluasan lebih kurang 40 hektar kelihatan seakan tasik bijih. Pemilik-pemilik tanah berkenaan mendakwa, limpahan air tersebut berlaku sejak 2008 seawal lombong berkenaan mula dibuka. Namun, keadaan berkenaan menjadi bertambah serius sejak 2011 menyebabkan aktiviti pertanian di kawasan tersebut tidak dapat dijalankan. Pemilik tanah, Munah Jusoh, 64, memberitahu, kebun getahnya sebelum ini mampu memberinya pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dan dia turut mempunyai beberapa orang pekerja di kebunnya. Bagaimanapun, katanya, sejak tiga tahun lalu, ekoran paras air yang semakin tinggi, para pekerja tidak dapat menjalankan kerja-kerja menoreh dan dia mengalami kerugian besar. "Saya terpaksa memberhentikan semua pekerja kerana mereka tidak lagi boleh ke kebun untuk menoreh akibat paras air yang semakin tinggi, malah pokok-pokok getah saya yang sejak sekian lama ditenggelami air mula mati. "Kebanyakan pokok juga mula tumbang dan kawasan kebun saya menjadi sangat teruk kerana bukan sahaja air yang membanjiri kawasan tetapi lumpur sehingga paras lutut juga menyebabkan keadaan bertambah buruk," katanya ketika ditemui di sini semalam. Menurutnya, tindakan segera oleh pemilik tapak perlombongan amat diharapkan kerana kami tidak sanggup lagi terus dalam keadaan begini. Kami terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan orang lain dan ini sudah tentu mengecewakan kami semua," ujarnya. Sementara itu, pemilik tanah, Zainulabidin Mohd. Nor, 56, menjelaskan, beberapa usaha sebelum ini diambil antaranya menggunakan perkhidmatan peguam bagi menyelesaikan perkara tersebut. Malah, katanya, ada pemilik tanah terpaksa mengeluarkan wang sehingga RM10,000 seorang untuk tujuan pembiayaan tersebut. "Kami pemilik tanah hanya menjalankan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan dan wang sebanyak itu sudah tentu membebankan kami semua dan ada antara kami terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mampu untuk mendapatkan khidmat peguam. "Sejak tiga tahun lalu, saya melaporkan perkara ini kepada polis, Jabatan Alam Sekitar, Ketua Jajahan Pasir Mas dan Ahli Parlimen, malah turut melawat mereka ke tapak lombong. Namun, sehingga sekarang tiada tindakan lanjut diambil," jelasnya. Mengulas lanjut, Zainulabidin merayu campur tangan kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pemilik tanah supaya mereka dapat kembali bekerja. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika mengulas perkara berkenaan berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri telah diarah membuat siasatan segera terhadap laporan kira-kira 50 pemilik tanah di Lubok Stol, Rantau Panjang, dilaporkan hilang punca pendapatan apabila kebun mereka ditenggelami air lumpur bercampur bijih besi. "Sekiranya kerja-kerja (perlombongan) itu didapati melanggar peraturan kita akan mengambil tindakan wajar. Kerajaan negeri telah mengarahkan PTG membuat siasatan segera sebab ini membabitkan (menjejaskan) orang awam," katanya. |
Prestasi anak syarikat kerajaan Kelantan hambar Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT KUALA LUMPUR 2 Okt. - Dua anak syarikat kerajaan negeri Kelantan iaitu Kelstone Sdn. Bhd. (KSB) dan Ladang Tapis Sdn. Bhd. (LTSB), masih mencatatkan prestasi kurang memuaskan walaupun terdapat beberapa keputusan positif dalam tahun kewangan masing-masing. Laporan Ketua Audit Negara di sini semalam menyatakan, pengauditan terhadap KSB yang dijalankan antara bulan Julai hingga September 2012 mendapati secara keseluruhannya, pengurusannya adalah kurang memuaskan walaupun kedudukan kerugian terkumpul semakin berkurangan. KSB mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM1.54 juta pada 2011 iaitu menurun sejumlah RM0.8 juta dari tahun 2010. Keuntungan sebelum cukai KSB pada 2010 juga menurun berbanding 2009, bagaimanapun keuntungan sebelum cukai mencatatkan peningkatan pada 2011. "Selain itu terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat seperti operasi perlombongan emas di Sokor belum dimulakan dan penilaian tidak dilakukan terhadap kemampuan syarikat pengusaha, syarikat usahasama mengalami kerugian dan kelewatan pengusaha memulakan kerja perlombongan barite dan bahagian Audit Dalam Dan Naziran PKINK belum melaksanakan pengauditan terhadap pengurusan KSB,'' ujarnya. Malah keuntungan sebelum cukai KSB menurun sejumlah RM0.3 juta atau 45.9 peratus daripada RM0.7 juta pada tahun 2009 kepada RM0.4 juta pada 2010. Keuntungan sebelum cukai berjumlah RM0.8 juta pada 2011 peningkatan RM0.4 juta berbanding tahun 2010. Pengauditan LTSB yang dijalankan antara bulan Julai hingga September 2012 mendapati secara keseluruhannya, pengurusan LTSB adalah kurang memuaskan. LTSB mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM5.2 juta pada tahun 2011 iaitu meningkat sejumlah RM0.9 juta dari tahun 2010. Kerugian sebelum cukai LTSB menurun pada tahun 2010 berbanding tahun 2009. Selain itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat seperti pengeluaran buah tandan segar tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, prestasi kewangan ladang kurang memuaskan dan cadangan bayaran bonus tidak dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Malah Laporan Audit menyatakan prestasi kewangan LTSB juga tidak memuaskan kerana kerugian bersih dialami bagi tahun 2009 hingga 2011 dan kerugian terkumpul semakin meningkat dari tahun 2009 hingga 2011. Manakala nisbah kewangan menunjukkan penurunan bagi tahun 2011 berbanding tahun 2009 dan 2010. LTSB dinasihatkan berusaha mencari jalan bagi meningkatkan pengeluaran agar mencapai sasaran yang ditetapkan bagi menambah pendapatan kepada syarikat dan memperbaiki prestasi kewangan ladang. |
Kencing tikus: Air Terjun Jeram Pasu lengang Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT PASIR PUTEH 2 Okt. - Kawasan peranginan Air Terjun Jeram Pasu, dekat sini, kini lengang selepas berita kematian seorang remaja Tengku Mohd. Azrol Tengku Md. Noor, 19, dari Kampung Merkang akibat dijangkiti virus kencing tikus atau leptospirosis disiarkan media kelmarin. Mangsa yang disahkan dijangkiti virus maut itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu Jumaat lalu. Dia dikatakan dijangkiti virus terbabit selepas berkelah dan mandi di air terjun berkenaan pada 13 September lalu bersama ahli keluarganya. Jurucakap Jabatan Kesihatan Pasir Puteh ketika dihubungi hari ini memberitahu, tiga sepanduk amaran wabak leptospirosis dipasang di kawasan air terjun berkenaan sejak kelmarin sebagai makluman kepada pengunjung berwaspada terhadap virus yang boleh membawa maut itu. Menurutnya, pengunjung yang mengalami simptom atau gejala kekuningan pada kulit dan mata, demam panas, sakit kepala, sakit otot, mata merah, sakit perut, cirit-birit dan ruam perlu merujuk segera ke hospital atau klinik berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan. "Jabatan hanya mampu bertindak memaklumkan kepada pengunjung dengan menyampaikan maklumat menerusi media tertentu dan pemasangan kain rentang berkaitan penyakit itu dilokasi disyaki menjadi punca penyakit berkenaan," katanya di sini. Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati semua gerai makanan di kawasan air terjun berkenaan ditutup walaupun jalan utama masuk ke situ masih terus dibuka kepada pengunjung oleh pihak berkenaan. Hanya beberapa kenderaan dilihat memasuki kawasan pusat peranginan itu termasuk beberapa pasangan remaja yang bermotosikal. Kelmarin, akhbar melaporkan, Tengku Mohd. Azrol menjadi mangsa terbaharu penyakit kencing tikus atau leptospirosis di Kelantan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |